Tuesday, November 17, 2009

HORMATILAH ANAK BUAH YANG MULIA

JEDDAH, Arab Saudi : Pernahkah anda merasakan bahawa 'orang bawah atau anak buah' akan berasa gembira jika anda tiada di pejabat atau berada di luar negara? Dalam ertikata lain mereka gembira apabila anda tiada. Kucing atau rimau sudah tiada, tikus pun berjoget sakan. Ada juga tikus yang menari poco-poco. Dunia katakan.

Adakah anda pernah tahu bahawa anak buah akan bertepuk tangan atau mengetuk meja mesyuarat jika mengetahui anda tiada masa mempengerusikan mesyuarat? Dalam ertikata lain anda tidak mempengerusikan majlis itu dengan muka yang bengis/masam dan memarahi mereka sehingga terasa ke tulang putih. Ada yang tidak selera untuk makan.

Anda mempengerusikan majlis dan mengeluarkan kata-kata sinis yang menyakitkan hati. MasyaAllah. Insaf dan bertaubatlah. Saya insaf dan bertaubat. Taubat itu balik ke pangkal jalan. Jangan kata bertaubat tetapi tidak balik ke pangkal jalan.

Jika anak buah berkelakuan demikian, anda perlu memikirkan 'apa yang salah dengan diri anda'. Adakah anda sudah mereng atau sasau? Anda perlu mengundurkan diri segera untuk mengelakkan lebih ramai anak buah yang menderita.

Saya sentiasa memikirkan perkara itu walaupun sudah banyak kali menjadi ketua. Saya sentiasa memastikan 'anak buah' selesa walaupun adakalanya terpaksa menghamburkan apa yang patut secara profesional (bukan perangai macam budak-budak)demi untuk memastikan mereka melaksanakan tugas yang diberikan. Pencapaian diutamakan.

Sebagai ketua, kita perlu memastikan bahawa 'anak buah' sentiasa selesa dan menjalankan tugas dengan rasa hormat bukan rasa takut kepada kita. Hormat bukan takut. Hormat kerana kita disegani dan bukan takut kerana kita harimau.

Anak buah bercerita mengenai perangai kita yang bukan-bukan. Adakalanya perangai kita pelik dan macam budak-budak. Anak buah sering terasa hati sehinggakan terpaksa meluahkan perasaan kepada orang tersayang seperti isteri atau kekasih sehinggakan nama kita sering disebut beratus kali dalam perbualan mereka. Menjadi buah mulut. Sering menjadi topik perbualan. Minta dijauhkan kerana ia menandakan satu perkara yang tidak sihat dan memalukan yang dilakukan kita sebagai ketua.

Sebagai ketua, kita perlu menghormati 'anak buah' walaupun kita rasa kita sudah 'cukup besar' untuk tidak perlu mengambil hati mereka. Jangan pandang sebelah mata dengan 'anak buah' kita. Dalam ertikata lain hormatilah beliau sebagai manusia yang bermaruah dan jangan berperangai seperti iblis yang bongak dan sentiasa membanggakan diri. Jauhilah perangai seumpama itu.

Sebagai ketua, kita juga tidak boleh lari daripada melakukan kesalahan dan ketika itu segeralah meminta maaf kepada 'anak buah'. Untuk itu, saya meminta maaf dalam kolum ini untuk membolehkan mereka memaafkan saya. Bumi mana yang tidak dibasahi oleh hujan. Saya juga sentiasa memaafkan mereka walaupun tanpa memberitahu mereka.

Sebagai ketua, kita juga perlu bersifat adil dan bukannya sentiasa memuji 'anak buah' yang disukai tetapi memandang sepi dengan 'anak buah' tertentu atau membenci mereka walaupun mereka bekerja keras dan melaksanakan tanggungjawab. Adakala kita 'membenci' mereka kerana perkara kecil yang bukan-bukan atau terlalu mendengar kata orang lain. Ini tidak sihat dan boleh menghancurkan organisasi yang dipimpin.

Satu lagi, sebagai ketua, kita tidak boleh mengikut kata 'anak buah' tertentu sehinggakan kita menjadi tidak waras dan sanggup memarahi 'anak buah' lain yang tidak berdosa. Bagi saya, terlalu mengikut kata 'anak buah' tertentu boleh memusnahkan kerjaya kita terutama jika kata-kata anak buah itu semata-mata kerana rasa sakit hati ataupun sekadar untuk menghancurkan masa depan orang lain. Anak buah yang sakit ini perlu dilemparkan jauh-jauh ke dalam laut. Barulah mereka sedar.

Saya insaf kerana saya juga ada membuat salah. Orang lain pun perlu berbuat begitu.

5 comments:

Unknown said...

salam DIY,
anak buah yang mulia lahir daripada ketua yang mulia. maka jika kita lihat anak buah tidak mulia, maka lihatlah semula ke dalam diri sendiri, muliakah aku..."boss borek anak buah rintik"

selamat beribadah datuk, doa-doakan lah juga kemakmoran rakan-taulan di tanah air ni. wassalam

Dari Lensa Ke hati said...

Dato...selamat mengerjakan Haji..biasa la..setiap manusia ada buat silap..kalau kita sedar,maka itulah jalan cahaya petunjuk kearah keinsafan..kita tegas demi memastikan apa yang di target..

Anonymous said...

YBhg. Datuk,

Sudah lama rasanya saya tidak memberi sebarang komen dalam ruangan Datuk yang 'berapi' dalam tenang ini.

Saya sependapat dengan Datuk dalam hal ini. Ini kerana, saya pernah menjadi ketua dan pernah juga dan sedang diketuai. Saya merasa kedua-dua perasaan, menjadi yang pertama tadi dan menjadi orang bawah.

Orang bawah akan menghormati pemimpin jika pemimpin itu bukan sahaja pandai cakap, tetapi pemimpin itu tahu untuk membuat apa yang dicakapkannya.

Bagaimanapun, orang bawah akan mencemuh, jika pemimpin itu 'cakap tak serupa bikin'. Sindrom ini banyak yang terjadi dalam struktur organisasi di mana-mana sahaja sekarang. 'Cakap tak serupa bikin' itu bukan sahaja membabitkan tidak mengotakan janji sahaja, malah ia lebih luas daripada itu. ia juga boleh ditafsir sebagai tidak tahu apa yang dicakapkannya, hanya pandai mengarah, tetapi tidak tahu untuk membuat apa yang diarahkannya, dan sebagainya.

Pada saya, seorang pemimpin itu perlu mendapat penghormatan daripada anak buah menerusi kepimpinannya. Jika kita mahu dihormati, maka kita perlu menjadi seorang yang terhormat... dalam hal ini bukan berlagak seperti aristokrat, tetapi bertingkah laku yang membolehkan dihormati oleh semua orang, termasuk orang di bawah.

Kebanyakkan pegawai tinggi kerajaan ketika ini mengamalkan 'arms length' (seperti yang pernah dinasihatkan oleh seorang bekas pegawai kanan PTD kepada saya). Saya rasa, konteks 'arms length' ini bukan sesuai digunakan pada setiap masa. Jika di dalam keadaan tertentu seperti badan beruniform, ia tentulah perlu. Tetapi dalam konteks berurusan dengan 'civilian' atau orang awam, konteks 'arms length' ini tidak semestinya boleh digunakan. Saya sendiri pernah menjalankan ujikaji terhadap teknik ini. Namun ia tidak berkesan. Selepas itu, saya terpaksa berbalik kepada kaedah sendiri, iaitu memenangi hati mereka menerusi 'semangat setiakawan dalam pasukan'. Dalam hal ini, saya tidak menganggap diri ini sebagai ketua, tetapi sebagai salah seorang anggota dalam pasukan, dengan sama-sama bekerja bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Seseorang manusia itu dibezakan dengan binatang melalui MARUAH. Sebagai seorang ketua, kita juga bertanggungjawab menjaga maruah anak buah atau orang bawahan kita. Insyallah, jika kita menjaga maruah mereka, maka mereka juga akan menjaga maruah kita, dengan melaksanakan kerja, walaupun kita tidak berada di hadapan mereka, kerana, pada pandangan mereka, jika mereka tidak melaksanakan kerja mereka, mereka akan mencalarkan maruah 'boss' mereka di mata pihak atasan.

Menjadi 'boss' atau ketua bermakna kita memegang amanah yang diberi kepada kita oleh Allah S.W.T. Justeru itu, amanah yang diberi perlu dilaksanakan dengan adil, cekap dan berhemah kerana kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak dengan perlakuan kita sebagai 'boss'.

