Monday, July 4, 2011

AMBIGA MAHU MENGHADAP AGONG

PETALING JAYA, 4 Julai (Bernama) -- Pengerusi penganjur perhimpunan haram yang dirancang pada 9 Julai ini, Datuk S.Ambiga berkata beliau bersedia membatalkan perhimpunan haram itu sekiranya dititahkan demikian oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Ketika ditanya pemberita dalam sidang akhbar di sini sama ada perhimpunan haram itu akan dibatalkan sekiranya baginda menitahkan demikian, Ambiga berkata: "Ya".

Bagaimanapun, katanya apa juga keputusan akan dibuat selepas mereka diberi perkenan menghadap Seri Paduka dan beliau berharap ia akan dapat diadakan secepat mungkin.

"Kami akan buat pengumuman selepas kami mempersembahkan keputusan kami kepada Yang di-Pertuan Agong. Kami akan akur dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong..

"Pihak kami memohon menghadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan isu-isu yang diambil berat oleh rakyat jelata serta aspirasi bagi reformasi pilihan raya dan proses pembangunan demokrasi untuk dilaksanakan dengan segera selaras dengan kehendak baginda untuk rekonsiliasi (keamanan) nasional," katanya.

Katanya surat rasmi bagi memohon menghadap baginda akan dihantar ke pejabat Istana Negara pada Isnin.

"Kami akan patuh kepada titah baginda untuk berdialog ke arah mewujudkan satu konsensus nasional bagi reformasi sistem pilihan raya dan proses pembangunan demokrasi di Malaysia," katanya.

Ambiga berkata perkara itu diputuskan anggota jawatankuasa induk perhimpunan berkenaan pada mesyuarat malam tadi selepas Tuanku Mizan mengeluarkan titah bahawa demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan, walaupun niat asalnya baik.

Katanya beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi pagi tadi dan bekas perdana menteri itu turut menasihatkannya untuk patuh kepada titah Tuanku Mizan. - BERNAMA

No comments: