Monday, June 11, 2007

HANG NADIM MODEN (5)


(Khairul menandatangani perjanjian dengan syarikat China)

Ramai yang tertanya-tanya mengapa saya beriya-iya benar ingin membantu dua anak muda ini yang kini digelar Hang Nadim. Adakah saya ada kepentingan dengan syarikat usahasama ini? Adakah saya seorang pengarah syarikat berkenaan? Adakah saya akan dijanjikan habuan tertentu? Adakah saya berniat untuk memburuk-burukkan seseorang? Jawapan kepada semua soalan itu ialah tidak, tidak dan tidak.

Saya tidak ada kepentingan dalam syarikat ini. Saya bukan pengarahnya. Kedua-dua anak muda ini tidak pernah berjanji untuk memberi habuan kepada saya. Tiada niat saya untuk memburuk-burukkan seseorang. Semua kenyataan itu betul. Sebagai abang kepada adik yang mempunyai impian besar ini, saya hanya ingin membantu.

Kesempatan bertemu anak muda ini apabila seorang teman meminta saya membantu menghantar siaran media mengenai mereka kepada media cetak dan elektronik. Itupun mengenai penubuhan syarikat usahasama Kleemann Asia Pasifik Sdn Bhd (KAP). Media cetak dan elektronik yang bijaksana membantu menyiarkan berita yang membanggakan Malaysia itu.

Selepas itu, teman membawa saya menemui kedua-dua anak muda ini. Saya tidak pernah mengenali mereka sebelum ini. Sebagai wartawan, saya amat tertarik untuk mendengar kejayaan mereka dalam menyakinkan pengurusan tertinggi Kleemann Denmark. Mereka menerangkan satu persatu daripada membuat proposal, sehinggalah ke presentation dan menandatangani perjanjian perkongsian pintar itu. Malah mereka juga menceritakan pengalaman memandu musim sejuk di Sweden bagi memastikan mereka mampu mengendalikan pemasaran kereta berstatus premium itu. Mereka perlu melalui latihan itu demi masa depan perniagaan. Mereka turut menceritakan pengalaman dalam industri automotif ini, yang lebih sepuluh tahun, termasuk perjanjian dengan syarikat kereta di China pada tahun sebelumnya.

Selepas itu, tiada berita daripada mereka sehinggalah mereka menceritakan masalah dan kerumitan yang dihadapi awal bulan lalu. Ketika itulah saya mengetahui "pengalaman pahit" yang mereka terpaksa lalui semata-mata kerana mereka diberi penghormatan untuk mengadakan usahasama dengan Kleemann Denmark. Sungguh menyedihkan.

Kejayaan mereka itu dilihat oleh sesetengah pihak sebagai "kegagalan" pihak tertentu yang telah diberikan kepercayaan terlebih dahulu. Akibatnya Hang Nadim Moden ini menerima tempiasnya dan bermulalah "perjalanan sukar" mereka sehinggalah terpaksa berusaha menemui pemimpin-pemimpin negara yang mungkin boleh membantu dan menyegerakan permohonan mereka.

Janji untuk membantu itu ada tetapi mereka terpaksa menunggu dan menunggu sehinggakan Kleemann Denmark bertanya mengapa mereka tidak mendapat segala bantuan yang diperlukan sebagai usahawan di negara sendiri. Ini amat memilukan. Apatah lagi janji manis dan harapan yang diberikan oleh sesetengah pemimpin dalam ucapan berapi-api mereka sebelum ini.

Persoalan ini yang sukar dijawab kerana kuasa ada ditangan pihak tertentu. Dua anak muda ini berusaha menghantar permohonan untuk mendapat permit import mereka tetapi ditolak. Hang Nadim Moden ini tidak berputus asa dan terus menghantar semula.

Kini mereka hanya menunggu saja kerana kerajaan perlu bermesyuarat terlebih dahulu untuk membuat keputusan mengenai permohonan mereka. Saya yakin kerajaan akan meluluskannya. Namun, segerakanlah permohonan mereka bagi membolehkan anak muda ini meneruskan perniagaan mereka. Ini sekaligus membuktikan kemampuan usahawan Malaysia di bumi sendiri. Kemampuan dua anak muda Melayu.

Nota: Baca Dasar Automotif Nasional untuk mengetahui objektif pembentukan dasar berkenaan.

No comments: