Thursday, August 30, 2007

MALAYSIA JUARA PESTABOLA MERDEKA

SYABAS MALAYSIA

Malaysia Juarai Pestabola Merdeka Selepas Menanti 14 Tahun

SHAH ALAM, 29 Ogos (Bernama) -- Penantian 14 tahun Malaysia untuk menjuarai Pestabola Merdeka berakhir setelah berjaya menumpaskan juara bertahan, Myanmar 3-1 dalam perlawanan akhir kejohanan bola sepak edisi ke-39 itu yang berlangsung di Stadium Shah Alam, di sini malam ini.

Kali terakhir Malaysia menjulang Piala Merdeka ialah pada 1993 dalam pasukan yang diterajui Dollah Salleh dan Azman Adnan dengan menundukkan Korea Selatan 3-1.

Kemenangan ini juga mengembalikan kepercayaan dan keyakinan 50,000 penyokong bola sepak tanah air yang membanjiri stadium bagi sama-sama meraikan kejayaan skuad kebangsaan di bawah bimbingan B.Sathianathan.

Malaysia membuka jaringan pada minit ke-12 menerusi tolakan kemas di dalam kotak penalti yang dilakukan Mohd Zaquan Adha yang menerima hantaran cantik Mohd Safee Sali dari sebelah kiri dan berjaya menggelecek penjaga gol Myanmar, Aung Aung Oo.

Tersentak dengan gol tuan rumah, Myanmar bangkit mengatur serangan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-18 menerusi rembatan kencang Aung Myo Thant namun sepakannya meliar melewati palang gol.

Tiga minit selepas babak kedua bermula, Yan Paing sekali lagi berada pada kedudukan yang strategik untuk melepaskan rembatan yang berjaya ditepis penjaga gawang untuk memberikan sepakan sudut kepada pasukan pelawat.

Kekalutan di hadapan pintu gol Myanmar akhirnya menyebabkan pemain pertahanan pasukan pelawat, Moe Win melakukan kesilapan menjaringkan gol sendiri untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan 2-0, pada minit ke-56.

Empat minit kemudian, Mohd Safee membuktikan serangannya menyengat apabila meledakkan gawang lawan selepas menerima umpanan cantik dari tengah dan bergerak solo sebelum menewaskan benteng penjaga gol lawan.

Myanmar yang masih belum berputus asa, mempamerkan corak permainan yang agak agresif dan cuba mengasak beberapa pemain utama. Pengadil dari Thailand, Chaiya Alee Mahapab tidak teragak-agak menghadiahkan kad kuning serta mengeluarkan amaran lisan.

Pemain gantian Myanmar, Tun Tun Win, cuba merapatkan jurang apabila memperoleh gol pada minit ke-73 selepas berjaya melepasi pertahanan Malaysia sebelum menewaskan ketangkasan Syed Adni.

Pada minit ke-87, Myanmar terpaksa bermain dengan sepuluh pemain apabila Kyaw Khing Win dikenakan kad merah dan diarahkan keluar padang kerana mengasari Mohd Zaquan Adha.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan hadiah.


(Renungan Rimau (RR): Pemain Malaysia perlu menjaga sikap mereka. Tidak payahlah "menghalau" pemain lawan keluar setelah diberikan kad merah. Biarlah dia orang "blah" secara hormat. Steadylah brother, jangan kerana sakit hati buat perangai macam budak-budak. Arwah Mokhtar Dahari dulu pun tak buat macam tu)

No comments: