Friday, June 8, 2007

HANG NADIM MODEN (3)



(Khairul, walaupun muda tetapi bersedia membuktikan keupayaannya bersama Azad)










Ramai kawan-kawan yang menelefon saya bertanya mengapa menggunakan tajuk Hang Nadim dalam siri artikel mengenai kejayaan anak Melayu. Menurut mereka, dalam kisah Hang Nadim yang memberikan idea agar menggunakan batang pisang menggantikan tubuh manusia untuk menangkis serangan todak di Singapura, anak muda itu akhirnya dibunuh. Dibunuh kerana kebijaksanaannya.

Apakah relevannya kematian anak muda itu dengan pencapaian dua anak muda Melayu masa kini?

Saya menjelaskan bahawa pemilihan tajuk Hang Nadim itu untuk memperingatkan pemimpin negara agar kejayaan dua anak muda Melayu moden ini tidak berulang dengan "kematian" mereka akibat perasaan cemburu dan irihati pihak tertentu. Ini kerana sejak dari awal lagi mereka telah menghadapi pelbagai dugaan dalam menjayakan misi mereka untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kereta berstatus premium. Ini termasuk sindiran dan cemuhan mengenai keupayaan mereka di samping usaha memperkecilkan rancangan besar Azad dan Khairul bagi membuktikan bangsa Melayu mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Sebagai wartawan, saya amat tersentuh dengan cerita mereka yang terpaksa "bergelut" bersendirian menghadapi rintangan dan halangan di bumi sendiri yang menjanjikan pelbagai dasar membantu Melayu.

Malah, walaupun syarikat automotif antarabangsa telah memberikan sepenuh kepercayaan kepada mereka namun usaha untuk memulakan perniagaan mereka masih tersekat dengan peraturan tertentu. Menurut Khairul, mereka berdua telah berusaha menemui pemimpin negara untuk membantu mempercepatkan urusan peraturan itu dan sehingga kini masih menunggu dan terus menunggu.

Khairul bimbang keyakinan dan kepercayaan syarikat pengurusan antarabangsa terhadap dasar kerajaan terutama Dasar Automotif Nasional akan terhakis kerana pelbagai karenah birokrasi yang tidak membina. Buktikan perlaksanaan DAN adalah sebaik dasar itu sendiri. Jangan hanya hebat di kertas tetapi tidak sebaik perlaksanaannya. Sudah tentu amat memilukan.

Saya berdoa agar pemimpin-pemimpin negara terutama mereka yang terbabit secara langsung dalam industri automotif dapat membantu mereka bagi menyaksikan kecemerlangan anak Melayu melaksanakan idea cemerlang mereka.

Sudah tentu kita tidak mahu dua anak muda Melayu ini menerima nasib seperti Hang Nadim. Biarlah mereka bijak seperti Hang Nadim tetapi tidak "dibunuh" oleh pihak tertentu akibat cemburu dan irihati seperti kisah Hang Nadim dalam Singapura dilanggar todak.

2 comments:

Anonymous said...

salam bos,
ada tak emel address zin mahmud? kot-kot ada... :)

ibrahim yahaya said...

Sdr Kusyi,

Pls call Utusan Melayu. Mungkin mereka boleh membantu.

Cheers.