Monday, May 31, 2010

ALYAH YANG PALING GAH


KUALA LUMPUR 30 Mei – Menepati jangkaan ramai, lagu Tak Mungkin Kerana Sayang nyanyian Alyah mengungguli Anugerah Lagu Terbaik pada pertandingan Malam Kemuncak Gah 1 Akhir malam ini.

Pertandingan akhir yang diadakan di Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya dan disiarkan secara langsung menerusi TV2 itu menyaksikan Alyah membawa pulang wang tunai RM40,000.

Alyah yang memberikan persembahan yang sungguh menarik menerusi lagunya turut melayakkannya mendapat anugerah Persembahan Terbaik sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000.

Lagu Tak Mungkin Kerana Sayang merupakan ciptaan Ajai dan liriknya ditulis oleh Habsah Hassan.

Pertandingan yang sebelum ini dikenali sebagai Hits 1 ini turut menyaksikan lagu Cinta Adam dan Hawa ciptaan Azmir dan Lolok dendangan Erni yang menggantikan Misha Omar meraih Lagu Tempat Kedua lalu membawa pulang wang tunai RM30,000.

Pertandingan yang menyerahkan penonton untuk mengadili menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) iaitu anugerah Lagu Paling Popular Pilihan SMS diungguli oleh 6ixth Sense yang membawakan lagu Khatimah Cinta dan menerima wang tunai RM20,000.

Lagu-lagu lain yang dipertandingkan pada pertandingan Malam Kemuncak Gah 1 Akhir ialah Rawan (Azharina Azhar), Pakai Buang (Stacy), Rindu Terhenti (Tomok), Bencinta (Faizal Tahir), Menggegar Dunia (Stacy dan Adam) dan Cinta Gila (Grey Sky Morning).

Barisan juri terdiri daripada Datuk Johari Salleh, Datuk David Arumugam, Prof. Madya Khairil Johari Johar, Adnan Abu Hassan dan Razlan Razak.

Pertandingan yang diacarakan oleh E’one dan Eyeja Arshad turut diserikan dengan persembahan beberapa artis popular.

Antaranya ialah Sarah Raisuddin, Nubhan, One Nation Emcees, Kumpulan Kristal dan Kumpulan Aisunam menggegarkan pentas Malam Kemuncak Gah 1 Akhir itu. - UTUSAN.

1 comment:

jebat said...

Salam,

Maaf. Saya kurang minat lagu lagu kini. Minat saya pada lagu lagu Klasik, Keroncong, Tradisional, dan 60an.

JEBAT ... minat lagu Keroncong KL dan OF FATIMAH.