Thursday, May 27, 2010

KENYATAAN SERIUS, KATA KHAIRY

KUALA LUMPUR 26 Mei - Pemuda UMNO memandang serius kenyataan Ketua Pemuda MIC, T. Mohan bahawa parti itu tidak akan teragak-agak mengkaji semula kedudukannya dalam Barisan Nasional (BN) sekiranya UMNO terlibat dengan penganjuran Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS).

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, beliau telah menghubungi Mohan bagi meminta MIC menghentikan tuduhan-tuduhan liar kononnya UMNO menjadi dalang kepada gerakan menjatuhkan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu melalui GAS.

"Saya juga menegaskan kepada beliau (Mohan) bahawa kenyataannya yang berbaur ugutan untuk keluar daripada BN adalah tidak wajar sama sekali.

"Sebaliknya, parti-parti komponen sepatutnya mengukuhkan lagi hubungan sesama sendiri menjelang Pilihan Raya Umum ke-13," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mohan itu yang dibuat selepas bekas Timbalan Ketua Pemudanya, V. Mugilan dilaporkan akan membawa 7,000 ahli GAS pada majlis perhimpunan dan pelancaran pertubuhan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Ahad ini.

Khairy dalam pada itu turut menegaskan, UMNO tidak terbabit sama sekali dalam kemelut MIC seperti yang dituduh oleh beberapa pemimpin parti tersebut.

Anak Samy Vellu, S. Vell Paari sebelum ini menuduh UMNO menjadi dalang kepada masalah yang wujud dalam MIC dan melakukan 'pembunuhan politik' terhadap parti itu bagi memecah- belahkan BN.

"Sekiranya MIC mempunyai sebarang krisis dalaman, maka, ia merupakan masalah yang perlu cepat diselesaikan sendiri oleh MIC, supaya kita dapat bersama-sama mengukuhkan BN," katanya. - UTUSAN

1 comment:

Husin Lempoyang said...

Kenyataan plastik