Menjadi seorang ketua juga, pada hemat saya bukanlah satu tanggungjawab mudah yang boleh diberi kepada sesiapa sahaja. Ini kerana di bahu orang yang dilantik itu, akan tergalas segala harapan, masa depan dan pencapaian sesuatu organisasi itu. Pengalaman, pengetahuan dan timbang tara yang tinggi diperlukan, jika hendak menjadi seorang ketua. Kriteria inilah yang perlu dipelajari seseorang, yang mahu meningkat naik dalam kerjaya dan berhajat menjadi ketua.

Seseorang ketua yang baik ialah seseorang yang telah dilengkapi dengan ilmu dan pengalaman luas dalam bidang yang diketuai bukan sekadar 'kenal sesiapa' sahaja.

NAMUN, apa yang paling penting, seperti yang dimaklumkan oleh YBhg. Datuk dalam perenggan akhir itu..... INSAF DAN PEMAAF... kerana seorang ketua yang baik sentiasa insaf dan sedar akan kekurangannya serta sentiasa terbuka memaafkan kekhilafan orang lain terhadapnya.

KAMARUL BAHRI ABDUL KADIR
Shah Alam, Selangor.

Anonymous said...

alhamdullilah... ikut resmi padi makin banyak isi makan tunduk..tapi jangan sampai orang pijak kepala kita.. sebagai ketua kita perlu adil dan memang bukan senang nak jadi ketua dan tidak mudah bila menjadi ketua.. apa yang penting semangat kerjasama antara anak buah dan ketua pencetus kegemilangan sebuah organisasi.semoga berjaya

Anonymous said...

Saya ni sepanjang dlm perkhidmatan kerajaan hanyalah orang bawah sehingga pencen. Saya mengalami semua apa yg dibangkitkan oleh Dato'

i) Ketua yg baik dan berperibadi mulia, dihormati hingga ke akhir hayat. Pernah seorang immediate boss menenyeh laporan sulit seorang pegawai rendah yg akan memudarkan kariernya sepanjang hayat. Tetapi Ketua yg di atas berhati mulia. Beliau menasihatkan immediate bosss tu buat semula laporan sulit pegawai yg berkenaan. Fikirkan lah perok nasi orang sama. Immediate boss boleh mengasuh pegawai dibawahnya membuat kerja sebagaimana yg dikehendaki oleh Jabatan. Bukan menenyeh dan mengancurkan masa depan pegawai itu. Itu boss yang berhati mulia.

ii) Boss yg maniak yg suka maki hamun pegawainya. Boss ini akan ceritakan pulak hal ni kpd pegawai lain yg dia telah maki hamun so and so. Dimana letaknya maruah harga diri. Pernah berlaku seorang boss menegah seorang pegawai meghadiri mesyuarat mingguan kerana boss itu benci dgn pegawai ni kerana banyak menjawab dan memberi alasan. Tapi bukan alasan untuk mengelak kerja tapi alasan yg tidak bersesuaian dgn kemahuan boss yg always right. Jadi bilamana orang bermesyuarat, pegawai ini akan terpinggir di biliknya sendirian. Dan dia akan dimarahi lagi dan selanjutnya pegawai akan ditukarkan keluar dari ditu.

iii) Ada boss yg Muslim tidak gemar pegawainya yg Muslim bersolat 5 waktu semasa waktu kerja. Dituduh mencuri tulang. Apatah lagi solat berjumaah. Dianggap mengganggu pegawai lain. Masya Allah. Sedangkan boss itu sendiri pun tak solat.

iv) Ada boss yg sanggup minum minuman keras dihadapan pegawai bawahannya.

v) Ada boss yg tidak langsung memberi keyakinan kepada pegawai dibawahnya boleh menjalankan tugas dgn baik. Puncanya pegawai bawah bukan jenis kipas .

vi) Bos yg baik akan menilai prestasi pegawai bawahnya dgn saksama dan menyokong pada setiap proses kenaikan pangkat.

vii) Percayakah anda seorang pegawai yg sama dlm jabatan yg sama boleh mendapat kenaikan gaji melintang dan khidmat cemerlang 2 tahun berturut-turut?

Jauh perjalanan banyak pengalaman. Lama hidup banyak dirasa.