Thursday, August 2, 2007

INSAN TERBILANG, INSAN TERBUANG (1)

Perbualan dengan MAZA tengah hari ini banyak menyentuh sikap masyarakat kita terhadap individu terbilang di negara ini. Umpamanya, TS P Ramlee, beliau boleh dikategorikan sebagai insan terbilang kerana hasil karyanya mengetengahkan isu masyarakat yang relevan sepanjang masa. Ini bermaksud zaman saya, anak dan cucu, akan tetap menghayati karya TS P Ramlee yang banyak mempotretkan wajah sebenar Malaysia. Kehidupan sebenar kita,..ya kita sendiri.

Apabila kita ketawa menonton filem P Ramlee, kita sebenarnya mentertawakan diri sendiri.Seperti juga filem Charlie Chaplin dan Mr Bean.

Bagi MAZA, karya P Ramlee akan dilupai jika sikap masyarakat Malaysia berubah. Tetapi saya yakin ia akan relevan 100 tahun lagi. Ini kerana sikap masyarakat negara ini sama saja seperti sebelum merdeka lagi. Setidak-tidaknya dari segi pemikiran mengenai hidup bermasyarakat. Mungkin lebih teruk lagi. Umpamanya, mengikut MAZA, dalam satu filem yang mengisahkan kehidupan seorang guru yang bergiat cergas dalam bidang jualan langsung. Ia masih berlaku sekarang dan mungkin boleh mengabaikan tugasan hakiki sebagai pendidik untuk melahirkan generasi cemerlang.

Persoalannya, tahukah anda bilakah karya TS P Ramlee disanjungi? Sudah tentu selepas kematiannya. Apakah ini cara terbaik untuk mengenang insan terbilang? Mungkin kita sudah tersilap langkah dengan cara pengiktirafan terhadap TS P Ramlee. Bagaimana pula dengan insan terbilang lain, umpamanya Lat atau Datuk Mohd Nor Khalid.

Bagi saya, Lat adalah P Ramlee dalam dunia lukisan kartun. Karyanya mempotretkan wajah sebenar rakyat Malaysia. Kita akan tertawa melihat lukisan kartun Lat. Bacalah hasil karya Lat. Anda akan ketawa apabila melihat karyanya. Amat melucukan. Setakat ini, Lat pernah menerima anugerah Fukuoka Asia Culture Prize (Hadiah Seni dan Budaya) pada 2002 selain hadiah juri khas daripada Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Sudah sampai masanya Lat ditempatkan di satu kedudukan yang tinggi.

Mungkin boleh difikirkan oleh kerajaan terutamanya KEKKWA. Insan terbilang ini, yang kini "menetap" di Ipoh, Perak, bukan saja dikenali di rantau ini malah di peringkat antarabangsa. Lat pernah menghasilkan siri kartun untuk Astro sedikit masa lalu. Sebuah syarikat televisyen antarabangsa mengambil inisiatif mendokumentarikan kehidupan Lat yang dianggap sebagai salah seorang individu terbilang di peringkat dunia. Lat juga akan berlepas ke Amerika Syarikat tidak lama lagi untuk menyertai kartunis seluruh dunia dalam mempamerkan hasil karya dan pemikiran mereka. Selamat terus berkarya Lat.

Bacalah wikipedia mengenai latarbelakang [ Lat ], insan yang terbilang dan kartunis yang melangkau sempadan bangsa.

1 comment:

JBingkasan said...

Saya sokong Lat diberikan ganjaran (bukan semestinya wang tunai) kerana tidak ada duanya Lat dirantau ini. Saya sangat bertuah kerana dapat kenali Lat lebih dekat. Adakalanya saya sungguh rasa terhormat kerana Lat menghubungi saya untuk butiran lanjut untuk beliau hasilkan kartunnya diakhbar New Straits Times.

Dia pernah memberitahu saya yang suatu ketika dahulu, seseorang mengirim surat kepadanya dengan hanya menulis `To Lat' disampul surat. Surat itu sampai dan telah diterima oleh Lat walhal surat itu daripada luar negara.

Begitu hebatnya Lat. With people like Lat, I am proud to a Malaysian.

Menanti lawatan Lat ke Kota Kinabalu.