Thursday, August 6, 2009

DARI ROMPIN KE WASHINGTON

(DIY dan rakan-rakan wartawan/blogawan bersama DS JJ)

Oleh Lukman Abdullah

Sehari selepas ditauliahkan sebagai Duta ke Amerika Syarikat oleh Yang DiPertuan Agong, Agendadaily bersama beberapa orang blogger sempat bersantai dengan Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis di sebuah restoran kepunyaan anak Melayu Kelantan di Kuala Lumpur Sentral.

Sambil bertukar pendapat dan pandangan, Dr. Jamaluddin yang lebih mesra dipanggil ‘Datuk. JJ’ tidak nampak macam mendabik dada yang dirinya sudah diiktiraf sebagai duta bertaraf menteri ke negara ‘Uncle Sam’.

Pada petang Rabu yang nyaman itu,kami menikmati pulut durian dan ulam daun kadok dengan bahan-bahannya bakal jadi kenangan buatnya bila diperantauan nanti.

Apa yang sempat dirakamkan perbualan dengan beliau antara lain adalah tentang misi pentingnya meneroka peluang ekonomi bagi memantapkan suasana ekonomi negara bagi memenuhi kehendak golongan muda yang dahagakan peluang pekerjaan demi masa depan.

Sebagai seorang pemimpin yang ditauliahkan untuk mewakili negara, Jamaluddin akan menjadikan dirinya wakil untuk semua pihak di negara Malaysia yang berpaksikan '1Malaysia'.

Bekas Menteri Sains,Teknoloji dan Inovasi itu yang berpengalaman luas dalam bidang korporat menjelaskan bahawa tumpuan utamanya adalah ekonomi.

Baginya, usaha untuk memantapkan ekonomi negara perlukan lebih ramai pelabur di bawa ke dalam negara.

Untuk menjayakannya perlu diubahcara atau ditambahnilai sebagaimana usaha yang dilaksanakan oleh negara China, India dan Timur Tengah.

“Kita perlu cari kaedah-kaedah baru, untuk itu saya kena bertemu dengan semua syarikat-syarikat besar Amerika yang sudah ada berpengkalan di Malaysia ini. Saya perlu bertanya pada mereka bagaimana untuk mereka boleh menambah pelaburan mereka di Malaysia ,” kata Dr Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rompin.

Beliau yang merupakan seorang berpendidikan tinggi dalam bidang elektrikal disamping ‘IT Savvy’ berpendapat pelabur baru berasaskan teknologi seperti ‘teknologi hijau’ dan teknologi baru yang mempunyai produk baru dan pasaran baru amat perlu diberi keutamaan demi masa depan peluang pekerjaan untuk golongan muda negara.

Bagi memenuhi gagasan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ‘1Malaysia’,Jamaluddin menggalaskan tanggungjawab besar iaitu amanah Perdana Menteri mahu masa depan rakyat Malaysia, semua bangsa ‘1Malaysia’ terutama golongan muda dibela kerana mereka bakal membela rakyat Malaysia akan datang.

Beliau berbicara tentang antara tumpuan utamanya untuk menyediakan tapak serta peluang pekerjaan yang luas dan besar kepada anak-anak muda yang bakal keluar dari universiti dalam bidang teknologi dan bidang-bidang lain.

“Suasana ekonomi kita sekarang ini, pelaburan domestik kita tidak mencukupi, kita perlu tambah dengan pelaburan luar, teknologi dari luar serta pasaran luar. Ianya bertujuan untuk memelihara dan menjaga masa depan rakyat Malaysia, anak-anak muda kita. Mereka yang meminjam untuk meneruskan pelajaran dan lain-lain, sudah tentunya mereka ingin melihat peluang-peluang pekerjaan.”

“Ini arahan PM pada saya bahawa letakkan agenda ekonomi dan rakyat itu sebagai agenda utama,” kata Dr Jamaluddin menjelaskan misi pentingnya.

Selain itu, beliau akan mendekati golongan muda rakyat Malaysia yang berada di Amerika yang dahagakan maklumat tentang negara untuk diberi penjelasan sebenar tentang keadaan negara, tentang Perdana Menteri baru dan arahtuju baru negara.

Menyentuh lagi soal peluang besar sasaran memantapkan ekonomi Malaysia, Jamaluddin juga akan meninjau industri-industri baru, kreatif industri, teknologi hijau agar boleh dibawa ke Malaysia disamping melihat pasaran Amerika yang besar serta pasaran-pasaran lain.

Katanya, “kalau kita lihat kemajuan IT, teknologi kreatif di India, banyak dimonopoli oleh pelabur-pelabur dari Amerika tapi pelabur itu adalah rakyat India yang sudah maju. Mereka itu melabur kembali ke negara asal mereka India. Mereka juga pakar teknologi.

“Kita juga ingin tengok, bukan sahaja nak mendekati pelabur-pelabur Amerika tapi pelabur yang senang dengan kita, yang sudah melabur di sini malah rakyat Malaysia sendiri. Semasa saya dalam kabinet, ada rakyat Malaysia yang maju dan mereka itulah kita kena pujuk mereka balik ke Malaysia.”

Persoalannya seorang yang masih Wakil Rakyat/Ahli Parlimen dilantik menjadi duta bertaraf menteri ke sebuah negara yang jauh beribu batu. Kawasan serta rakyat dan sebagai Ketua UMNO Bahagian Rompin, bagaimana?

Jawapan Jamaluddin yang merupakan anak kelahiran Pekan, Pahang mudah saja.

“Apabila Angkasawan Negara Datuk Sheikh Muszaphar melaksanakan misi negara ke angkasa lepas, beliau dapat berkomunikasi dengan jelas bersama Datuk Seri Mohd Najib (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) maka soal saya berada di Washington untuk berkomunikasi dengan rakyat dan pemimpin di Rompin adalah tidak payah mana pun.

Menurut Jamaludin beliau diberi tugas mewakili negara sebagai duta dan akan pulang juga dari masa ke semasa, “bila saya balik ke Malaysia, saya akan jalan tugas sebagai ahli parlimen juga...kerana saya sudah lima penggal dan saya juga masih boleh berkomunikasi dengan pengundi-pengundi saya, kumpulan-kumpulan tertentu dalam parlimen saya melalui teknologi, contohnya melalui ‘skype’. Ini ‘free’ sahaja, saya boleh buat mesyuarat jawatankuasa bahagian saya. Saya pengerusi duduk Washington dan AJK saya duduk di Rompin, kita ada teknologi.”

“Kita kena buat perubahan, bila dunia berubah teknologi berubah. Kita kena gunakan teknologi untuk mendekati rakyat,” jelasnya.

Menjawab soalan DIY yang mencelah tentang bagaimana beliau akan memanfaatkan pengalamannya sebagai bekas Menteri Kewangan, Jamaluddin menjelaskan bahawa masih lagi terdapat kenalan beberapa tokoh-tokoh dalam pasaran kewangan Amerika di Wall Street dan beliau akan kembali berhubung bagi mendekati mereka untuk mendapat nasihat, pandangan dan pendapat mereka tentang Malaysia.

Tambah beliau, “mungkin mereka akan memberi idea buah fikiran yang baik untuk bagaimana kita mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan industri-industri Amerika termasuk industri baru.”

Ditanya samada peranannya itu akan bertindih dengan bidang tugas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), beliau berkata, “saya sudah berjumpa dengan Menteri MITI Datuk Mustapa Mohamed dan saya akan berjumpa sekali lagi sebelum saya bertolak ke Amerika dan arahan PM agar saya juga berjumpa dengan menteri-menteri yang ada hubungan atau portfolio mereka yang ada kaitan dengan Amerika.”

“Saya akan berjumpa dengan pelabur-pelabur Amerika di sini untuk bertanya masalah dan bagaimana untuk membantu mereka menambah pelaburan mereka di sini,” katanya.

Soal peranan beliau untuk menjadi ‘jambatan’ penghubung antara Malaysia dan Amerika, Jamaluddin beranggapan bahawa Washington bukan hanya pengkalan Malaysia pada Amerika tapi Amerika juga merupakan ‘gateway’ atau ‘Pintu Jendela’ dunia dan beliau akan menjalankan tugas bukan sekadar mempromosikan Malaysia ke Amerika tapi mempromosikan Malaysia pada dunia kerana banyak duta-duta lain di Amerika yang berpengaruh dalam negara masing-masing.

“Katakan, Malaysia nak melabur atau ada projek tertentu ke Afrika tapi di sana mungkin kurang sumber kewangan yang boleh membiayai projek-projek Malaysia yang dikendalikan oleh pelabur Malaysia di Afrika, kita boleh mendapatkan sumber kewangan di Washington. Secara umumnya, orang kata, “Washington is better place that meet the better players’. Dari segi pasaran, kewangan dan sumber manusia serta teknologinya.”

Sekali lagi DIY mencelah dengan persoalan bagaimana Dr. JJ akan memanfaatkan institusi penting dunia iaitu PBB ketika berada Washington.

Menjawab persoalan itu, Dr Jamaluddin berpendapat beliau melihat PBB sebagai satu lambang politik berbeza dengan Washington yang ditafsirnya sebagai lambang ekonomi yang mana duta-duta kanan bukan sahaja duduk di PBB tapi ramai juga di Washington.

“Apa jua pun, Malaysia mempunyai agenda membela rakyat terutama yang muda, ianya tidak lain dari agenda ekonomi..ekonomi..ekonmi, peluang pekerjaan pada mereka… job..job..job . Seperti jualan dalam ‘real estet’ iaitu location..location..location .. Di sana, untuk membina Malaysia akan datang sudah semestinya kena bela anak muda dari segi peluang pekerjaan.”

Jamaluddin juga memberitahu selain pejabat konsul dan pejabat-pejabat lain di New York termasuklah pelancungan, ‘student affair’ dan ‘trade’ serta beberapa lain berada dibawah penyelarasannya.

Menyentuh tentang amanat PM dan isu-isu semasa dalam negara, Dr. JJ sekali lagi menekankan bahawa beliau diminta oleh PM untuk memikirkan tentang pembelaan kepada generasi muda yang bakal keluar universiti dan institut kerana bagi PM, anak muda merupakan penggerak dan ‘tulang belakang’ pada Malaysia akan datang dan kalau Malaysia mahu berjaya sudah semestilah berpaksikan pada anak muda.

“Soal isu,saya akan bertanya pada anak-anak muda dahulu, setakat mana dia dengar, baca akhbar dan setakat mana mereka melihat media baru, saya akan melihat akan banyak pandangan, banyak isunya, banyak warnanya, mungkin mereka tahu satu warna sahaja. Sebagai wakil negara saya akan beritahu bahawa banyak warna-warninya, supaya mereka itu dapat diberikan fakta dan kenyataan untuk mereka menilai dan memutuskannya.”

“Saya melihat anak muda ini memang bijak tapi tanggungjawab kita untuk berikan semua fakta-fakta realiti supaya mereka dapat meneliti dan memutuskannya dengan cara yang bijak.” Kata Jamaluddin mengakhiri perbualan.-5/8/2009.

2 comments:

Telok Bakong said...

salam

berapa peratus rakyat rompin ada acces kepada internet kalau lebih spesifik berapa peratus pulak yang ada acces kepada broadband. Di kawasan pekan access kepada broadband pun teruk inikan pulak di kawasan Rompin, musykil hamba ni

theriderinblack said...

Jangan pandang lekeh kepada idea JJ untuk menggunakan IT dalam pentadbiran Parlimen Rompin nanti. Ini sesuatu yang menarik. Kalaulah kita katakan Rompin kekurangan kemudahan ICT, inilah masanya yang sesuai untuk menaiktaraf apa yang telah sedia ada.

Saya amat ternanti nanti perkembangan baru ini dan amat berharap agar penggunaan iCT itu nanti akan menjadi asas kepada lain-lain kawasan Parlimen di negara ini.

Harap masyarakat tidak akan memperkecilkan idea YB JJ ini nanti.