Tuesday, June 12, 2007

PERSAHABATAN MELANGKAU BANGSA


(Pokok Persahabatan. Hasil karya Noor Cynta Camilia)

Hari ini, saya mendengar cerita daripada seorang ayah yang begitu gembira dengan perkembangan terbaru mengenai anaknya. Beliau memberitahu saya anaknya dipelawa untuk bekerja dengan syarikat rakannya. Pelawaan si rakan itu berdasarkan hubungan erat mereka sejak dari kecil lagi. Ini kerana si ayah sentiasa menggalakkan anaknya berkawan dengan semua bangsa. Semua bangsa, sepanjang masa.

Ramai rakan anaknya sering bertandang ke rumahnya. Ada yang datang untuk makan tengah hari dan ada juga yang bermalam dirumahnya. Mereka tidur beramai-ramai dalam bilik anaknya. Adakalanya macam ikan sardin. Satu bilik, satu bau.

Banyak kali berlaku rakan Cina yang tidur di rumahnya tolong mengejut anak beliau untuk bangun sembahyang subuh. Ada juga yang bersahur bersama keluarganya ketika mereka bermalam pada bulan Ramadan. Anaknya pula sering memintanya membeli buah limau atau pokok limau untuk dihadiahkan kepada rakan pada Tahun Baru Cina. Sehingga hari ini, rakan Cinanya terus beragama Buddha.

Inilah kemanisan persahabatan. Masing-masing menghormati antara satu sama lain. Rakan Cinanya kini mempelawa anak beliau bekerja dengannya. Hasrat mereka untuk menjadi sebuah syarikat "Ali Baba" yang termasyhur di negara ini. Setidak-tidaknya membuktikan kepada dunia bahawa persahabatan melangkau sempadan bangsa dan agama.

Semangat persahabatan antara kaum dan bangsa ibarat sebatang pokok yang perlu dibaja sepanjang masa. Ini penting agar akar persahabatan itu kukuh bagi menunjangi pokok untuk hidup sehingga beratus-ratus tahun.

No comments: