Wednesday, May 16, 2007

GURU BAIK, ANAK MURID PUN BAIK

Dapat SMS daripada AMY - "Salam. Happy Teachers' Day. Walaupun u bukan cikgu, tapi ilmu yang dikongsi dan dicurahkan sama macam cikgulah juga." Terima Kasih Amy.

Sebenarnya Amy, saya pernah mengajar di beberapa institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Akademi TV3. Ramai juga anak murid saya. Mereka akan menegur saya apabila bertemu di mana saja, malah ada juga yang membuat komen dalam blog ini. Saya mengajar ilmu kewartawanan dan tidak hairanlah anak murid saya sudah menjadi editor, wartawan, pengacara rancangan dan juga pembaca berita. Tahniah untuk mereka yang sudah berjaya dan berusaha lagi kepada mereka yang masih belum mencapai kejayaan.

Pada hari guru ini, saya mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang pernah mengajar saya di Masjid Tanah English School, Sekolah Tinggi Melaka, UiTM dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Mereka datang dalam pelbagai bentuk (they come in various shapes and sizes) tetapi mempunyai satu hasrat untuk memberi ilmu kepada anak murid. Kepada semua guru tidak kira anda berjaya memberi ilmu sepenuhnya, separuh atau sedikit saja, sumbangan anda amat bermakna terutama dalam menjadikan saya seorang insan yang berguna kepada negara, bangsa dan agama. Hanya tuhan saja yang akan membalas jasa guru saya.

Namun, saya berdoa agar guru-guru di negara ini sentiasa kreatif dalam mendidik anak murid mereka. Ini penting bagi memastikan anak murid memperolehi ilmu yang diberikan dengan hati yang terbuka. Saya mencadangkan mereka menggunakan teknik yang mudah dan sesuai untuk mendapatkan perhatian anak murid agar mereka selesa dan gembira mendapat ilmu yang diberikan. Ini mengingatkan saya kepada Cikgu Ahmad di MTES yang bagi saya adalah guru paling kreatif dan membolehkan saya memahami erti kehidupan dan alam sekeliling.

Ketika di sekolah rendah lagi, Cikgu Ahmad telah berjaya menarik minat saya untuk memikirkan dan mencari ilmu mengenai kehidupan di alam ini termasuk kemajuan teknologi. Walaupun beliau mengajar bahasa Melayu tetapi Cikgu Ahmad telah berjaya membuat saya berfikir secara kreatif dan sentiasa mencari ilmu sepanjang masa. Bayangkan ketika di peringkat sekolah rendah lagi, Cikgu Ahmad telah berjaya mengaitkan ilmu sains dan sejarah dengan teknik bersahaja.

Soalannya ialah jika orang dulu-dulu bangun daripada kubur dan melihat kapalterbang, adakah mereka akan lari? Ketika itu, saya merasakan mengapa perlu orang dulu-dulu lari apabila melihat kapalterbang seperti mana saya melihat sekarang. Lantas beliau terus mengadaikan bahawa jika kita dihidupkan semula pada masa depan dan melihat rumah terbang ke sana dan kemari, sudah tentu kita akan lari bertempiaran. Begitu juga orang dulu-dulu akan lari bertempiaran jika mereka melihat kapalterbang atau kereta di jalan raya. Itulah yang dinamakan kreatif dan berjaya menarik minat anak murid untuk berfikir dan memahami apa yang diajarkan.

Teknik saya pula ialah memberikan pelbagai contoh daripada pengalaman ketika mengajar ilmu kewartawanan. Ini menarik minat anak murid untuk mendengar "cerita" yang akan diselitkan pelbagai ilmu seperti untuk menjadi wartawan yang baik, membentuk penulisan kreatif dan bertenaga, cara membuat laporan sidang akhbar atau membuat laporan mengenai peperangan. Jika guru terlalu menekankan kepada buku saja tanpa menyelitkan "cerita-cerita" menarik ini, sudah tentu anak murid akan bosan dan tidur. Oleh itu, saya mencadangkan agar IPTS dan IPTA mengambil mereka yang berpengalaman untuk mengajar seperti yang dilakukan di negara-negara maju.

2 comments:

ahm said...

maknanya kalau guru jahat maka anak muridnya akan turut jadi jahat. bagaimana acuan begitulah hasilnya.

secara literalnya berkemungkinan juga mat rempit terhasil hasil daripada guru rempit. oleh itu pastikan tiada guru yang jahat di dalam komuniti kita supaya generasi mendatang akan selamat.

sekadar interpretasi kosong sahaja

ibrahim yahaya said...

Sdr Ahm,

Guru yang baik akan melakukan banyak perkara yang berguna termasuk memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada anak murid mereka. Gabungan ilmu dan nasihat ini akan menjadikan anak murid mereka individu yang berfikiran waras dan tidak melakukan perbuatan yang tidak berfaedah.

Mat rempit terjadi kerana tiada nasihat dan teguran daripada ibu bapa. Mat rempit bermaharajalela kerana masyarakat memandang sepi dan tidak mengambil sebarang tindakan untuk memperbaikinya.