Thursday, August 16, 2007

MELAYU BACUL? UMNO LETAK TUNGGUL?

Semalam, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menemui pemilik, pengendali laman web dan penulis blog di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya. Dalam majlis yang dianjurkan oleh Majlis Prihatin Malaysia (PRIMA), pelbagai isu ditimbulkan termasuklah mengenai sikap dan keberanian pemimpin dan orang Melayu sekarang.

Ikutilah laporan Hanafiah Man dalam AGENDADAILY.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan orang Melayu bacul kerana akan mengundi UMNO pada pilihan raya walaupun parti itu letakkan “tunggul’ sebagai calon.

Sehubungan itu beliau mengajak orang Melayu mengikut contoh pengundi Cina yang tidak mengundi kerana parti tetapi mengundi calon yang diletakkan.

“Saya kecewa dengan kaum saya…kalau letak tunggul kayu pun mereka akan sokong kerana tunggul kayu itu tunggul UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan yang dianjurkan oleh pengendali laman web dan blog di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari Rabu. Majlis tersebut dianjurkan oleh Majlis Prihatin Malaysia (PRIMA).

Pengerusinya Datuk Kamal Amir dalam aluannya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dengan memberi penghargaan khusus kepada pengendali Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin walaupun Malaysia Today sebenarnya menjadi wadah menyebarkan maklumat mengenai perjumpaan berkenaan.

Sebelum ini PRIMA bercadang mengadakan majlis sepetang bersama Raja Petra ekoran tindakan polis menyoal siasat pengendali Malaysia Today itu tetapi dibatalkan dan sebagai gantinya diadakan perjumpaan dengan Dr. Mahathir

Berdasarkan persiapan yang dibuat oleh Majlis Prihatin Malaysia (PRIMA), tempat duduk yang disediakan selain 130 kerusi tetap di dalam Dewan ia turut menyediakan kerusi tambahan dan skrin besar di luar dewan.

Namun kehadiran pada majlis tersebut hanya sekitar 100 orang.

Dr. Mahathir ketika memasuki dewan tempat berlangsungnya perjumpaan tersebut terdengar berkata “tak ramai orang pun”.

Menurut Dr. Mahathir, ahli-ahli UMNO tidak mempunyai pemikiran strategik ketika membuat keputusan dalam pilihan raya seperti pengundi Cina.

Dakwanya, orang-orang Melayu khususnya ahli UMNO tetap akan memberikan undi kepada parti itu walaupun pemimpin parti itu menjual agama, bangsa dan negara.

Katanya, dengan RM200 sahaja orang Melayu boleh dibeli untuk menyokong UMNO dan beliau mendakwa dalam pilihan raya umum yang akan datang banyak wang akan digunakan oleh UMNO untuk membeli undi khususnya di kalangan orang Melayu.

Menambah kepada kata-kata keras itu, Dr. Mahathir menuduh Majlis Tertinggi yang ada sekarang tidak berfungsi seperti Majlis Tertinggi di zamannya menjadi Presiden UMNO.

Sebaliknya Majlis Tertinggi kini hanya menyerah dan tunduk kepada keputusan yang dibuat oleh Presiden dengan dibantu oleh Timbalan Presiden.

Menjawab kepada satu saranan supaya beliau mengetuai gerakan orang Melayu bangun untuk menentang kepimpinan hari ini, beliau hanya berkata, kalau orang lain tidak sanggup untuk bangun menentang kepimpinan hari ini, itulah sifat Melayu.

“Sekarang kesetiaan kepada pemimpin lebih daripada setia kepada raja. Kalau tak sanggup menentang itulah nasib kita…kalau tak berani menentang, kita akan jadi kuli di negara kita sendiri,” ujar beliau.

Dalam pada melontarkan kenyataan keras, Dr. Mahathir pada masa yang sama menegaskan beliau tidak menyebelahi pembangkang tetapi menyebelahi negara, bangsa dan agama.

“Saya menyebelahi parti UMNO tidak bermakna saya menyebelahi pemimpin parti. Dulu saya lawan Tunku (Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra) sebab saya sayang UMNO tapi akhirnya dia dengar dan berundur," katanya.

Selain serangan terhadap UMNO dan pemimpinnya, Dr. Mahathir mengulangi kritikannya sebelum ini berhubung dengan isu pembatalan pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor, isu AP, penjualan Agusta dan Wilayah Pembangunan Iskandar.

Namun sesuatu yang baru ialah dakwaan beliau bahawa Volkswagen bercadang untuk membeli 51 peratus ekuiti Proton pada harga RM1 walaupun beliau sendiri mengakui maklumat itu tidak dapat disahkan.

3 comments:

The Watchman said...

Say setuju dengan pendapat Dr M mengenai tingkah-laku orang Melayu dalam hal mengundi. Mereka beri undi kepada UMNO yang kononnya mempertahankan maruah orang Melayu , bangsa dan negara.

Adakah ini benar? Pemimpin-peminpin UMNO hanya mempertahankan kepentingan diri mereka sahaja. Kepentingan Melayu?? Neh! Kedaulatan Raja Melayu? Neh! Kepentingan Islam? Neh!

Kepentingan poket? Tepat sekali!

Hasbullah Pit said...

Bukankah Dr.M juga yang memupuk semangat yang dia sendiri komplen sekarang ini?

Anonymous said...

Tun Dr M mungkin baru melihat kesilapannya. Tetapi ada ramai lagi yang tak perasan mereka tengah buat silap.

Bukan sahaja tunggul kayu kalau letak lembu pun orang UMNO pangkah.

Orang melayu setia kepada parti tak tentu pasal. Parti tidak dipertanggungjawabkan...... tetapi tanggungjawab dipikul oleh manusia bukan parti.

Oleh itu pilih calon yang terbaik bukannya setakat pilih parti. Pilihlah perjuangan yang benar dan bukannya sokong babi buta.