Oleh Ibrahim Yahaya
Sebagai penasihat media YB Menteri KPKK, penulis dijemput untuk menghadiri pertemuan untuk berbincang mengenai penubuhan Majlis Perundingan Media(MPM) di KOMSAS, Isnin lalu. Pertemuan itu adalah rentetan perjumpaan antara pegawai kanan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan(KPKK) dan wakil-wakil media yang bertujuan memikirkan kaedah terbaik mewujudkan forum merapatkan silaturahim antara media dan kerajaan.
Dalam pertemuan sebelum ini yang turut disertai oleh Institut Akhbar Malaysia (IAM), ia berjalan dengan baik di mana setiap pihak memberi pandangan dan cadangan untuk mewujudkan forum antara industri dan kerajaan. Oleh itu, KPKK diminta untuk menyediakan kertas cadangan penubuhan MPM yang antara lain menggariskan peranan, objektif, fungsi, keahlian, aktiviti, struktur organisasi dan urusetia.
Pertemuan Isnin lalu sepatutnya dihadiri oleh kapten-kapten media tetapi ia tidak begitu kerana selain Berita Harian dan Bernama, media lain diwakili oleh pegawai pertengahan atau pengarang. Ini mungkin tidak menggambarkan perwakilan peringkat tertinggi media dengan KPKK. Ketiadaan kapten-kapten media tidak boleh dijawab oleh orang lain kecuali mereka sendirilah yang mengetahui apa sebab tidak hadir dalam majlis yang lebih memberi tumpuan kepada industri media.
Pemerhatian penulis dalam pertemuan Isnin lalau ialah semacam ada satu pemikiran untuk menidakkan keperluan mewujudkan MPM sebelum mesyuarat bermula. Ini satu keadaan yang kurang sihat jika melihat cadangan penubuhan itu bersandarkan saranan PM ketika berucap di Majlis Hadiah Kewartawanan 2010 yang mahu satu usaha untuk memastikan media menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab terutama dalam membina negara bangsa. Ini penting bagi memastikan bahawa setiap wartawan memahami tugasan mereka dan tidak terikut-ikut dengan rentak sesetengah pihak yang menggunakan media untuk menjatuhkan orang tertentu kerana tidak mengikut telunjuk mereka. Ada juga wartawan yang menggunakan penulisan mereka untuk menyebarkan fitnah dan pembohongan.
Hasrat untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia(MMM)bukan baru dan diadakan sejak tahun 1970an lagi tetapi ia tidak diwujudkan oleh industri media sendiri. Walaupun pelbagai usaha diadakan termasuk kertas kerja oleh IAM atau MPI, ia tidak muncul dan inisiatif untuk mewujudkan MPM adalah langkah pertama ke arah penubuhan MMM. Ini sebenarnya yang dihasratkan oleh KPKK agar idea penubuhan MMM itu tidak berkubur begitu saja demi untuk memastikan industri media ini berjalan dengan baik. Bukan untuk mengawal media tetapi lebih kepada mewujudkan forum bagi membincangkan segala keperluan media yang ada kaitan dengan kerajaan.
Jika diteliti kepada pengenalan kertas cadangan MPM, kita dapat melihat ia bukan alat kawalan kerajaan tetapi sebagai satu mekanisme kerjasama. Bagi memastikan hubungan antara kerajaan dengan pihak media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan media dan pengamal media, penubuhan MPM dicadangkan. Empat perkara yang dititikberatkan ialah i) kerjasama harmoni terus terjalin; ii) mengukuhkan pengamalan etika kewartawanan dan tanggungjawab sosial; iii) pemupukan semangat kenegaraan dan, iv) menjamin kebebasan media berdasarkan perundangan negara.
Walaupun kertas cadangan penubuhan itu sudah diberikan kepada wakil media seminggu lebih awal, entah mengapa pemikiran bahawa MPM itu satu alat kawalan kerajaan dihamburkan oleh beberapa pengarang media yang hadir. Bagi mereka penubuhan MPM ini akan memburukkan imej media arus perdana dan menyebabkan jumlah pembelian akan terus berkurang. Memburukkan imej kerana MPM akan dianggap mengawal media sedangkan mereka tahu objektif penubuhan MPM ialah untuk bekerjasama dan tidak lebih daripada itu. KSU KPKK, Dato Seri Kamaruddin Siaraf yang mempengerusikan pertemuan itu beberapa kali menyatakan MPM bukan alat kawalan tetapi mekanisme kerjasama tetapi pemimpin media yang hadir seolah-olah sudah menutup hati mereka mengenai perkara itu.
Sebenarnya banyak lagi kebaikan yang dimasukkan dalam penubuhan MPM tetapi oleh kerana pemikiran mereka yang hadir sudah sedemikian rupa, maka pelbagai alasan diberikan agar ia tidak diwujudkan. Maka itu, tidak gunalah untuk membincangkan lebih lanjut mengenai penubuhan MPM jika pemimpin media sendiri mempunyai perspektif berbeza dan menutup pemikiran mereka untuk tidak mahu dengan penubuhan MPM.
Wednesday, July 27, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment