Thursday, June 28, 2007
PRU12: RAMALAN TOK NUJUM (4)
(Datuk Seri Mahdzir Khalid)
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, adalah orang kuat Presiden UMNO yang kini mendapat tempat tertinggi menerajui sebuah kerajaan negeri. Bermula sebagai setiausaha politik Paklah, EXCO Kedah dan kini Menteri Besar, DS Mahdzir sudah tentu memikul satu tanggungjawab besar untuk membuktikan pilihan Paklah itu wajar dan tepat. DS Mahdzir perlu membuktikan beliau adalah calon yang terbaik memimpin negeri.
Pemberian tempat kepada penyokong setia atau orang kanan seperti DS Mahdzir oleh Paklah bukan satu perkara yang luar biasa di Malaysia. Ini diamalkan dari dulu lagi. Malah dua setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad (TDM) mendapat tempat sebagai Menteri iaitu Tan Sri Megat Junid Megat Ayub dan Datuk Seri Aziz Shamsuddin. TS Megat Junid sudah bersara dan kini berehat kerana sakit manakala DS Aziz masih lagi menganggotai Kabinet Paklah.
Namun, pelbagai spekulasi dibuat terhadap DS Aziz termasuklah "pertaliannya" dengan TDM. Walaupun tidak hadir di suatu majlis yang membabitkan Paklah dan kementeriannya kerana sakit, namun tukang goncang politik mahu mengaitkan "kehilangannya" itu sebagai kemungkinan beliau akan diketepikan. Derita telinga yang mendengarnya.
Membincangkan mengenai DS Mahdzir, kita tidak dapat lari daripada memperkatakan mengenai kedudukan pemimpin-pemimpin UMNO Kedah. Kini hanya seorang Menteri saja dari Kedah iaitu Datuk Seri Zainuddin Maidin yang memegang portfolio Kementerian Penerangan. Kedah juga mempunyai seorang Timbalan Menteri dan dua orang Setiausaha Parlimen. Timbalan Menteri kini disandang oleh Datuk Johari Baharum (Kubang Pasu) manakala dua SUP ialah Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim dan Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Apakah Kedah sudah ketandusan pemimpin? Inilah soalan menarik yang perlu dijawab oleh tokoh-tokoh politik negeri itu bagi memastikan "anak Kedah" terus diketengahkan pada masa akan datang terutama dalam senarai Menteri Kabinet. Secara bandingannya, Perlis yang lebih kecil daripada Kedah mempunyai dua Menteri Kabinet, Datuk Radzi Sheikh Ahmad dan Datuk Azmi Khalid.
Pemimpin Kedah perlu meramaikan pemimpin politik yang berkaliber, berwibawa dan berpendidikan tinggi yang boleh dibanggakan walaupun setelah mereka meninggalkan bidang politik. Mereka juga perlu komited kepada bangsa dan mengambil bahagian yang aktif di semua peringkat terutama Perhimpunan Agung UMNO. Sebagai contoh, Datuk Dr Affifuddin Omar. Walaupun tidak dapat memegang jawatan Menteri, Datuk Dr Affifudin adalah antara tokoh politik Kedah yang bukan saja tinggi kelayakan akademiknya tetapi berjaya memaparkan ketokohannya sebagai pemimpin politik yang bijak dan komited. Penampilannya dalam Perhimpunan Agung UMNO dengan hujjah yang bernas dan terperinci mendapat pujian TDM. Pemimpin yang bijak dan berpendidikan ini penting untuk memastikan UMNO mampu "menandingi" kehebatan pemimpin parti lain dalam komponen Barisan Nasional (BN). Malaysia tidak boleh mempunyai pemimpin yang sentiasa merapu dan tidak bermatlamat. Ketepikan pemimpin yang hilang punca.
DS Mahdzir sebagai pemimpin utama Kedah perlulah membuat sumbangsaran (brainstorming) dengan orang kuatnya termasuk pemimpin muda seperti Datuk Azimi Daim untuk merencanakan satu pendekatan mencari pemimpin muda berkaliber. Pemimpin muda yang berwibawa dari seluruh Kedah. Dalam hal ini, mereka perlu mencari anak muda profesional yang berminat untuk masuk politik. Anak muda ini perlu dididik dengan baik dan bukannya dicincang dari peringkat awal lagi.
Kedah sudah melahirkan dua Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan TDM.
Selain itu, ramai anak-anak Kedah yang berjaya mengharumkan nama mereka di negara ini dan di persada dunia seperti Tan Sri Khir Johari, Tan Sri Senu Rahman, Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Sanusi Junid, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Tun Mohd Zahir Ismail, Tun Abdul Hamid Omar, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Halim, Tan Sri Razali Ismail, Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar, Tan Sri Syed Mukhtar Al-Bukhary, Tan Sri Hassan Merican, Tan Sri Dr Awang Had Salleh, Tan Sri Profesor Emeritus Ismail Hussein dan adiknya, Datuk Ibrahim, Datuk Dr Ismail Ibrahim, Datuk Maznah Ahmad, Datuk Dr Profesor Emeritus Asmah Omar serta Datuk Dr Halim Ismail.
Apakah Kedah perlu mengambil golongan profesional untuk menjadi calon dalam pilihanraya akan datang?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment