Monday, May 31, 2010

LAGU AJAI BAWA TUAH


BANDAR SUNWAY: Lagu Tak Mungkin Kerna Sayang ciptaan Ajai lirik oleh Habsah Hassan yang disampaikan Alyah muncul sebagai juara pada malam kemuncak Gah 1 Akhir musim ke-7 anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Surf Beach, Sunway Lagoon, di sini, malam tadi.
Alyah juga meraih kemenangan berganda apabila persembahannya dinobatkan sebagai persembahan terbaik sekali gus menerima ganjaran RM10,000.
Kemenangan sebagai Lagu Terbaik itu melayakkan mereka bertiga membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 berserta trofi dan sijil sekali gus mengetepikan impian lapan calon lain untuk menggenggam gelaran sama.

Tempat kedua yang menawarkan wang tunai RM30,000 berserta trofi dan sijil diraih lagu Cinta Adam dan Hawa hasil ciptaan Azmeer dan lirik Allahyarham Loloq dendangan Juara Bintang RTM 2009, Erni yang menggantikan Misha Omar.

Sementara itu, Sixth Sense yang mempertaruhkan Khatimah Cinta ciptaan mereka sendiri menewaskan finalis lain bagi kategori Lagu Paling Popular Gah 1. Mereka membawa pulang wang tunai RM20,000.

Hadiah disampaikan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.
Berkonsepkan fiesta, rancangan hiburan berbentuk carta lagu popular itu diadaptasi daripada carta Muzik FM. Program ini disiarkan secara langsung menerusi TV2 dan Muzik FM, yang juga bertindak sebagai radio rasmi.

Finalis lain yang turut beraksi ialah Azharina Azhar (Rawan), Stacy (Pakai Buang), Tomok (Rindu Terhenti), Faizal Tahir (Bencinta), Stacy & Adam (Menggegar Dunia) dan Grey Sky Morning (Cinta Gila).

E'One atau Mohd Syazwan Roslan dan bekas peserta Bintang RTM 2004, Eyeja Arshad bertindak sebagai pengacara. - BERITA HARIAN.

No comments: