Oleh Ibrahim Yahaya
Semalam, ada dua perkara yang berlaku menagih bangsa Melayu bangun dari tidur atau lamunan untuk membantu golongan susah, benar-benar susah. Ini ada kaitan dengan kehadiran orang Melayu di gereja di Petaling Jaya baru-baru ini yang ada kaitan dengan kemiskinan dan keperluan hidup. Pertama melihat program Singgah Sahur TV3 dengan kumpulan gelandangan yang ramainya orang Melayu. Ada antaranya bekas tentera yang tidak selesa tinggal bersama anak-anaknya di Kuala Lumpur. Kedua ialah perbualan penulis dengan seorang sahabat lama ketika berbuka mengenai setakat mana kita sudah membantu golongan susah terutama agensi kerajaan yang bertanggungjawab dan orang perseorangan yang kaya raya.
Jika diperhatikan banyak bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat yang susah. Saban waktu, saban hari ada saja bantuan dari Perlis hingga ke Sabah. Lebih-lebih lagi tugas ini terserlah oleh kementerian yang bertanggungjawab. Penulis amat kagum dengan kegigihan Datuk Seri Shahrizat Jalil yang banyak membantu golongan susah ini termasuk turun padang menemui mereka. Dalam satu majlis yang disiarkan oleh media elektronik, kumpulan gelandangan ini menganggap DS Shahrizat sebagai dewi kebajikan mereka yang turun dari langit untuk menghulurkan bantuan. Mereka bersalaman, tersenyum dan sentiasa mengangguk-anggukkan kepala tanda terima kasih.
Golongan yang susah juga perlu diingatkan bahawa dewi yang dikatakan pernah disebut sebagai pelacur UMNO oleh beberapa wanita pengikut PAS ketika DS Shahrizat menziarah Allahyarham Dr Lolo, adalah dewi yang mewakili kerajaan ditugaskan untuk membantu mereka. Dewi ini sepatutnya menang di PRU13 jika diberikan tiket untuk bertanding. Orang kerja kuat, semua pihak kena sokong. Beliau banyak membantu dalam PRK yang lalu cuma adakalanya permintaanya dilihat sebagai sedikit keterlaluan terutama calon wanita. Yang itu, kena perlahan sikit.
Selain kerajaan, penulis melihat ramai juga orang perseorangan yang membantu saban hari termasuklah orang yang tergolong dalam 10 terkaya di negara ini iaitu TS Syed Mokhtar Al-Bukhary. Usahawan seperti ini sudah banyak membantu NGO atau orang perseorangan yang memerlukan. Daripada membina muzium Islam sehinggalah menyumbang kepada kajian warisan. Oleh itu, mereka ini bolehlah dikategorikan kepada kumpulan yang sentiasa bersyukur dan sanggup memberi balik apa yang mereka perolehi daripada keuntungan dengan projek-projek kerajaan.
Begitu juga agensi kerajaan seperti baitulmaal atau pusat zakat yang telah banyak membantu golongan orang susah setiap masa. Mereka membantu orang susah meneruskan kehidupan terutama yang tiada pendapatan atau perlu dibantu kerana kecacatan atau menghadapi malapetaka seperti kebakaran atau kecelakaan.
Bagaimanapun, usaha yang dilakukan oleh kerajaan, usahawan budiman dan agensi kerajaan masih lagi tidak cukup. Ini memerlukan sokongan daripada semua pihak termasuk golongan usahawan yang sudah banyak mendapat faedah daripada projek-projek kerajaan. Apa yang berlaku sekarang ini bukanlah satu yang boleh dipandang ringan dan ditutup mata begitu saja. Sebagai contoh, sahabat penulis yang pernah mengendalikan kawasan Parlimen sering didatangi oleh ibu tunggal yang memerlukan segala macam bantuan. Apabila beliau menyarankan supaya ibu tunggal ini menubuhkan persatuan dalam sekelip mata ahlinya menjadi 250 orang. Tolaklah lima peratus yang laporannya tidak betul, yang 95 peratus lain amat memerlukan terutama mereka yang ditinggalkan suami atau bercerai. Ada banyak kes di mana wanita ditinggalkan oleh suami asing yang pulang ke negara masing-masing. Inilah golongan yang amat perlu dibantu terutama mereka yang ramai anak yang memerlukan wang ketika sekolah dibuka atau hari keramaian.
Usahawan yang mempunyai wang perlu melaksanakan segera usaha membantu golongan susah ini daripada menghabiskan duit dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Umpamanya bermain 'golof' di padang golf di Indonesia. Mereka perlu menghayati penderitaan perit yang dilalui oleh golongan ini. Tolonglah rasa penderitaan tingal di rumah yang usang dan sentiasa dimasukki air hujan. Satu lagi kumpulan ialah mualaf yang dilihat sentiasa dirundung malang akibat ditolak oleh keluarga atau ibu bapa. Mereka ini amat memerlukan bantuan atau bimbingan supaya dapat membina jatidiri untuk terus menganut agama Islam.
Agensi kerajaan yang ditugaskan membantu golongan ini perlu segera melaksanakan tugas agar mereka dapat bantuan tanpa perlu melalui protokol atau peraturan yang menyusahkan. Ingatlah, orang lain sudah 100 langkah ke hadapan membantu kaum mereka atau yang seagama dengan mereka. Janganlah kita ketinggalan sehinggakan ada pihak mengambil kesempatan daripada kelemahan kita dengan menarik golongan susah ini menyertai agama mereka menerusi bantuan kewangan.
Monday, August 8, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment