Sunday, June 10, 2007

HANG NADIM MODEN (4)


(Khairul dan Azad di China)


(Khairul bergambar dengan Perdana Menteri. Beliau berdiri di belakang PM.)

Jumaat lalu, Khairul menelefon saya. Menurut beliau, kawan-kawannya kini memanggil beliau dan Azad sebagai Hang Nadim. Mereka bangga dengan panggilan itu tetapi masih merendah diri dengan mengatakan mereka tidaklah sehebat mana. Cuma, mereka juga mempunyai impian untuk berjaya seperti juga Tan Sri Nasimuddin SM Amin yang kini menerajui Kumpulan Naza bersama keluarganya. Seperti Naza, yang bermula sebagai penjual kereta terpakai di Kampung Baru, impian itu boleh terlaksana jika kerajaan terutamanya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz membantu mereka.

Bagi Khairul dan Azad, harapan mereka amat tinggi agar kerajaan membantu mereka untuk membuktikan kebolehan usahawan Malaysia. Kumpulan Naza telah membuktikannya dengan usaha bersungguh-sungguh mereka dan bantuan kerajaan.

Kini giliran Kleemann Asia Pacific Sdn Bhd (KAP) pula perlu dibantu bagi memastikan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai ibu pejabat Kleemann di Asia Pasifik dan hab kereta berstatus premium di rantau ini akan berjaya. Yakin dan percayalah mereka mampu menjayakannya.

Menurut Khairul, bukan mudah untuk menyakinkan Kleemann Denmark membenarkan mereka menubuhkan syarikat usahasama. Mereka pergi ke sana sebagai usahawan tulen tanpa nama-nama besar atau sokongan pemimpin negara atau menteri.

Pertama mereka perlu membuat presentation mengenai proposal pemasaran mereka. Ketika presentation itu, mereka terpaksa menghadapi pelbagai pertanyaan yang perlu dijawab dengan bijaksana. Mujurlah pengalaman kedua-dua mereka dalam industri automotif bukan setahun dua tetapi melebihi sepuluh tahun. Pengalaman ini termasuk bekerja dan menjadi pengedar dengan Hicomobil, Proton Edar, Kumpulan Naza, General Motors dan Chevrolet membolehkan mereka menyakinkan pengurusan tertinggi Kleemann Denmark. Selepas tiga bulan membuat presentation, Kleemann Denmark bersetuju untuk mengadakan perkongsian pintar untuk menubuhkan KAP. Kejayaan ini adalah satu kebanggaan kepada negara. Kini tiba masa untuk membuktikannya.

Pengurusan tertinggi Kleemann Denmark juga tertarik dengan Dasar Automotif Nasional yang amat baik untuk membangunkan industri automotif negara. Mengikut dasar yang dibuat oleh kerajaan itu, syarikat automotif amat mudah menjalankan perniagaan mereka jika mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Oleh itu, Azad dan Khairul berharap keyakinan syarikat multinasional itu untuk menjadikan Malaysia sebagai hab akan berterusan bagi meningkatkan industri automotif di negara ini. Jika perlaksanaan DAN tidak sama dengan dasar yang dibentuk, sudah tentu hasrat untuk merancakkan industri automotif negara akan tinggal impian. Jangan biarkan mereka "lari" melabur di negara lain. Malaysia yang akan rugi dan melepas.

Berilah peluang kepada Hang Nadim Moden ini. Bantulah anak muda ini. Mereka mempunyai akal fikiran dan modal. Cuma, mereka memerlukan permit import R&D (R&D AP) untuk membawa masuk kereta untuk dipamerkan di negara ini. Kereta untuk R&D dan dipamerkan, bukan kereta untuk dijual. Kereta itu sudah dibeli dan kini berada di Denmark. Pemimpin negara tolonglah bantu mereka.

2 comments:

chedet said...

Anak-anak muda ini bukan sahaja patut dibantu oleh pemimpin kerajaan tetapi juga oleh usahawan-usahawan yang sudah berjaya. jika betul mereka berjaya menyakinkan pengurusan tertinggi Kleemann denmark, pihak kerajaan sepatutnya membuka mata dan peluang kepada anak2 muda di negara kita untuk bersaing dipentas antarabangsa. Kesungguhan mereka menjalinkan kerjasama dengan syarikat eropah membuktikan mereka adalah usahawan tulen walaupun tanpa nama-nama besar dibelakang mereka seperti kata tuan moderator.

ibrahim yahaya said...

Sdr Chedet,

Sebenarnya, saya mempunyai banyak maklumat mengenai masalah yang mereka hadapi termasuk tekanan daripada pihak tertentu. Namun, saya masih menaruh harapan bahawa pemimpin tertinggi negara akan membantu anak muda ini untuk membuktikan bangsa Melayu boleh berjaya jika diberi peluang.

Janganlah menekan mereka kerana mereka muda. Janganlah menggunakan kuasa untuk memulas tangan orang lain untuk mengikut kehendak kita.

Ingatlah bahawa tuhan akan memakbulkan permintaan orang yang teraniaya. Jangan ingat kita akan menang selalu kerana kita ada kuasa. Ada ketikanya tuhan akan membantu orang yang disangka lemah. Mereka juga menadah tangan berdoa kepada tuhan. Malah itulah satu-satunya harapan apabila semua pintu tertutup.

Tuhanku makbulkanlah permintaan anak-anak muda ini. Kesihanilah mereka kerana sentiasa ditekan oleh tangan-tangan yang sepatutnya halus tetapi kasar.