Aku baru balik daripada meraikan perkahwinan Kunyit. Ini perkahwinannya yang kedua selepas kematian isterinya, Jarah. Kunyit menunggu hampir dua tahun sebelum mengahwini isteri barunya, Jompot. Majlis itu dibuat ala kadar hanya untuk memberitahu masyarakat beruk di Bukit Putra mengenai berita baik itu.
Aku diminta berucap sebagai ketua perwakilan beruk. Tidak panjang tetapi penting. Aku mengingatkan masyarakat beruk supaya bersatu padu. Rapatkan barisan. Bersatu teguh, bercerai roboh. Jika beruk bersatu, mereka boleh menghadapi segala cabaran dan rintangan mendatang. Mereka boleh memerangi anjing liar. Beruk boleh menghadapi petualang yang hipokrit atau beruk plastik. Tiada halangan menggunung yang menjadi masalah jika beruk bergerak sebagai satu kumpulan.
Kunyit adalah seekor beruk yang bersemangat waja. Pelbagai usaha dilakukannya untuk memastikan kehidupannya sempurna sepanjang masa. Dia rajin mencari buah-buah hutan untuk dijadikan bekalan makanan atau barang pertukaran dengan beruk lain.
Kunyit juga rajin untuk turun ke bawah bukit untuk mencari makanan yang dibuang oleh manusia. Pernah dia mendapat sebiji kek strawberi yang tertulis perkataan "Selamat Hari Jadi Malaysia". Itu berlaku beberapa bulan lalu.
Pada mulanya, dia tidak berani mengambilnya kerana kek itu masih elok. Mungkin manusia tertinggal atau terjatuh daripada motosikal yang ditungganginya. Namun, apabila tiada yang mengambilnya keesokan harinya, Kunyit membawa kek itu untuk dirasai oleh beberapa ekor beruk lagi. Ini termasuk Jinnah dan anaknya, Jibam.
Kunyit juga seorang suami yang baik. Dia menjaga dengan penuh kasih sayang ketika Jarah sakit. Jarah menghadapi penyakit bengkak tengkok. Mungkin jangkitan kuman. Pelbagai ramalan dan anggapan daripada beruk lain. Ada juga yang menyifatkan penyakit Jarah itu sebagai kena sampuk oleh jembalang tanah di bawah gaung. Kebetulan, Jarah jatuh sakit selepas dia turun ke gaung untuk mencari makanan di situ.
Sekembalinya daripada gaung berkenaan, Jarah terus demam dan tengkoknya mula bengkak. Pada hari kedua, bengkak itu mula mengeluarkan nanah yang busuk. Sungguh meloyakan. Namun, Kunyit tetap menjaga isterinya dengan penuh kasih sayang. Tok Dukun Pandei (TDP) turut membantu. Jarah diberikan pelbagai jenis ubat yang terdapat di hutan Bukit Putra termasuk daun herba. TDP berusaha untuk mengubati Jarah tetapi alam besar yang menentukannya. Jarah mati selepas tiga minggu menderita dengan penyakit bengkak tengkok. Badannya kurus kering dan matanya tersembul keluar.
Isteri Kunyit yang baru, seekor janda yang juga kematian suami. Jompot kehilangan suami beberapa bulan lalu akibat dipanah petir. Ketika itu, suaminya, Bujal sedang mengambil petai di atas pokok sebelah tiang telekomunikasi di atas Bukit Putra. Tiba-tiba petir menyambarnya. Badan Bujal hampir hangus dan dia terpelanting ke tanah. Tengkoraknya retak dan badannya berkecai. Satu keadaan yang amat memilukan.
Sejak itu, Jompot cergas dalam membantu kerja-kerja aku untuk memastikan nasib masyarakat beruk sentiasa terbela. Ketika bertugas di satu majlislah, dia bertemu dengan Kunyit dan cinta mereka bersemarak. Akulah yang menasihatkan mereka untuk berkahwin. Ini kerana tidak ada gunanya mereka membujang dan terlalu mengenangkan pasangan yang sudah pergi. Pasti cinta dulu akan tersemat dihati. Namun, banyak ruang-ruang lagi dalam hati mereka untuk cinta berputik dan berbunga.
Kehidupan perlu diteruskan. Selamat pengantin baru Kunyit. Semoga berkekalan hingga ke akhir hayat. Layarkan bahtera baru.
Saturday, June 23, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment