Tuesday, July 19, 2011

KEAMANAN JADI KEUTAMAAN

Oleh Ibrahim Yahaya

Dalam politik tiada istilah terancam jika ahli politik mengamalkan secara profesional. Ini bermakna setiap ahli politik sudah bersedia untuk kalah dalam pertandingan parti atau pilihan raya. Bagi ahli politik tulen, mereka pastinya sentiasa berjuang sehingga menang. Jika kalah sekalipun, akan bersiap siaga untuk menghadapi pertandingan yang akan datang.

Oleh itu, istilah bahawa BN terancam dengan kegiatan Bersih baru-baru ini bukanlah satu pemerhatian yang bijak. Pemerhatian bersikap emosi atau meluahkan dendam nampaknya. Perlu difahami bahawa BN lebih gementar menghadapi Bersih kerana ia mampu meranapkan nama baik mereka sebagai pemerintah daripada terancam dengan tindakan pembangkang untuk menganjurkan perhimpunan haram.

Bagi yang tidak pernah menjadi kerajaan, sudah tentulah mudah untuk mengadakan sesuatu untuk menaikkan semangat rakyat bagi menentang kerajaan. Sebut saja apa saja keburukan kerajaan, mereka yang pernah menjadi 'mangsa' atau menghadapi masalah mengenai isu tertentu akan segera menyebelahi penganjur. Ketika itu, apa yang disuruh oleh penganjur akan dituruti seperti menarik kerbau yang dicucuk hidung. Jika penganjur minta memakai t-shirt kuning, maka pengikut setia ini akan memakai t-shirt kuning. Ketika berhimpun, jika ada pihak yang berteriak, 'reformasi', semua akan ikut berteriak 'reformasi'. Begitu juga 'takbir', yang memperlihatkan ramai orang Islam yang menyebut, 'Allahu Akhbar' dengan penuh semangat.

Tidak hairanlah jika ada yang berteriak, 'gempur' maka ratusan atau ribuan yang menghadiri perhimpunan itu akan segera menerpa dan menerjah kepada kumpulan yang dituju. Dalam perhimpunan ini, sudah tentulah pihak polis yang sentiasa menanti beberapa hari untuk memastikan perhimpunan haram tidak dilaksanakan.

Bagi polis, langkah yang terbaik untuk menggelakkan kejadian 'gempur' ini ialah memancutkan air bagi menyuraikan orang ramai. Jika mereka berdegil, polis tiada pilihan terpaksa menggunakan gas pemedih mata yang bertujuan untuk menyuraikan perhimpunan. Sudah tentu bukan bertujuan untuk menyakitkan orang ramai apatah lagi untuk membunuh mereka. Yang hairannya, ada yang mahu menjadi 'hulubalang' yang tidak berganjak apabila gas pemedih mata dilontar kepada mereka. Ketika itu, polis terpaksa bertindak keras sedikit untuk menyuraikan mereka kerana bimbang jika gas itu masih berada di kalangan mereka, sudah tentu ia boleh menimbulkan kejadian yang tidak diingini. Kedegilan sesetengah pihak membuat polis bertindak, adakalanya dilihat seperti kasar seperti menendang gas pemedih mata yang berada berdekatan dengan orang ramai itu. Kedegilan sesetengah pihak itu juga menyebabkan polis terpaksa bertindak lebih sedikit untuk menyuraikan mereka.

Kejadian menentang polis dan provokasi boleh menimbulkan masalah seperti yang berlaku di Greece menyebabkan ramai yang terbunuh. Daripada satu perhimpunan aman bertugas menjadi ganas apabila peserta perhimpunan bertindak ganas terhadap polis. Ini yang ditakuti oleh BN kerana sudah tentulah nyawa lebih penting daripada segala-galanya. Jika ramai yang terbunuh atau cedera parah, ketika itu sudah tentulah tidak berguna untuk memberi amaran atau bertindak. Oleh itu, eloklah cegah sebelum terkena. Eloklah mengambil segala usaha untuk membanteras kejadian itu berlaku daripada membiarkan ia berlaku dan mendatangkan mudarat kepada negara.

Bagi BN, mereka bukan tidak pernah kalah. Malah dalam PRU 2008, ketika pembangkang sibuk menyatakan SPR tidak betul, mereka memenangi lima negeri. Apabila disebut perkara ini, ada pula pemimpin pembangkang berkata mereka boleh mendapat lebih banyak kerusi lagi. Ini satu provokasi yang tidak masuk akal kerana mereka perlu lihat dan menganalisis keputusan PRU 2008 sebelum membuat andaian bodoh. Jika SPR tidak betul, adalah mustahil bagi PAS untuk memerintah Kelantan lebih 20 tahun. Negeri jiran juga pernah jatuh ke tangan PAS dengan DS Hadi Awang menjadi Menteri Besar sebelum bertukar balik kepada BN selepas DS Idris Jusoh melancarkan 'Gelombang Biru' untuk menjelaskan perbezaan pentadbiran BN dan PAS.

Oleh itu, berpolitiklah secara 'gentleman' dan bukannya membuat provokasi setiap masa apabila merasakan diri mereka akan kalah. Seperti yang disebut oleh DS Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini, apa yang dilakukan oleh pembangkang dan NGO mengenai Bersih ini adalah langkah 'pre-emptive' untuk menyalahkan orang lain jika mereka kalah nanti. Jika keputusan PRU13 menunjukkan mereka kalah, mudahkan mereka berkata, "bukankah kita sudah kata SPR tidak betul, maka ini sebabnya kita kalah," daripada mengaku bahawa rakyat kini sudah tahu tembelang mereka.

No comments: