Thursday, June 21, 2007

TERUS SUBURKAN PERPADUAN


(Hasrat tinggi menggunung untuk melihat Malaysia terus harmoni)

Setiap kali saya minum pagi bersama Iyra di kedai kopi Cina di Petaling Jaya, hati saya terharu dan gembira kerana menyaksikan suburnya hubungan pelbagai kaum di negara ini.

Kedai itu dimiliki oleh tauke Cina dan beliau menyewakan ruang kepada peniaga India Muslim untuk menjual nasi campur, nasi beriyani dan roti canai. Nasi lemak di kedai itu dibekalkan oleh peniaga Melayu. Pelanggannya pelbagai kaum dan yang ramainya ialah bangsa Melayu, lelaki dan perempuan.

Apabila minum pagi di kedai kopi itu, saya akan menyaksikan beberapa kali pasangan dua kaum minum pagi di situ. Mula-mula dua lelaki - Melayu dan India masuk. Kemudian dua lelaki - India dan Cina pula datang untuk menikmati makanan di kedai kopi itu. Seterusnya pasangan Cina dan Melayu pula masuk untuk memulakan pagi mereka dengan roti bakar dan kopi pekat. Ada juga kumpulan India dan Melayu duduk semeja. Melayu dan Cina. Mereka berbual dan adakalanya ketawa terbahak-bahak apabila bercerita mengenai sesuatu yang mencuit hati. Alangkah suburnya perpaduan. Mereka yang tidak suka perpaduan pasti akan "jatuh sakit" melihat suasana ini.

Semalam, saya pergi ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk pemeriksaan doktor mengenai tulang belakang selepas pembedahan tahun lalu. Di situ juga, saya melihat seorang gadis bersawo matang seperti Melayu datang untuk mengambil nombor giliran. Kemudian dia menghilang. Sekejap lagi, gadis sawo matang itu muncul semula bersama dengan seorang lelaki Cina dan wanita India. Lelaki itu memimpin wanita berkenaan dengan cermat dan penuh kasih sayang. Rupa-rupanya gadis sawo matang macam Melayu itu adalah anak pasangan Cina dan India berkenaan. Tidak lama kemudian, adik gadis itu muncul. Wajahnya sering tak tumpah macam gadis berkenaan.

Saya gembira melihat dua suasana itu. Matilah sikap perkauman dan lemparkan sikap itu jauh-jauh. Saya berdoa agar perpaduan terus subur di negara tercinta ini. Didiklah generasi baru sekarang mengenai perpaduan.

1 comment:

svllee said...

Dear Ibrahim,

What you described is truly a vision of Malaysia so longed by many, thanks for making it obvious and for sharing.