Friday, June 15, 2007

100 BILION SEL DALAM OTAK BAYI

Cuba bayangkan angka 100 bilion sel. Satu angka besar yang sukar digambarkan. Saya difahamkan itulah jumlah sel yang ada dalam otak bayi ketika dilahirkan. Bagaimanapun sel itu akan mati atau berkembang dari semasa ke semasa bergantung kepada cara anda menggunakan otak. Kusut atau kembang.

Sel otak akan mati jika anda menggunakan otak untuk mengingatkan kedudukan sesuatu benda atau memikirkan kesalahan lampau. Umpamanya, apabila cuba mengingatkan di manakah anda meletak kunci kereta. Ketika itu, mungkin berjuta-juta sel otak akan mati kerana otak "diperah" dan "dikerah" untuk mengingatkan "tempat" kunci itu disimpan. Itu sebabnya di negara maju, rakyatnya tidak menggunakan otak semata-mata untuk mengingatkan kepada perkara remeh seperti kedudukan kunci atau bil letrik. Untuk mengatasinya mereka menyediakan tempat menggantung kunci atau semua bil agar mudah untuk mengambilnya apabila diperlukan.

Begitu juga jika anda berfikir mengenai kesalahan lalu. Usah terlalu mengingatkan kesalahan yang dilakukan. Jadikannya sebagai sempadan. Apa yang perlu ialah memperbaiki kesilapan itu dan membuat yang lebih cemerlang pada masa hadapan. Jika anda terlalu memikirkan kesalahan lalu, maka berjuta-juta sel otak akan mati.

Saya sering mengingatkan pembaca berita di TV3 dan RTM (masa dulu-dulu) agar tidak mengingatkan "kesalahan pertama" ketika membaca berita pada hari bertugas. Apabila mereka terlalu memikirkan "kesalahan" itu, maka mereka akan membuat kesalahan seterusnya dan ada yang gugup sehingga tamat penyiaran berita berkenaan.

Selain itu, pelbagai kisah duka mengenai suami yang kematian isteri menjadi tidak siuman apabila terlalu memikirkan "kehilangan" orang tersayang itu. Bagi orang Islam, mereka perlu reda dan teruskan kehidupan seperti biasa. Jika bertemu jodoh maka kahwinlah dengan "orang baru" yang dikasihi. Kasih sayang terhadap isteri pertama itu tetap bersemadi dihati tetapi kehidupan sebagai manusia biasa perlu diteruskan. Kehidupan tidak terhenti setakat itu. Begitu juga benda lain. Perrrggggh.

Namun, jika otak digunakan untuk memikirkan perkara yang berfaedah seperti sumbangsaran atau brainstorming, maka sel otak akan bertambah dan mengelakkan anda menjadi nyanyuk. Bagi orang Islam, apabila anda membaca Al-Quran, ia secara automatik menambahkan bilangan sel otak kerana roh kitab yang meresapi ke otak dan tubuh selain ilmu daripada pemahaman isi kandungan kitab suci berkenaan.

Kesimpulannya, anda perlu menggunakan otak untuk perkara-perkara yang berfaedah dan jangan "menyalahgunakannya" dengan perkara yang boleh mematikan sel otak. Kebanyakan orang kaya atau bijak pandai akan mempunyai buku kecil di poket mereka untuk menulis perkara yang ingin dilaksanakan bagi mengelakkan tindakan "memerah" otak untuk mengingatkan "cadangan bernas" yang difikirkan ketika di kedai makan atau di tempat tertentu. Hiduplah secara bijaksana dan bijaksini.

2 comments:

Anonymous said...

Banyak cell dalam otak Pak Dollah, PM Malaysia. Itu kita lebih minat.

ibrahim yahaya said...

Sdr yang dimuliakan,

Saya yakin Perdana Menteri kita adalah seorang yang jujur dan komited untuk membangunkan negara ini. Seperti sokongan kita kepada Perdana Menteri sebelum ini, bersama-samalah kita memainkan peranan untuk memastikan negara tercinta ini terus maju dan makmur.