Wednesday, August 5, 2009

JANGAN KACAU PENIAGA KECIL

Oleh AgendaDaily

Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan menawarkan khidmat bantuan guaman secara percuma kepada penjaja dan peniaga di Jalan Masjid India dan kawasan sekitarnya bagi menuntut ganti rugi daripada penganjur demonstrasi membantah Akta KeselAmatan Dalam Negeri (ISA) di Kuala Lumpur Sabtu lepas.

Ketuanya Rizalman Mokhtar berkata tuntutan boleh dilakukan bagi kerosakan harta benda, kerugian perniagaan dan kehilangan pelanggan pada hari berkenaan.

"Di atas kesedaran untuk membantu para peniaga dan penjaja yang mengalami kerugian daripada perhimpunan yang dicetuskan oleh (GMI) Gerakan Mansuh ISA itu, kami mengambil pendekatan menyediakan peguam mencukupi, membiayai perkhidmatan peguam termasuk menyediakan khidmat nasihat dalam bentuk perundangan.

"Kita ajukan saman kepada penganjur utama iaitu GMI dan saman boleh dikemukakan terhadap parti pembangkang juga jika pihak peguam mendapati terdapat penglibatan mereka dalam demonstrasi itu berdasarkan kehadiran pemimpin utama mereka pada hari berkenaan," katanya kepada pemberita selepas meninjau permasalahan peniaga dan penjaja di Jalan Masjid India, Selasa.

Rizalman berkata melalui tuntutan saman itu diharapkan ia dapat memberi pengajaran dan amaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab bagi mencegah kejadian seumpama itu berlaku pada masa akan datang.

Katanya peniaga boleh mengemukakan bukti anggaran kerugian penjualan pada hari berkenaan kepada Sekretariat Penjaja dan Peniaga Kecil UMNO Wilayah Persekutuan atau menghubungi Penolong Setiausaha Mohd Taufik Hussain di talian 019 3389876.

Presiden Persatuan Peniaga Bumiputera Wilayah Persekutuan, Rosli Sulaiman, berkata tiga persatuan peniaga kecil yang mewakili 1,000 ahli di sekitar Jalan Masjid India akan mengemukakan tuntutan kerugian sebanyak RM3 juta kepada penganjur demonstrasi haram itu).

"Kebanyakan gerai pada hari tersebut mengalami kerugian besar kerana ia berlaku pada hari hujung minggu, mereka tidak dapat menjalankan aktiviti perniagaan dan sekaligus terpaksa menutup premis mereka apabila keadaan menjadi tidak terkawal," katanya.

Seorang peniaga, Mohd Hafifudin Nordin, 65, berkata kebanyakan peniaga terpaksa menutup kedai dan gerai kerana keadaan ketika itu boleh mengancam keselamatan manakala seorang pengurus kedai, Faizal Abdul Rahman, 40, berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi membela nasib mereka yang teraniaya akibat demonstrasi haram itu.

Kira-kira 10,000 penyokong GMI mengadakan demonstrasi jalanan di beberapa lokasi sehingga menyebabkan kesesakan teruk di sekitar bandar manakala beberapa premis perniagaan terpaksa ditutup.-4/8/2009

(Renungan Rimau : Kejadian demonstrasi jalanan Sabtu lalu akan merosakkan usaha kerajaan untuk membantu masyarakat di bandar terutama peniaga kecil. Kerajaan amat mengambil berat nasib golongan ini terutama ketika mereka 'terkial-kial' menghadapi kemelut ekonomi sekarang. Namun, tindakan parti pembangkang membuat kacau dan mengadakan demonstrasi jalanan pasti akan menyebabkan perniagaan peniaga kecil terjejas. Ada yang terpaksa membuang makanan kerana tidak boleh dijual. Tidak kesihankah pemimpin pembangkang dengan nasib peniaga terutama Melayu yang terpaksa menghadapi kerugian dengan tindakan yang bodoh dan memalukan itu? Apakah mereka tidak malu dengan kaum lain yang mentertawakan bangsa Melayu yang mengadakan demonstrasi kerana diperalatkan oleh pemimpin yang sudah sewel dan tidak tentu arah? Ada antara mereka disebabkan bas ke Kelantan hanya boleh dinaiki pada jam 8 malam, maka sesetengahnya berlegar-legar di Jalan Masjid India dan Jalan Tunku Abdul Rahman menyebabkan peniaga di situ tidak senang duduk atau tidak tenteram dan ada yang tutup kedai. Apalah perangai semacam itu.)

No comments: