Wednesday, June 13, 2007

HANG NADIM MODEN (6)


(Azad, Khairul dan rakan di HQ Kleemann)

Ketika bersembang dengan Azad dan Khairul, saya sering menasihatkan mereka agar menjadikan Kumpulan Naza sebagai ikon mereka dalam industri automotif. Ini kerana berkat kegigihan, disiplin dan komitmen tinggi dalam bidang perniagaan, Kumpulan Naza muncul sebagai antara syarikat terkemuka negara yang menyediakan banyak pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Saya rasa layak untuk memperkatakan mengenai kejayaan Kumpulan Naza kerana saya mengikuti perjalanan kumpulan ini sebagai wartawan dan pelanggan. Sebagai wartawan, saya mengikuti evolusi Naza daripada sebuah syarikat kereta terpakai di Kampung Baru, Kuala Lumpur kepada pengedar kereta Korea dan Eropah yang amat disegani. Malah Naza kini sudah mengeluarkan kereta jenama mereka sendiri dan menyediakan banyak pekerjaan di kilangnya di Gurun, Kedah. Kumpulan itu juga terbabit dalam beberapa bidang lagi seperti perhotelan dan pembangunan hartanah.

Sebagai pelanggan, saya membeli Mercedes Benz, Honda Integra, Honda CRX, Honda Accord dan Honda CRV daripada Naza di Kampung Baru. Layanan mesra Tok Aji dan anak-anak buahnya sejak dari mula lagi membuat saya sentiasa tertarik untuk membeli kereta daripada Naza. Malah Tok Aji yang sudah menjadi orang kuat Kumpulan Naza masih peramah, berbudi bahasa dan berhati mulia. Ini terbukti dalam setiap pertemuan dengannya dan yang terbaru ialah pada April lalu.

Bagi Azad dan Khairul, penubuhan Kleemann Asia Pasifik Sdn Bhd (KAP) adalah satu manifestasi kepercayaan dan keyakinan pengurusan syarikat multinasional kepada keupayaan anak tempatan. Ia adalah satu tanggungjawab besar untuk dipikul dan memastikan KAP mampu meningkatkan jualan kereta berstatus premium di rantau Asia Pasifik.

Kejayaan atau kegagalan KAP akan mencerminkan setakat mana kemampuan rakyat Malaysia untuk menjadi pemain utama atau main player dalam industri automotif di rantau ini. Mereka mempertaruhkan maruah bangsa dan negara dalam memikul kepercayaan dan tanggungjawab besar mereka. Kumpulan Naza telah membuktikan keupayaan rakyat Malaysia dan kini giliran KAP untuk mengikuti jejak langkah gemilang kumpulan berkenaan.

Sehubungan itu, kerajaan perlu membantu KAP dengan memberikan segala keperluan seperti permit import R & D bagi membolehkan mereka memulakan langkah menjadikan Malaysia sebagai ibu pejabat Kleemann dan hab kereta berstatus premium di rantau Asia Pasifik. Kumpulan Naza telah berjaya menjual kereta mampu milik dan berstatus premium seperti Brabus kepada rakyat Malaysia dan tidak ada sebab KAP tidak boleh melakukannya jika mereka mempunyai disiplin dan komitmen yang tinggi. Yang penting, mereka perlu diberi peluang membuktikannya.

Nota: Baca mengenai [ Kumpulan Naza ] dan bidang yang diterokainya.

No comments: