Saturday, August 25, 2007

PRU12: KAWASAN KUDIS AKAN SEMBUH?

Berita politik semasa MalaysiaKini semalam memaparkan bahawa Pemuda Umno Pulau Pinang bersedia menawan semula kerusi Parlimen Permatang Pauh dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihanraya Umum Ke12 (PRU12) yang dijangka diadakan akhir tahun ini atau awal tahun depan. Keyakinan itu untuk menawan kawasan kudis ini disuarakan oleh Setiausahanya, Ramlan Ishak.

Kawasan kudis? Panggilan kudis itu dilaporkan dibuat oleh Ketua Wanita Umno Pulau Pinang, Datin Jahara Hamid, Rabu lalu. Beliau mengumpamakan Permatang Pauh sebagai sebuah`kawasan berkudis' sehingga berjaya dimenangi PKR sejak dua penggal lalu. Ia menjadi kawasan berkudis sejak peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh ketika itu. Kesannya, kata Jahara, masih ada sehingga hari ini dan kudisnya belum sembuh sepenuhnya walaupun peristiwa itu berlaku hampir 10 tahun lalu.

Namun, Ramlan mempunyai pandangan berbeza. Sambil mendakwa kedudukan PKR yang lemah, beliau berkata, pihaknya juga memberi tumpuan khas, termasuk memantau dan menangani isu yang ditimbulkan pembangkang. "Pengaruh parti itu di Permatang Pauh sudah menuju angka sifar dan boleh berkubur bila-bila masa sahaja ekoran pengikutnya keluar beramai-ramai. "Apa yang PKR Permatang Pauh ada lagi sekarang? Ahli tidak ada, jentera pilihanraya pun tidak ada. Apa yang mereka boleh buat? "Rakan mereka iaitu PAS tidak mempunyai isu yang boleh digunakan dalam pilihanraya umum akan datang," katanya kepada Malaysiakini.

Parlimen Permatang Pauh sejak dua penggal lalu diwakili oleh Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, yang juga Presiden PKR. Permatang Pauh sebelum itu pernah menjadi kubu kuat Umno semasa DSAI menjadi ahli Parlimen kawasan itu dari 1982 hingga 1995. Bagaimanapun, pemecatan beliau pada 2 September 1998 menyebabkan Umno Permatang Pauh berpecah dua iaitu mereka yang menyokong Umno dan satu lagi keluar parti dan menyokong PKR. Dalam pilihanraya umum 1999, Wan Azizah mengalahkan Datuk Ibrahim Saad, (orang kuat FAM yang menerima kritikan teruk kerana kekalahan pasukan bolasepak negara) manakala pada pilihanraya lalu, beliau mengalahkan Datuk Pirdaus Ismail, bekas imam Masjid Negara dan juga Exco Pemuda UMNO.

Bagi saya, Permatang Pauh adalah antara beberapa kawasan Parlimen yang sudah pasti menjadi tumpuan UMNO dan BN pada PRU12 akan datang. Kawasan Parlimen ini yang dimenangi oleh pembangkang perlu dikembalikan demi untuk memaparkan bahawa UMNO dan BN mampu mengambil semula Kawasan Parlimen (KAPAR)atau Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) itu. Bukan kerana maruah tetapi memastikan rakyat di kawasan itu terus menikmati nikmat pembangunan seperti di kawasan lain yang diwakili oleh calon BN. Tiada rakyat yang perlu tertinggal daripada pembangunan.

Malah kerajaan juga terus-menerus membawa pembangunan di kawasan yang dimenangi oleh calon pembangkang dan bebas untuk menunjukkan bahawa pembangunan itu perlu untuk rakyat walaupun mereka mengundi pembangkang. Penerusan pembangunan itu untuk memaparkan bahawa kerajaan tidak pernah menganaktirikan rakyat untuk menikmati pembangunan. Bagaimanapun, ia juga sebagai petunjuk atau signal kepada rakyat bahawa BN boleh membawa lebih banyak faedah lain di samping kemudahan asas seperti jalan raya atau pembinaan jambatan.

Umpamanya, di Kuala Penyu, Sabah yang dimenangi oleh bekas orang kuat UMNO, John Ghani, di mana diperhebatkan lagi pembinaan pelbagai kemudahan asas terutama jalan raya sehinggakan ada pihak yang mengatakan pembangunan tetap diterima walaupun diwakili ADUN bebas. Apa yang mereka tidak tahu ialah BN memperhebatkan penyaluran pembangunan ini untuk menutup kelemahan wakilnya sebelum ini yang tidak menjalankan tugas dengan baik dan membantu kerajaan. Kesilapan wakil ini menyebabkan kerajaan terpaksa memikul beban sehinggakan rakyat mahu menolak parti kerajaan.

Kesimpulannya, apa yang banyak diperkatakan oleh pemimpin UMNO ialah untuk menguburkan PKR dan mengurangkan kawasan PAS. Walaupun, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yakin PAS akan menawan 40 kerusi Parlimen tetapi kenyataan pemimpin UMNO yang memperkecil-kecilkan impian itu menunjukkan ada banyak usaha dijalankan BN untuk menawan kawasan kalah pada PRU lalu. Masa yang menentukannya. Berkuburnya Permatang Pauh, ibarat berkuburnya PKR.

Selain Permatang Pauh, KAPAR dan KADUN yang akan diberi tumpuan oleh parti kerajaan sudah tentu di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Ini kerana banyak kawasan di ketiga-tiga negeri ini dikuasai oleh pembangkang termasuk yang dimenangi dengan majoriti kecil. Di Pulau Pinang dan Perak ada juga KAPAR dan KADUN yang akan diberi lebih tumpuan untuk memastikan kawasan itu kembali semula ke tangan BN.

1 comment:

ali allah ditta said...

UMNO boleh kata apa depa suka dan hasrat depa nak tawan semula Permatang Pauh bukanlah satu angan2 semata2,tapi kerana depa nak tebus malu yang depa alami selama 2 penggal lalu.

UMNO dah usaha bermacam2,bawa masuk "hantu2" dari luar,memindah randah penyokong2 setia PKR dari Permatang Pauh ke kawasan2 lain dengan bantuan Jabatan Pendaftaran & SPR sendiri. Dan taktik yang terakhir bawa kes ke mahkamah,tapi semua gagal.

Kalau bertanding di atas padang yang sama rata,kemungkinan besar calon UMNO di situ akan hilang depositnya.

Tapi sayang,dalam negeri ini SPR dan Jabatan Pendaftaran dijadikan barua BN untuk melakukan apa saja asalkan UMNO boleh berkuasa dari dulu,kini dan selamanya.

Namun demikian aku rasa PKR tak gentar dengan ugutan UMNO,apatah lagi ia diibarat sebagai kudis.Tapi,rata2 orang Permatang Pauh tahu siapakah kudis sebenarnya.

cheers.