Tuesday, August 23, 2011

SHAHRIZAT TIDAK KISAH

gambar oleh Minaq Jinggo


Oleh Lukman Abdullah

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyerahkan sebulat-bulatnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menentukan samada beliau akan bertanding pada mana-mana kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 nanti.

Baginya, sama ada beliau dicalonkan atau tidak bukan perkara utama kerana selaku ketua mesti mengutamakan persiapan satu jentera yang boleh membawa kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

“Itu adalah satu tugas yang saya pikul dengan penuh amanah, saya akan jalankan tugas saya dengan sebaik-baiknya, saya mesti 'deliver' pada PM satu jentera yang akan jadi tulang belakang dan akan menentukan kemenangan BN,” tegas Shahrizat yang ditemui Agendadaily pada Majlis Berbuka Puasa dengan pengamal media di Kuala Lumpur, petang Isnin.

Mengulas lanjut tentang beliau akan dicalonkan atau tidak, Shahrizat berkata, “saya tanding atau tidak bukan satu perkara utama kerana keutamaan jentera wanita mesti mantap dan menjadi tulang belakang untuk bawa kemenangan.” “Jentera Wanita mesti bersatu padu, berdisiplin dan ada pelan strategi di samping siap siaga, itu janji saya kepada PM, dari mula saya jadi ketua hingga sekarang saya tidak pernah
berginjak daripada tanggungjawab ini.” jelas beliau.

Ditanya persiapan Wanita hadapi PRU, Shahrizat menjelaskan pihaknya sentiasa siap siaga, apabila Perdana Menteri umum tarikh pilihan raya kita akan turun ke padang.

Menurutnya, jentera Wanita BN pun berada dalam keadaan yang sihat kerana semangat di kalangan mereka berkobar-kobar untuk mempertahankan perpaduan dan keamanan negara.

“Kami bukan hanya ahli politik tetapi kami Wanita BN sebagai ibu kepada satu-satunya negara Malaysia, kita akan berjuang sepenuhnya mempertahankan perpaduan dan keamanan. Kita tidak lihat dari segi politik semata-mata tetapi sebagai ibu yang hendak mempertahankan negara tercinta ini, saya rasa bertuah selaku ketua mendapat serikandi dan wirawati yang sentiasa siap siaga,” katanya.

(Renungan Rimau : DS Shahrizat rajin dan kerja kuat. Tahniah Wanita UMNO).

No comments: