Berita asalnya dikatakan muncul pada Ahad dalam akhbar Oriental Daily yang menyebut bekas Setiausaha Agung MCA, Tan Sri Dr Ting Chew Peh, sebagai berkata, tiada seorangpun pemimpin tertinggi MCA mempunyai "keberanian" atau "guts" bertanding di kawasan pilihanraya yang majoritinya penduduk kaum Cina sejak pilihanraya 1982.
Pada Pilihanraya Umum (PRU) 1982, Presiden, Tan Sri Lee San Choon, yang mencabar bekas orang kuat dan Pengerusi DAP, Dr Chen Man Hin di Seremban (60 peratus pengundi Cina) menang di kawasan itu. Seremban kini mempunyai 48 peratus pengundi Cina.
Akhbar itu juga menyebut Dr Ting berkata, "pemimpin kini memilih untuk bertanding dalam kawasan pilihanraya "campur" dan bergantung kepada undi orang lain (bukan Cina)untuk menang. Tiada menteri atau timbalan menteri daripada parti (MCA) bertanding dalam kawasan majoritinya pengundi Cina."
Dr Ting seterusnya dilaporkan berkata, pemimpin tidak seharusnya melabelkan kubu pembangkang seperti Cheras dan Seputeh sebagai kawasan hitam dan "orang kuat" parti perlu ada keberanian untuk menghadapi pembangkang di kawasan-kawasan berkenaan.
Hari ini, artikel yang ditulis oleh Giam Say Khoon dalam akhbar The Sun menjelaskan hanya tiga daripada lapan pemimpin MCA bertanding dan memenangi di kawasan Parlimen yang mana ramai pengundi Cina pada PRU11 pada 2004. Mereka ialah Naib Presiden, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (Labis - 49.07 peratus Cina); Naib Presiden, Datuk Donald Lim (Petaling Jaya (Selatan) - 46.59 peratus Cina) dan Ahli Parlimen Bentong, Datuk Liow Tiong Lai (48.54 peratus Cina).
Pemimpin lain hanya bertanding di kawasan yang majoritinya pengundi bukan Cina iaitu Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting (Tanjong Piai, Johor); Timbalannya, Datuk Seri Chan Kong Choy (Selayang, Selangor); Naib Presiden, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (Alor Gajah, Melaka); Datuk Ong Tee Keat (Pandan, Selangor) dan Ketua Wanita, Datuk Dr Ng Yen Yen (Raub, Pahang).
Maklumat yang ditimbulkan sungguh menarik untuk dianalisis oleh rakyat negara ini terutama pengundi budiman.
Bagaimana pula aliran pemilihan kawasan pilihanraya untuk pemimpin-pemimpin tertinggi MCA pada PRU12? Apakah DS Ong akan terus berkubu di Tanjong Piai manakala timbalannya, DS Chan terus juga berpaut di Selayang? Apakah ada pemimpin kanan MCA yang akan mencalonkan diri atau "merelakan diri" bertanding menentang DAP di kawasan yang disebutkan "hitam" oleh sesetengah pemimpin MCA seperti di Cheras atau Seputeh?
Sama-sama kita tunggu dan lihat perkembangan menarik ini dalam PRU12. Bila tarikhnya? November 2007 atau Mac 2008? Bagi sesetengah pemerhati politik, mereka sudah mempunyai jawapannya - tarikh PRU12 dan kawasan yang akan ditandingi oleh pemimpin MCA.
Tuesday, June 26, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment