Thursday, August 16, 2007

SAMBUTLAH WIRA PENDAKI TEBING TINGGI

Malam ini, marilah kita bersama-sama menyambut kepulangan lima pendaki tebing tinggi yang berjaya menakluki puncak Bukit Lawi di Sabah dalam satu percubaan yang amat mencabar. Merekalah wira Malaysia. Pasukan Hydrofuel Bukit Lawi Puncak Merdeka 2007 mencapai kejayaan ini, kelmarin. Inilah kali pertama kumpulan pendaki tempatan berjaya sampai ke puncak berkenaan. Sebelum ini, hanya satu kumpulan luar negara yang berjaya berbuat demikian. Itupun enam tahun lalu.

Untuk naik ke base camp, 12 pendaki pasukan itu mengambil masa sehari. Seterusnya, dari base camp ke puncak, mereka mengambil masa selama lima hari. Pendaki ini terpaksa membuat aktiviti harian termasuk sembahyang dan tidur dalam ruang yang kecil dan sempit. Di kawasan tebing yang menegak. Sungguh mencabar dan menggerunkan. Seperti hidup tergantung di tebing tinggi. Bayangkan filem Cliffhanger pada 1993, arahan Renny Harlin dan dibintangi Sylvester Stallone dan John Lithgow.

Hanya lima pendaki berjaya sampai ke puncak Bukit Lawi pada 14 Ogos, jam 11.05 pagi. Setinggi-tinggi tahniah kepada rakyat Malaysia yang berani dan cemerlang ini. Marilah bersama-sama menyambut mereka di LCCT malam ini.

No comments: