Saturday, August 11, 2007

INSAN TERBILANG, INSAN TERBUANG (2)


BANGI: Kartunis terkenal, Datuk Muhammad Nor Khalid, yang lebih terkenal dengan nama Lat, adalah antara lima penerima ijazah kehormat dan Profesor Emeritus sempena Majlis Konvokesyen ke-35 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Bangi, hari ini.

LAT dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Antropologi dan Sosiologi) sebagai pengiktirafan bagi jasanya menghasilkan seni kreatif dalam bentuk kartun yang disifatkan mempunyai unsur komedi intelek.

Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, berkata setiap hasil karya Lat menyelitkan pelbagai keadaan dalam dunia dan masyarakat hari ini serta menyentuh isu global.

Menurutnya, kartun Lat juga mempunyai unsur perpaduan kaum dan mengandungi pelbagai mesej menyentuh isu kepelbagaian budaya, kemiskinan, kepemimpinan, hubungan kuasa, percintaan serta gender.

'Karya Lat juga universal dan mencerminkan sifat karyawan itu yang sensitif dan mampu mengkaji isu sosial serius, selain kreatif, yang memberikan tafsiran dan perspektif tersendiri,' kata Dr Sharifah Hapsah dalam satu sidang media kelmarin.

Penerima lain anugerah itu termasuk mantan menteri, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, iaitu bagi Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang. (KLPOS)

(Nota: Setinggi-tinggi tahniah Dr LAT. Saya pernah menulis pada 11 Ogos lalu mengenai [ LAT ] yang perlu diberikan penghormatan dan kedudukan yang tinggi. Kita hanya mengingati insan yang terbilang seperti TS P Ramlee selepas kematiannya. Mungkin LAT boleh dianugerahkan Tan Sri pada tahun hadapan? Namanya yang terkenal di seluruh dunia dan secara langsung mengharumkan Malaysia, sudah tentu wajar diberikan penghormatan tertinggi itu.)

No comments: