Monday, July 4, 2011

YAKINLAH DEMONSTRASI TIDAK SIHAT

Oleh Ibrahim Yahaya

Sepanjang hidup, penulis tidak pernah berdemonstrasi yang mana terpaksa menghidu gas pemedih mata atau disiram dengan air oleh FRU. Jika penulis ada rasa tidak puas hati dengan sesiapa pun, luahan disiarkan dalam blog. Itupun secara terhormat dan beradab. Tidak menghasut atau mencerca. Tidak kurang ajar dan biadab.

Penulis pernah mengikuti satu perhimpunan di Masjid Negara ketika DSAI dipecat daripada UMNO pada 1998. Sebagai wartawan, penulis ingin melihat bagaimana suasana ketika itu di mana mereka yang taksub berkumpul beramai-ramai untuk mendengar amanat DSAI. Ucapan berapi-api disampaikan oleh DSAI yang menuduh bahawa tindakan memecat beliau tidak betul dan banyaklah lagi kenyataan terhadap TDM.

Ketika sedang melihat suasana di situ, Zahid (cucu Tun Ghafar Baba) menjerit kuat apabila melihat penulis. "Ha...tiger dari TV3". Ketika itu, hampir semua mata yang berada dekat penulis terus memandang dan keadaan ketika itu seolah-olah mahu membelasah orang TV3 ini yang dilihat sebagai penyokong kuat kerajaan. Nasib baiklah Zahid memperbetulkan keadaan dengan berkata, "Yang ini baik. Dia kawan kita". Mereka yang hadir terus mendengar ucapan DSAI daripada balkoni Masjid Negara.

Hakikatnya, demonstrasi atau rapat umum yang dikuasai oleh emosi akan mendatangkan 1001 macam perkara yang tidak sihat. Daripada emosi yang tidak stabil dan taksub kepada pemimpin, pengikut setia akan melakukan apa saja yang difikirkan betul kepada mereka ketika itu. Mungkin mereka diarah untuk berbuat demikian seperti pengakuan Datuk Zulkifli Noordin yang mengikut katanya diarahkan untuk memusnahkan kereta TV3. Hancur jadinya kereta yang tidak bersalah itu dan kakitangan di dalamnya fobia ketika sampai ke pejabat selepas kejadian itu. Nasib baik mereka tidak membakar kereta itu setelah gagal untuk membukanya kerana ditutup dari dalam.

Bayangkan keadaan yang sama boleh berlaku pada 9 Julai ini jika mereka yang berhimpun datang dengan perasaan emosi dan ditiup pula dengan ucapan berapi-api oleh pemimpin yang mahu menonjolkan diri mereka sebagai jaguh. Sudah tentulah sebarang keadaan yang boleh menimbulkan provokasi akan mencetuskan huru-hara. Lihatlah apa yang berlaku di Greece yang mana perhimpunan aman bertukar menjadi ganas apabila ada yang berhimpun itu melakukan perkara yang tidak diingini. Ramai polis yang menjadi mangsa menyebabkan polis bertindak memperbetulkan keadaan. Akibatnya ada yang terbunuh dan ramai yang cedera. Begitu juga apabila demonstrasi diadakan di Thailand yang telah menyebabkan pelbagai kerugian kepada negara.

Yang penting bukanlah kerugian kepada negara saja tetapi masalah nyawa dan imej negara yang dilihat sebagai negara contoh bertukar menjadi negara huru-hara. Ini kerana hanya tuduhan liar yang dilemparkan oleh sesetengah pihak terhadap SPR sedangkan mereka tahu sejak PRU dijalankan mereka yang diyakini oleh rakyat memenangi pilhan raya itu termasuk pada 2008 di mana pembangkang menguasai lima negeri. Itupun, perkara itu diputar belitkan oleh Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu yang dilihat menghasut rakyat bahawa jika pilihan raya diadakan secara bersih, pembangkang mampu menubuhkan kerajaan. Akuilah bahawa SPR juga dipantau oleh kumpulan tertentu dan tuduhan bahawa penyelewengan dilakukan adalah satu usaha untuk memperlekehkan institusi yang sudah banyak berjasa kepada negara.

Oleh itu, fikirkanlah bahawa tidak ada gunanya membuat demonstrasi yang boleh menimbulkan keadaan huru-hara. Titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong perlulah diikuti oleh semua rakyat di negara ini yang mencintai keamanan dan kemakmuran. Intipati titah SPB ialah jangan kita kerugian besar akibat tindakan yang mengikut emosi dan jalan yang tidak betul. Jangan kita, yang dikejar tidak dapat, yang dikendung pula keciciran. Ini akan menyebabkan rakyat dan negara mengalami pelbagai kerugian dengan perhimpunan haram yang tidak dibenarkan oleh PDRM.

No comments: