Tuesday, November 24, 2009

2.5 JUTA UMAT ISLAM DI MEKAH


JEDDAH, Arab Saudi : Berdepan wabak selesema babi dan ketegangan antara Arab Saudi selaku tuan rumah dengan jemaah fahaman Syiah dari Iran, lebih 2.5 juta umat Islam berkumpul di bandar suci Mekah dan Madinah minggu ini untuk menunaikan haji.

Di bawah pemantauan kira-kira 20,000 kakitangan perubatan dan lebih 100,000 anggota keselamatan, acara haji yang merupakan ziarah tahunan terbesar di dunia ini akan bermula Rabu ini.

Empat kematian pertama di kalangan jemaah haji akibat jangkitan virus H1N1 yang diumumkan Sabtu lalu, menjadi peringatan kepada jemaah haji yang mengabaikan pemakaian topeng mulut dan langkah pencegahan lain.

Bagaimanapun angka itu jauh lebih rendah daripada yang dibimbangkan pihak berkuasa.

Umat Islam dari seluruh pelosok dunia membanjiri Arab Saudi melalui kapal terbang, bas dan kapal laut sejak Oktober lalu, untuk menunaikan haji yang biasanya dilakukan sekali seumur hidup.

Antara perkara lain yang menimbulkan kerisauan adalah seandainya berlaku insiden rempuhan yang meragut nyawa seperti yang terjadi pada tahun 2006, menyebabkan 364 jemaah terkorban.

Laluan pejalan kaki setinggi lima tingkat juga telah siap dibina bagi ibadah melontar jamrah di Mina, direka untuk mengelakkan kejadian panik yang pernah berlaku.

Jambatan sepanjang 950 meter dengan 80 meter lebar itu memakan belanja AS$1.2 bilion (RM4.1 bilion).

Selesema babi menjadi kebimbangan utama sejak ia menjadi wabak global awal tahun ini.

Sabtu lalu, hanya 20 jemaah didapati menghidap H1N1 dengan 12 daripada dirawat hingga sembuh, empat meninggal dunia dan empat lagi masih berada di hospital.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Dr Khaled Marghlani berkata, empat mangsa - tiga warga emas dan seorang remaja Nigeria, mempunyai masalah kesihatan seperti jangkitan paru-paru hingga barah sekali gus menjadikan mereka mudah dijangkiti.

Selepas persidangan dengan pakar kesihatan antarabangsa pada Mei lalu, Arab Saudi memutuskan tidak mengharamkan jemaah dari kumpulan berisiko seperti warga tua, kanak-kanak dan mereka yang sakit daripada menunaikan haji. - AFP

(Renungan Rimau : Setakat ini, kesihatan kami baik. Alhamdulillah. Doa saudara-mara dan kenkawan. Semoga kesihatan ini akan terpelihara selama-lamanya. Banyak minum air zam-zam dan berdoa agar penyakit (termasuk rohaniah) hilang selama-lamanya. InsyaAllah).

1 comment:

Anonymous said...

Satu ulasan yang bagus...sekurang2nya kita tahu sejauhmana progres bandaraya Maakah.