Wednesday, June 27, 2007

PRU12 : RAMALAN TOK NUJUM (3)


(Datuk Noraini Ahmad)

PRU12 sudah pasti akan menyaksikan kemunculan wira-wira Presiden UMNO atau "all the presidents men" yang selama ini membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dari jauh dan dekat.

Pemimpin pelbagai peringkat ini telah memberikan khidmat terbaik kepada Perdana Menteri yang membolehkan DS Abdullah mentadbir negara ini tanpa sebarang masalah besar dan meruncing. Sokongan tidak berbelah-bahagi dan kesetiaan kepada pemimpin ini membolehkan pentadbiran Datuk Seri Abdullah mengharungi pelbagai cabaran termasuk kritikan daripada tokoh-tokoh politik UMNO dan pembangkang. Ada yang terlalu kasar dan menyakitkan.

Antara wira-wira itu ialah Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Osman Desa; Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Datuk Reezal Merican Naina Merican dan Ahli Majlis Tertinggi yang juga Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria.

Beberapa lagi individu yang setia kepada Paklah dan sentiasa memberi sokongan padu kepada Presiden UMNO seperti Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad; Bendahari UMNO, Datuk Azim Zabidi dan bekas EXCO Perlis, Datuk Zahidi Zainol Abidin, akan diberikan tempat untuk bertanding.

Tan Sri Nor yang kini senator sudah pasti diberikan tempat di salah satu kawasan Parlimen di Pulau Pinang untuk membolehkan beliau meneruskan tugas membantu Paklah menjaga portfolio kewangan. Ini kerana segala usaha dan rancangannya sudah mula menampakkan hasil termasuk memantapkan keupayaan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan prestasi Bursa Malaysia. Dua lagi pemimpin yang akan diberikan tempat di Pulau Pinang ialah Datuk Osman dan Datuk Reezal Merican.

Datuk Azim pula akan mendapat tempat di kawasan Parlimen di Perak bagi membolehkannya memegang jawatan timbalan menteri atau menteri setelah BN membentuk kerajaan. Beliau juga disebut-sebut antara nama yang dipertimbangkan untuk menerajui kerajaan negeri. Datuk Norza, seorang akauntan pula dijangka bertanding di Wilayah Persekutuan. Beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO bagi mewakili Pergerakan Pemuda UMNO. Langkah beliau menerbitkan sebuah buku mengenai Paklah mendapat kritikan hebat daripada penulis blog.

Datuk Noraini yang dilahirkan di Batu Pahat dijangka mendapat kawasan di Johor. Kesempatan diberikan kepada Datuk Noraini ialah kerana beliau adalah Ketua Puteri UMNO sejak 2004 selain mempunyai kelayakan yang baik iaitu Ijazah Sarjana Muda Perdagangan Kuantitatif Analisis dan Kewangan, University of Saskatchewan, Kanada dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur.

Datuk Zahidi, yang pernah memegang jawatan EXCO Perlis dikatakan akan mengambil tempat di salah satu kawasan Parlimen di Perlis. Selain beliau, beberapa nama lagi dipertimbangkan untuk diberi tempat termasuk Ketua Pemuda Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman.

Namun, "ramalan" mengenai kemasukan Khairy Jamaluddin (KJ) dalam PRU12 kali ini masih "samar-samar" kerana beliau dikatakan belum berminat bertanding dalam pilihanraya. Yang pasti KJ mahu terus membantu bapa mentuanya menerusi pembabitann secara aktif dalam Pergerakan Pemuda UMNO. KJ adalah Naib Ketuanya yang dilihat penyokong kuat Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn.

No comments: