Sunday, November 22, 2009

KESABARAN MEMBENTUK JIWA BESAR

(Gambaran pembangunan : Masjidil Haram pada 2020)
JEDDAH, Arab Saudi : Ketika ini, ramai jemaah haji sudah berada di Mekah. Ini termasuk dari Malaysia. Mereka yang selesai mengerjakan sembahyang 40 rakaat di Masjid Nabawi di Madinah juga mula bertolak ke Mekah untuk tinggal di penginapan yang siap ditempah.

Bilangan yang ramai dan amat mencabar.

Dalam mengerjakan umrah ketika ini, jemaah haji perlu banyak bersabar terutama dengan karenah jemaah haji yang bersikap 'tidak mempedulikan' orang lain. Dalam ertikata lain, mereka sajalah yang hendak buat dulu atau suka 'meredah'.

Kesabaran inilah yang menjadi kekuatan dalam jiwa jemaah haji untuk terus menyerahkan diri kepada Allah SWT. Kesabaran inilah yang membezakan mereka dengan orang lain yang mungkin jiwa cepat menjadi luntur atau menjadi pemberang.

Kesabaran akan menyebabkan jemaah haji itu tidak menjadi pemarah atau bertindak kasar. Sebaliknya akan segera memberi laluan kepada jemaah lain atau 'bertolak ansur', bukan bertolak-tolak sehingga menimbulkan kekecohan.

Keluarga di kampung boleh mengingatkan saudara atau rakan yang mengerjakan haji mengenai konsep kesabaran tertinggi ini. Tiada kesabaran, semua kehancuran.

Antara tempat yang menagih kesabaran yang tinggi di kalangan jemaah haji ialah ketika membuat umrah di mana ribuan jemaah akan mengelilingi Kaabah dalam masa yang serentak, sama ada membuat tawaf umrah atau tawaf sunat.

Bilangannya akan menjadi ramai selepas sembahyang waktu terutamanya waktu Isyak.

Jemaah haji juga perlu merancang dengan teliti ketika mengerjakan tawaf terutama mengelakkan diri daripada berada dekat dengan Makam Ibrahim di mana ramai jemaah dari negara tertentu yang berpusu-pusu di situ sehingga menghalang perjalanan jemaah lain.

Mereka juga perlu berada di luar lingkungan sedikit ketika mengerjakan umrah (jangan terlalu dekat dengan Kaabah) agar jemaah yang bersembahyang di depan Kaabah terutama di pintu tidak menghalang pergerakan. Selamat beribadat.

4 comments:

Dak Wan® said...

Memang best dapat pergi sana. Semoga tuan dapat haji yg mabrur.

Idris Ismail said...

Tahniah kerana dapat berada di Tanah Suci ini. Rasanya saat untuk ke Arafah semakin hampir. Pengelaman di Mekah. Arafah, Muzdalifah dan Mina mengajar kita erti kemanusiaan sebenar.

Kita berada di dalam khemah bersih, beraircond, cukup bilik air dan tandas. Coba kita perhatikan sahabat kita yang berkhemah di atas bukit batu yang terjal, tanpa aircond, tanpa bilik air, dan tanpa tandas.

Semoga kita sama-sama bersyukur ke hadrat Illahi atas segala nikmat yang Allah berikan kepada kita.
Semoga mendapat haji yang mabrur.

Idris Ismail, http://idristalu.blogspot.com/

ibrahim yahaya said...

Sdr Dak Wan,

Terima kasih. Sama-samalah kita berdoa agar semua jemaah haji dari seluruh dunia termasuk Malaysia selamat mengerjakan haji dan pulang ke tanahair.

ibrahim yahaya said...

Sdr Idris,

Dapat merasai keperitan golongan ini ketika menyaksikannya pada 1997. Ramai yang berjalan kaki dan tidur di tepi jalan. Pengalaman itu sentiasa terpahat dan mengingatkan diri betapa perlunya bersyukur sepanjang masa. Terima kasih.