MINA, Arab Saudi : Pagi ini, saya selesai mengerjakan satu perjalanan penyerahan diri kepada Allah SWT. Satu perjalanan yang memberikan satu lagi pengalaman bagi insan kerdil seperti saya. Merasai bahawa tanah suci inilah yang mempunyai pelbagai rahsia yang perlu dilihat dengan mata hati. Perlu selalu dikunjungi agar diri diberkati.
Perjalanan ini bermula apabila sebuah organisasi mencalonkan DIY untuk menjadi tetamu Kementerian Kebudayaan dan Penerangan Arab Saudi. Tempoh yang diberikan amat terhad dalam dua minggu saja. Itupun belum tentu mendapat visa ke Tanah Suci.
Saya mencadangkan kepada pengarah organisasi berkenaan agar orang lain diberi peluang seperti mana saya meminta Bahagian Berita dan Ehwal Semasa (BES) menghantar seorang wartawan membuat liputan haji pada tahun ini. (Seorang seperti yang dibenarkan oleh Bahagian Antarabangsa). Tawaran tahunan kepada RTM.(Tahun ini, BES diwakili oleh KCL yang membuat laporan setiap hari untuk RTM).
Sebenarnya, jemputan untuk wartawan turut dibuat oleh KKP Arab Saudi. Tetapi ada juga jemputan untuk individu yang memimpin organisasi. Mereka perlu dicalonkan terlebih dahulu. Atau juga permohonan daripada pihak tertentu.
Bagaimanapun, pengarah organisasi itu memberitahu pencalonan itu berdasarkan kepada individu yang memberi sumbangan kepada nilai dan budaya Islam. Pencalonan itu menghargai sumbangan saya? Terima kasih. Jika saya tidak mahu, maka beliau tidak membuat pencalonan itu. Atas nama individu yang sedang memegang jawatan.
Panggillah apa saja nama termasuk 'opportunis' tetapi jemputan menemui Allah SWT ini perlu disahut. Mungkin ada hikmah di sebalik kesediaan menerima pencalonan. Mungkin ini ada kaitan dengan penyataan niat suci ini awal tahun kepada isteri. MasyaAllah.
Daripada situlah bermulanya perjalanan menyerah diri ini.
Perjalanan ini berbeza daripada apa yang saya lakukan pada 1997.
Ini satu perjalanan yang mana saya melihat dan merasai sebagai seorang wartawan atau pemerhati selain turut berihram, tawaf, sai dan melontar seperti orang lain mengerjakan haji. Tidak hairanlah kali ini, banyak tempat yang saya dapat lawati atau dijemput menjadi tetamu KPP Arab Saudi. Alhamdulillah.
Dulu saya melihat sebagai insan yang mahu mengerjakan haji. Mahu menyerahkan diri terus kepada Allah SWT. Hanya ibadat selama sebulan di Mekah dan Madinah. Perkara lain adalah sampingan termasuk juga pengalaman melihat betapa ramainya jemaah haji dari seluruh dunia berkumpul di kedua-dua tanah haram itu.
Kali ini, perspektif amat berbeza sekali.
Selain diberikan penerangan oleh pegawai KPP dan agensi lain dalam kerajaan Kingdom of Saudi Arabia (KSA), saya juga melihat betapa umat Islam dari seluruh dunia komited dan reda dalam urusan penyerahan diri kepada Allah SWT.
Dari seluruh dunia, mereka datang dengan pelbagai cara. Ada yang menggunakan pakej istimewa atau pakej biasa seperti orang Malaysia yang menggunakan Tabung Haji. Ada yang datang dianjurkan oleh pertubuhan Islam tertentu seperti pengajar di sekolah pondok di Indonesia. Tidak kurang juga yang dianjurkan oleh Agensi Pelancongan, yang bertindak pintar untuk menyelaraskan urusan haji untuk pelanggan.
Namun, yang amat menakjubkan ialah kesungguhan dan komitmen mereka yang datang secara bersendirian. Mereka yang masuk secara haram ke Mekah dan Madinah untuk mengerjakan haji. Mereka ini saya anggap sebagai pejuang yang mempunyai semangat tinggi walaupun tiada kelebihan dari segi kewangan.
Semangat mereka kental. Anak kecil dikendung dan yang besar dipimpin. Ibu yang sakit ditolak menggunakan kerusi roda. Ayah yang boleh berjalan, bertatih di belakang mereka. Isteri dikawal dengan mata dan telinga. Yang lain terserah kepada Allah SWT.
Tolak tepi 'kesalahan dunia' yang dibuat termasuk masuk secara haram atau faktor lain termasuk membuat kotor. Tetapi yang dikagumi ialah bagaimana mereka sanggup tidur di jalan raya, kaki lima, bawah kereta atau khemah malah di atas bukit semata-mata untuk menyerahkan diri kepada Allah SWT.
Jika di Mekah atau Madinah, mungkin 'pemandangan' ini tidak jelas tetapi di Mina ia menceritakan segala-galanya. Hamba Allah ini berada hampir di setiap pelusuk Mina. Lautan putih ihram dan khemah kalis api.
Ada antara mereka menjadi penghuni Mina tanpa khemah atau kabin khas. Tiada pakej Zamrud atau pakej kelas pertama. Mereka hanya berbumbungkan langit dan bertikarkan kain ihram atau tikar plastik yang dijual oleh penjual jalanan. Selimut mereka mungkin tuala mandi atau kain ihram. Ada yang tidur di atas kepingan kotak buangan.
Di Mina ini, tempat tinggal mereka bergantung berapa dekat yang boleh untuk sampai ke ketiga-tiga jamrahtul di mana mereka perlu melontar. Jika tidur di atas jambatan yang menuju ke jamrahtul, masalahnya tiada tandas. Jika tidur jauh sedikit, maka adalah kemudahan untuk 'membersihkan diri' atau mengecaj bateri. Tetapi perlu berjalan sedikit untuk melontar tanpa perlu melalui Terowong Muasim. Itu pilihan mereka dalam menyerahkan diri kepada Allah SWT.
Di sinilah saya merasai betapa kuatnya semangat mereka untuk menunaikan Rukun Islam Kelima dalam keadaan yang 'tidak selesa' tetapi selesa untuk mengerjakan wajib haji.
Sunday, November 29, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Assalamulaikum wr wb Datuk,
Melontar jamrah merupakan pengalaman yang cukup istimewa bagi semua jemaah haji, semasa mengerjakan ibadah haji.
Bagaimanalah agaknya rupa tempat melontar sekarang. Semasa mengerjakan ibadah haji dalam tahun 2007 dahulu, baru dua lantai beroperasi, iaitu bahagian asal di bawah dan lantai tingkat satu.
Dengar rencananya, kerajaan KSA bercadang untuk membina lima lantai (tingkat) untuk kemudahan dan keselamatan para jemaah melontar.
Puas sudah mencari di internet, belum berjumpa gambar terbaru tempat melontar di Mina.
Akhirnya doa saya semoga Datuk, keluarga dan rombongan selamat mengerjakan ibadah haji dan selamat dalam perjalanan balik ke tanah air tercinta.
Wassalam,
Idris Ismail Talu
http://idristalu.blogspot.com/
Sdr Idris,
Semua sudah siap dan amat memudahkan untuk melontar. Pengalaman saya pada 1997 memang satu ujian daripada Allah SWT di mana jemaah haji terpaksa berhimpit-himpit mengambil giliran melontar. Namun, yang kita diajar untuk membantu orang lain dan kemudian Allah SWT akan mengilhamkan orang lain membantu kita. Itulah keistimewaan ihsan dalam agama kita. Saling membantu.
Post a Comment