Thursday, June 14, 2007

PENDAKIAN SOLO 50 PUNCAK KINABALU

Pernahkah anda mendaki Gunung Kinabalu di Sabah? Jika sudah sampai ke puncak 4,095 meter gunung itu, maka anda adalah antara ratusan ribu manusia yang harus berbangga dengan pencapaian peribadi. Simpanlah sijil mendaki yang diperolehi dengan baik untuk menjadi bahan tontonan anak cucu nanti. Saya juga menyimpan sijil pendakian itu untuk dijadikan inspirasi kepada keturunan saya pada masa akan datang. AJ sudah melakukannya.

Pengalaman mendaki Gunung Kinabalu amat indah sekali. Sukar untuk dilupakan termasuk kepenatan mendaki ribuan anak tangga untuk menuju ke puncak. Selain menikmati suasana indah termasuk meyaksikan pelbagai flora dan fauna di puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara, pendaki juga boleh melihat pemandangan indah dari atas gunung.

Udaranya sungguh nyaman dan mengasyikkan dengan bunyi serangga-serangga kecil seolah-olah gembira dengan kedatangan pendaki. Itulah sekali saya berada di puncak Gunung Kinabalu dan bagi saya, kejayaan itu amat mendalam dan bermakna sekali. Cubalah merasakan keindahan suasana itu walaupun sekali dalam hidup anda.

Kini, ada usaha gemilang mendaki Gunung Kinabalu sempena 50 tahun kemerdekaan. Pendakian solo ini ingin dijayakan oleh Saudara Mohd Noor Mat Amin, jurugambar akhbar Utusan Malaysia pada Julai depan. Pendakian ini bukan sekali, dua atau tiga kali tetapi sebanyak 50 kali dalam tempoh 50 hari. Perrrggghh. Itulah yang ingin dilakukan oleh rakan saya, Mohd Noor.

Pendakian solo sehingga puncak Gunung Kinabalu yang dilakukan setiap hari selama 50 hari tanpa henti ini sempena menyambut ulangtahun kemerdekaan negara ke 50 tahun. Ia bersesuaian dengan Tahun Melawat Malaysia 2007 dan akan dapat membuktikan kepada dunia bahawa di Malaysia juga mempunyai destinasi terbaik melakukan pelbagai cabaran.

Projek itu diilhamkan oleh Mohd Noor, anggota Ekspedisi Malaysia-Everest 97 yang telah mencatatkan pengalaman menerusi buku bertajuk Jejak ke Puncak. Beliau bakal menjadi pendaki pertama di dunia dengan melalukan pendakian solo ke puncak Gunung Kinabalu sebanyak 50 kali tanpa henti selama 50 hari. Pihak World Guiness Records akan mengiktiraf kejayaan ini.

Selamat mendaki Saudara Mohd Noor.

No comments: