Saturday, July 31, 2010
PEMIMPIN ALAM SEKITAR SUDAH BISU?
Namun yang paling menarik ialah sikap NGO alam sekitar yang membisu seribu bahasa mengenai masalah pasir dan air di Selangor dan keributan masalah air kotor dan pembalakan berleluasa di Kelantan. Banyak cerita sedih dan derita terutama membabitkan bangsa Melayu.
Apakah pemimpin NGO alam sekitar ini sudah ditutup mulut kerana yang membuat hal bukan Barisan Nasional tetapi parti-parti seperti PKR, DAP atau PAS? Ataupun mereka sebenarnya meminati parti pembangkang dan apabila ini berlaku, 'biarlah ia berlalu'.
Ini yang menjadi pelbagai persoalan di benak fikiran kami yang merasakan pemimpin alam sekitar ini mempunyai agenda mereka sendiri. Apabila mereka merasakan untuk bersuara kerana yang terbabit tidak sebulu dengan mereka, maka dipanggilnya wartawan untuk mengadakan sidang akhbar bagi 'membelasah' kegiatan yang tidak secocok dengan mereka.
Hakikatnya, inilah pemimpin yang hipokrit dan memikirkan tembolok mereka saja.
Friday, July 30, 2010
RESVIL SAMAN KUMPULAN SEMESTA
Thursday, July 29, 2010
LING LIONG SIK DIDAKWA
Wednesday, July 28, 2010
CINA KENA TOLONG BN
Persoalannya adakah BN sudah bersedia menangkis serangan pembangkang? Ada serangan terlalu terdesak termasuk memainkan isu perkauman. Adakah pemimpin BN terutama MCA dan Gerakan sudah mantap dan bersedia 'menghunus pedang politik' mereka untuk menghadapi lawan? Jika tidak segeralah asah pedang politik mereka.
Tidak sukar untuk melihat sokongan rakyat kepada PM menerusi pendekatan mengutamakan rakyat termasuk kekuatan Gagasan 1Malaysia. Tidak ada tanda besar memaparkan rakyat menolak 1Malaysia melainkan golongan kecil yang dimomok-momokkan bahawa hak mereka akan diambil. Golongan ini buaakan tidak menyokong tetapi 'kebingungan' dan 'kecelaruan'.
Hakikatnya majoriti rakyat menyenangi gagasan 1Malaysia yang menekankan perpaduan negara, malah suka pada DS Najib. Tetapi adakah ini mencukupi untuk memenangkan BN dengan majoriti yang besar? Persoalan ini perlu dijawab segera terutama pemimpin besar komponen BN yang masih dilihat memperjuangkan nasib kaum mereka dengan kenyataan panas dan pedas yang adakalanya dilihat menyongsang arus 1M.
Mungkin tidak sukar difahami kerana mereka perlu dilihat sebagai pejuang kaum tetapi jangan keterlaluan sehingga kenyataan dan tindakan mereka dianggap pelik dan mengelirukan. Pemimpin Cina dalam MCA dan Gerakan perlu bekerja keras untuk memastikan pengundi Cina terus memberi sokongan kepada BN. Kerja kuat bukan hanya tahu berpolitik untuk kepentingan diri sendiri. Fikir mengenai kepentingan politik BN.
Jangan biarkan pengundi Cina kebingungan dan celaru.
Tuesday, July 27, 2010
SIAPA NAJWA MAHIADDIN?
Namun, dengan penuh rendah diri, Najwa enggan masyarakat dan pencinta muzik tempatan khususnya memandang kepada kedudukannya sebagai anak kepada seorang yang cukup dikenali.
Sebaliknya, dia mengharapkan orang ramai menilai dirinya kerana bakat dan misi yang mahu dijayakan dalam bidang seni.
Jelas Najwa, bukan dia tidak berbangga dengan latar belakang keluarganya, tetapi biarlah dia bergerak atas nama sendiri dan mahu dikenali kerana bakat yang ada dalam diri.
"Saya tidak menafikan dalam tempoh ini, ramai yang sudah tahu siapakah saya sebenarnya. Bagi diri saya, tidak perlulah lagi saya menghebahkan dan mencanangkan kepada semua tentang status saya.
"Bagi mereka yang sudah tahu akan itu (status), cukuplah. Tetapi, saya lebih suka kalau orang tidak tahu siapa saya dan menerima saya sebagai Najwa, seorang penyanyi dan komposer.
"Bukan apa. Saya bimbang juga kalau kritikan dan komen yang saya terima itu tidak ikhlas kerana mereka memikirkan tentang latar belakang saya.
"Saya masuk dalam bidang seni ini dengan penuh kejujuran dan keikhlasan dalam memperjuangkan muzik serta bakat saya. Itu yang paling penting buat saya," pinta Najwa penuh diplomasi dalam satu perbualan usai sesi fotografi yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Berkali-kali Najwa mengucapkan syukur kerana minat dan cintanya terhadap muzik tidak pernah dihalang oleh kedua orang tuanya.
Sebaliknya, Najwa menerima sokongan penuh dan padu biarpun pada mula ibu bapanya sedikit risau apabila dia menyuarakan hasrat untuk melibatkan diri secara serius dalam dunia seni.
Tetapi, lama-kelamaan, kerisauan mereka itu mula terhakis sebaik sahaja melihat kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh Najwa.
"Sebagai ibu bapa, mereka pastinya mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Saya sendiri sudah melunaskan tanggungjawab dengan menyambung pengajian saya sehingga tamat seperti mana yang mereka mahukan.
"Jadi, mereka merestui minat saya yang mahu menjadi seorang penyanyi dan komposer berjaya. Malah, kami sering menghabiskan masa duduk berbincang dan memikirkan strategi serta pelan untuk mengukuhkan nama saya di dalam industri," kata lulusan ijazah Kejuruteraan Elektronik dari salah sebuah universiti di Melbourne, Australia.
Mengapakah Najwa tekad memilih bidang seni sebagai mata pencarian sedangkan dia juga tahu dan sedar ia bukanlah semudah yang disangka?
Ditambah pula dengan kedudukan dan latar belakang yang dimiliki Najwa, pastinya ia menjadi satu 'kelebihan' buat mereka yang mempunyai niat jahat untuk menjatuhkannya sekali gus mengheretnya ke lembah kontroversi.
Diam seketika sebelum memberikan buah fikirannya, Najwa yang petah dan bijak berkata-kata ini menjelaskan rasionalnya.
"Sudah menjadi tanggungjawab seorang anak untuk memelihara nama baik keluarganya tanpa mengira latar belakang mahupun kedudukan.
"Begitu juga dengan diri saya. Jika saya menjadi seorang artis atau tidak, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga adab agar tidak memalukan ibu saya.
"Saya tidak fikir hanya kerana sudah menjadi artis, saya perlu menjadi lebih berhati-hati dan mengawal setiap pergerakan saya demi mengelakkan diri daripada menjadi sasaran.
"Terjunnya saya dalam bidang seni adalah kerana mahu mengubah senario industri kita selain merancakkan serta mempelbagaikan lagi genre muzik," ujar gadis berkulit putih gebu ini sambil tersenyum manis.
Sempat juga Najwa ditanya, pernahkah dia dilabel sebagai seorang yang sombong dan berlagak kerana dilahirkan dalam keluarga kenamaan?
Tidak menafikan perkara itu pernah terjadi. Tetapi jelas Najwa, semua salah tanggapan terhadap dirinya hanyalah kerana mereka tidak cuba untuk mengenali dirinya dengan lebih dekat.
Sedangkan dia tidak pernah mendongak langit sehingga melupakan rumput yang hijau di bumi.
Dalam masa yang sama, Najwa turut mempertahankan pendiriannya bahawa dia masih seperti dahulu biarpun namanya kini mula meniti bibir masyarakat.
Walaupun sudah menjadi orang popular, Najwa tidak menganggap itu sebagai tiket emas untuk mengubah dirinya menjadi seorang yang sombong dan hidung tinggi.
"Sejak kecil terutama ketika zaman persekolahan, saya tidak pernah meletakkan keistimewaan pada diri saya.
"Dengan sesiapa sahaja, saya senang berkawan dan sehingga ke hari ini, persahabatan saya terus kekal terjalin.
"Mereka yang berkawan dengan saya selalunya tidak mengetahui latar belakang saya. Tetapi, selepas beberapa lama berkawan, barulah mereka tahu siapa saya.
"Namun, ia langsung tidak merubah apa-apa dan mereka menerima diri saya seadanya tanpa sebarang kompromi. Begitu juga dengan diri saya.
"Apabila menjadi artis, itu juga yang saya harapkan agar masyarakat dapat menerima bakat saya sebaik mungkin. Berilah saya peluang untuk menonjolkan dan mengembangkan lagi bakat saya ini," pintanya penuh luhur. - UTUSAN.
(Renungan Rimau : Suka orang berbakat. Suka saja tau... Perrgggh)
Monday, July 26, 2010
JANGAN TIPU UNTUK UNTUNG
Perkara itu terkandung dalam pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat Oktober ini yang menyaksikan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pengusaha terlibat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pindaan itu membuktikan bahawa kerajaan begitu tegas terhadap mana-mana pengusaha yang melanggar peraturan berkaitan perkara itu.
Menurut beliau, hukuman sedia ada iaitu denda RM100,000 terhadap individu dan RM250,000 terhadap syarikat serta masing-masing tiga tahun penjara agak rendah dan mampu dibayar oleh mereka.
“Tindakan itu adalah wajar bagi memberi pengajaran kepada pengusaha kopitiam dan restoran supaya tidak menipu pengguna dengan mempamerkan logo halal tetapi makanan yang dijual adalah sebaliknya,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Wanita Bera Berhad (Kowada) di sini hari ini.
Semalam, Ismail Sabri berkata, sebuah kopitiam terkenal di Kuala Lumpur yang diserbu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kelmarin boleh didenda sehingga RM100,000 jika didapati bersalah melakukan penipuan berhubung penggunaan logo halal. Kopitiam yang mendapatkan sijil halal daripada syarikat swasta itu telah diserbu oleh Jakim selepas dipercayai mendapatkan bekalan daging ayam daripada sebuah syarikat penyembelihan bukan Islam.
Ismail Sabri menjelaskan, pindaan akta tersebut membolehkan denda yang dikenakan lebih tinggi berbanding sebelum ini dan tempoh hukuman penjara akan turut dinaikkan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pindaan akta tersebut diluluskan dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini bagi mengelakkan masalah tersebut berulang pada masa depan.
Tegasnya, akta berkenaan bukan sahaja melibatkan pengusaha kopitiam dan restoran tetapi juga syarikat yang membawa produk makanan dengan menggunakan logo halal negara lain yang diperiksa kesahihannya oleh Jakim dan jabatan agama Islam di setiap negeri. “Isu makanan halal ini adalah sensitif dan sepatutnya pengusaha terbabit mengambil berat mengenai perkara ini,” katanya. - UTUSAN.
(Renungan Rimau : Kepercayaan yang diberikan oleh umat Islam perlulah dijagai dengan baik kerana apabila keyakinan dan kepercayaan itu hilang maka sesiapa saja yang menikmatinya sebelum ini akan menerima padah.)
Sunday, July 25, 2010
KAKI KATAK DALAM MI....INI SUDAH LEBIH
Hakikatnya, penemuan kaki katak dalam mi itu mungkin satu daripada 1001 macam benda yang 'dimasukkan' atau 'termasuk' dalam makanan yang kita makan selama ini. Mungkin katak melompat dalam kuali kot? Macam ulat yang melompat dalam 'caesar salad' di sebuah restoran di One Utama satu masa dulu. Macam macam perangai di negara ini.
Siapa yang kena tipu selama ini? Tentulah pengunjung yang begitu berminat lepak di kopitiam tanpa memikirkan sama ada halal atau haram. Mereka masuk kerana ada logo halal. Tidak kira logo halal itu buatan sendiri atau dibeli daripada 'penjual' tertentu. Atau tidak kisah ada logo tetapi oleh kerana ramai orang masuk, dia pun masuk juga.
Masih ingat DIY isu ayam KFC yang diheboh-hebohkan tidak sembelih satu ketika dulu. Ketika itu, perniagaan restoran KFC terjejas teruk sehingga memaksa mereka memberikan makanan percuma dan penjelasan demi penjelasan untuk membawa semula pelanggan. Akhirnya, kepercayaan diperolehi semula dan sehingga kini restoran itu penuh dengan anak dan ibu bapa.
Apakah peristiwa kaki katak dalam mi tidak akan menimbulkan satu keadaan di mana orang Islam tidak akan mengunjungi kopitiam lagi? Mereka bimbang jumpa kaki binatang lain. Mungkin kegelisahan itu akan terjadi atau sebaliknya. Ini bergantung kepada apakah orang Islam sentiasa mahu memastikan makanan itu halal atau haram. Atau belasah apa saja.
Dalam pada itu, pemilik kopitiam perlu memastikan makanan yang disediakan halal. Bukan tulis halal tetapi memang halal. Ada sijil halal daripada pihak berkuasa. Mereka perlu menghormati kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan Islam. Jangan tipu tak baik. Jangan biarkan kopitiam itu kosong kerana ada peristiwa tidak menarik seperti penemuan kaki katak itu.
Tepuk dada tanyalah selera - pemilik dan pelanggan.
Saturday, July 24, 2010
TERIMA KASIH PM DAN DR RAIS
Siapa yang tidak merasa gembira setelah 18 tahun lamannya nasib mereka terbela dan menikmati gaji yang lebih baik.
Pagi semalam seramai 100 posmen datang menaiki motosikal ke Jabatan Perdana Menteri menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak itu yang melibatkan 9,000 posmen di seluruh negara.
Dalam pertemuan ringkas di tempat letak kereta Jabatan Perdana Menteri mereka menyampaikan sebuah kek serta cenderahati berupa potret Najib yang lengkap dengan logo 1Malaysia sempena ulang tahunnya yang ke-57 kepada beliau.
Mereka sama-sama menyanyikan lagu Selamat Harijadi kepada Perdana Menteri sebaik sahaja Najib yang tiba pada kira-kira jam 8.30 pagi di situ dengan disambut oleh Pengerusi Pos Malaysia Tan Sri Aseh Che Mat. Turut hadir ialah Timbalan Menteri KPKK, Datuk Maglin D Cruz dan Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Datuk Syed Faisal Albar.
April lalu Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Dr Rais Yatim mengumumkan penyusunan semula tangga gaji dan elaun posmen serta kerani pos agar selaras dengan penjawat awam lain, berkuatkuasa Julai.
Dr Rais berkata langkah itu berikutan gaji pokok posmen dan kerani pos pada masa ini boleh dikatakan sebagai di bawah paras kemiskinan, dan langkah itu membolehkan lebih 9,000 posmen mendapat kenaikan gaji 11 peratus.
(Renungan Rimau : Sudah dapat kenaikan gaji maka posmen perlu bekerja kuat dan jujur. Cerita mengenai orang buang surat perlu ditiadakan lagi. Sebaliknya mereka perlu memastikan tugasan yang diberikan terbaik sepanjang masa.)
Friday, July 23, 2010
JANGAN MENARI IKUT DIA
MIRI 22 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kabinet memandang berat dan tidak boleh menerima tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang membuat kenyataan hingga menjatuhkan maruah pegawai Persekutuan.
Perdana Menteri berkata, dalam hal itu, sepatutnya seorang Ketua Menteri membuat teguran dengan berhemah dan dilakukan secara tertutup.
''Kalaupun ada teguran hendak dibuat, mestilah dengan cara berhemah dan tertib seperti dilakukan oleh kerajaan Persekutuan dan dibuat secara tertutup," kata beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Pelancaran Program Sentuhan Harapan Petronas di stesen Petronas Desa Senadin di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas.
Najib berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan 'memecat' Pegawai Kemajuan Negeri (SDO), Nik Ali Mat Yunus semalam oleh mesyuarat Exco Pulau Pinang yang dipengerusikan Guan Eng.
Laporan berita sebelum ini menyebut, ketegangan antara Guan Eng dan Nik Ali timbul apabila Ketua Menteri tersebut didakwa beberapa kali mengeluarkan kenyataan menyerang pegawai terbabit.
Antaranya, Guan Eng dikatakan mendakwa pegawai berkenaan sebagai 'tidak profesional, tidak kompeten, pengecut dan patut dipecat' berhubung isu curi pasir di Balik Pulau.
Perdana Menteri berkata, dalam hal itu, pegawai tersebut juga berhak membela diri sebelum tindakan atau teguran dikenakan terhadapnya.
''Cara ini perlu dihormati oleh kerajaan Pulau Pinang dan tidak membuat kenyataan terbuka secara melulu yang tidak mengikut etika," kata Perdana Menteri.
Pada sidang akhbar itu juga beliau melahirkan rasa terharu dengan sambutan hangat yang diberikan oleh masyarakat ketika mengadakan lawatan di Long Banga, dan Bekenu.
''Saya lihat masyarakat datang dengan ramai dan ada yang berjalan kaki dari semalam dan ada yang menaiki kenderaan selama 10 jam untuk bersama-sama pada majlis hari ini.
''Ini satu petanda yang baik bahawa masyarakat tempatan amat mengharapkan kepimpinan kerajaan yang sedia ada," jelas beliau. - UTUSAN.
(Renungan Rimau : Tidak sukar untuk memahami tindakan LGE itu. BN tidak perlu menjadi bomba untuk memadam api yang dimulakan oleh anak LKS. Beliau akan terus bakar dan membakar selagi beliau tahu ada pihak yang berminat untuk memadamkannya. Amat memahami perangai orang Melaka tu.)
Thursday, July 22, 2010
PUTERI JANGAN TUTUP KEDAI
Bilik gerakan yang beroperasi di peringkat pusat itu kemudiannya akan dibuka di peringkat negeri dan bahagian dalam tahun ini juga.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Unit Khas Pilihan Raya Puteri UMNO, Mas Ermieyati Samsudin, dengan adanya bilik gerakan tersebut, segala maklumat mengenai pengundi di setiap peti undi di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen dapat dikumpul, dianalisis dan dipantau oleh jentera pergerakan.
Jelas beliau, langkah itu juga menjadikan jentera Pergerakan Puteri sentiasa bersedia dan proaktif dalam membantu memastikan kemenangan BN menerusi pelan-pelan tindakan yang telah dirangka serta disusun di peringkat pusat.
"Sekitar Ogos nanti, kita akan bergerak membuka bilik gerakan terbabit ke peringkat negeri dan bahagian. Dalam tahun ini juga, kita menyasarkan semua negeri dan bahagian membuka bilik gerakan tersebut.
"Menjelang Januari 2012, jentera Puteri UMNO akan dimantapkan dan bersedia menghadapi pilihan raya," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran bilik gerakan tersebut di Pejabat Puteri UMNO, Menara Dato' Onn, dekat sini petang ini.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil; Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Rashid Shirlin dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, melalui bilik gerakan Unit Khas Pilihan Raya Puteri UMNO, selain maklumat mengenai pengundi, ia juga menjadi pusat pengumpulan data berkenaan permasalahan yang dialami pengundi.
"Apa akar umbi mahukan, kecenderungan mereka, masalah-masalah dan apa jua isu-isu semasa akan dikumpul untuk dianalisis," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bahawa Puteri UMNO kini sedang menggerakkan usaha untuk menambah keahlian yang kini berjumlah sekitar 380,000 orang.
"Ketika ini, terdapat sejumlah 1.29 juta pengundi muda wanita yang berusia lingkungan 21 hingga 35 tahun.
"Mereka adalah sasaran untuk menarik mereka menjadi ahli Puteri UMNO," tambahnya. - UTUSAN.
(Renungan Rimau : Dalam portal AgendaDaily, Datuk Azalina Othman (gambar atas usahakan kebun durian) suruh Puteri UMNO tutup kedai jika tidak kerja kuat atau agresif. Tetapi nampaknya Puteri UMNO tidak akan tutup kedai kerana mereka sudah buka bilik gerakan. Peranan Puteri UMNO ini penting kerana mereka telah banyak membantu UMNO selama ini. Tidak tahulah siapa yang bagi maklumat kepada DAO bahawa Puteri UMNO sudah malap. Ayuh...Puteri UMNO ni...lawa dan berjasa (gambar kanan).
Wednesday, July 21, 2010
KALIMULLAH NAFI TERBABIT
KUALA LUMPUR 21 Julai - Wartawan yang menjadi ahli perniagaan, Datuk Kalimullah Hassan hari ini menegaskan bahawa beliau tidak pernah terbabit dalam apa jua cara dalam Malaysian Insider, sebuah berita portal.
"Saya juga bukan seorang pengarah Efficient E-Solutions di mana saya telah berhenti pada 21 Jun 2006. Saya tidak mendapat sebarang kontrak kerajaan sepanjang hidup saya dan bukan seorang pemegang saham dalam VPI International,” katanya sebagai respons berhubung dakwaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), sebuah badan bukan kerajaan (NGO), semalam.
JMM telah mendakwa bahawa penaja Malaysian Insider telah menggunakan wang diperolehi daripada kontrak kerajaan untuk membuat firnah terhadap kerajaan.
Dakwaan JMM itu berdasarkan Effeicient E-Solution juga mempunyai kepentingan 20 peratus dalam VPI International yang telah mendapatkan kontrak perkhidmatan pengimejan dan pengimbasan pengumpulan data daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Kalimullah berkata, “Jika JMM mempunyai bukti atas salah laku itu, ia sepatutnya, sebagai sebuah NGO yang bertanggungjawab yang mendapat dana daripada rakyat Malaysia yang berkedudukan tinggi, mengemukakan bukti itu kepada pihak berkuasa, tanpa melengah-lengahkannya.”
Beliau juga berharap Bernama, sebagai sebuah agensi berita nasional, “di mana saya pernah menjadi pengerusi sebelum ini, akan bertindak secara profesional pada masa depan dan menentukan kesahihan dakwaan itu terlebih dahulu sebelum menerbitkannya.” - Bernama.
(Renungan Rimau : Ada ejen kenit memberitahu DT mereka nampak Kalimullah di sebuah restoran makanan laut Kota Kinabalu minggu lalu dengan beberapa rakan berbangsa Cina. Betul ke dia? Buat apa kat sana? Tentulah makan dan berniaga.)
Monday, July 19, 2010
MOHAMAD MUDA MENINGGALKAN KITA
Perkara itu dimaklumkan kepada DIY menerusi sms Isa Nikmat.
Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama roh orang-orang soleh. Al-Fatihah.
RADEN GALOH MENINGGALKAN KITA
Itu yang dimaklumkan dalam blog Rocky pagi ini. Beliau menghidap kanser payu dara dan banyak menulis mengenai perkara itu dalam blognya.
Semoga rohnya ditempatkan oleh Allah SWT bersama dengan roh orang-orang yang soleh. Al-Fatihah.
Sunday, July 18, 2010
MELAYU HILANG KUASA DAN MARUAH?
IPOH 17 Julai - Orang Melayu akan hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) jika UMNO dan Pas terus berdegil untuk tidak bersatu.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang melahirkan kebimbangan tersebut berkata, kedegilan kedua-dua parti Melayu terbabit untuk meletakkan keutamaan agama di tempat sepatutnya hanya akan memberi kesan buruk kepada masa depan orang Melayu sendiri.
''Kalau kita terus berpecah-belah, kita akan terima kekalahan (pada PRU-13), itu sahaja. Dan akan berlaku satu bentuk penjajahan baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak 2010 di Dewan Bankuet Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.
Hadir sama dalam perhimpunan sehari anjuran Gagasan Melayu Perak (GMP) itu ialah presidennya, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail.
Harussani menegaskan, pemimpin Melayu perlu sedar bahawa mereka memikul tanggungjawab memastikan kepentingan orang Melayu terjamin.
''Adakah agama yang mengajar kita suruh berdegil? Sedangkan degil itu adalah sifat keji dalam Islam. Kalau itu sifat keji, kenapa tidak dibuang daripada diri kerana ia tidak akan menguntungkan diri.
''Kalau dia pemimpin, dia tidak akan menguntungkan rakyat. (Sedangkan) bila jadi ketua, amanah untuk menjaga ummah itu kewajipan dia. Kalau dia berdegil, amanah tiada pada dia, rakyat akan hancur," ujar beliau.
Ditanya apakah masih ada harapan untuk orang Melayu khususnya membabitkan UMNO dan Pas bangkit dan bersatu semula jawabnya:
''Insya-Allah disebabkan kedua-dua puak (parti) ini mempunyai keinginan hendak bersatu.
''Ada pemimpin Pas datang berjumpa saya, begitu juga pemimpin UMNO. Mereka minta pandangan bagaimana untuk disatukan (kedua-dua parti)."
Mengulas lanjut kata Harussani, penyatuan masih tidak dapat dilakukan sehingga hari ini kerana kedua-dua pihak telah meletakkan faktor keutamaan di tempat yang salah.
''Saya percaya tujuan orang Pas memperjuangkan Islam ikhlas tapi meletakkan (keutamaan) di tempat yang salah. Mereka taksub sebab tidak faham. Orang UMNO serupa juga.
''Kalau kedua-dua parti memahami faktor keutamaan itu, apa yang perlu diutamakan? Keutamaan adalah agama dahulu dan agama tidak menyuruh kita membenci sesama umat Islam bahkan kasih-mengasihi sesama kita," katanya.
Dalam perkembangan sama, Harussani berkata, langkah GMP menganjurkan perhimpunan seumpama itu dapat membantu menyatupadukan orang Melayu.
Sementara itu, Mohd. Hilmi menegaskan, perlunya satu perhimpunan Melayu membabitkan semua lapisan masyarakat termasuk raja-raja dan pemimpin parti politik sendiri untuk melahirkan semangat Melayu dalam menyata dan memperjuangkan hak mereka seperti termaktub di dalam Perlembagaan Negara.
''Cara ini dapat menginsafkan pemimpin-pemimpin Pas dan UMNO yang masih berdegil dan tidak memikirkan tentang masa depan orang Melayu," katanya.- UTUSAN.
(Renungan Rimau : Membaca artikel di atas pada pagi Ahad, bukan satu berita yang menyedapkan hati. Hakikatnya ia perlu ditelan juga walaupun pahit. Terbayang bagaimana gembiranya Lim Kit Siang, anak dan konco-konconya dengan keadaan di mana Melayu hilang kuasa. Terfikir pula bagaimana Si Kitol menyambut kegembiraan kehilangan kuasa bangsanya atau ketika itu menyesal seumur hidup. Fikir-fikirkanlah.)
Friday, July 16, 2010
RENTAK JUARA MALAM AHAD
Debaran bukan sahaja dirasai oleh lapan peserta yang layak melangkah ke pentas akhir, bahkan ia turut menyeliputi seluruh tenaga kerja produksi yang terlibat secara langsung pada malam itu. Tidak ketinggalan adalah individu yang akan mengacarakan rancangan tersebut yang disiarkan secara langsung menerusi TV2 dari Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban, Negeri Sembilan pada pukul 8.30 malam. Mereka yang dimaksudkan ialah Pool, Nurata, Muaz dan Odey.
Keempat-empat pengacara ini akan disatukan di satu pentas sebagai nadi pelancaran program yang diadakan dua tahun sekali itu. Konsert akhir Rentak Juara 2010 kali ini bakal menyaksikan pemenang membawa pulang wang tunai berjumlah RM200,000 sementara naib juara RM50,000.
Kumpulan Paling Popular pula membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 manakala Lagu Terbaik menerima wang tunai sebanyak RM20,000.
Selain itu, terdapat lima lagi kategori hadiah bagi pemenang individu iaitu Vokal Terbaik, Pemain Gitar Terbaik, Pemain Dram Terbaik, Pemain Bass Terbaik dan Pemain Keyboard Terbaik. Hadiah ditaja oleh JS Music Sdn Bhd.
Di kalangan empat pengacara RJ2010, Pool atau nama sebenarnya, Syaiful Bahrin merupakan hos paling senior yang mengacarakan rancangan itu tatkala ia pertama kali dianjurkan pada 2004. Penyampai radio KL FM itu kali pertama bergandingan dengan Azwan Ali namun direhatkan ketika penganjuran musim kedua dan ketiga. Menurut Pool, di awal pemilihan peserta RJ2010, terdapat banyak kumpulan yang memberikan saingan sengit untuk mara ke peringkat seterusnya.
“Kesungguhan yang ditunjukkan peserta begitu tinggi hinggakan saya sebagai hos agak sukar menjangkakan kumpulan mana yang layak melepasi peringkat seterusnya. “Bekalan muzik yang dibawa mereka cukup warna warni dan ia memberi banyak pilihan kepada penonton untuk mengundi kumpulan kegemaran mereka,” jelas Pool membandingkan RJ2010 dengan musim-musim lalu.
Bapa kepada dua cahaya mata itu memberitahu, variasi yang ada itu menambahkan lagi perisa dalam penerbitan RJ2010 kali ini. Seperti rancangan realiti lain, RJ2010 turut tidak ketinggalan memaparkan aktiviti harian peserta menerusi episod diarinya yang berjudul Dentum. Tugas untuk melaporkan aktiviti di sebalik tabir RJ2010 itu digalaskan di bahu pendatang baru dalam dunia pengacaraan, Odey Petra.
Pemuda kelahiran Sabah itu mengakui, di awal pembabitannya selaku pengacara Dentum, dia agak bingung dan hilang arah untuk mengacarakan program itu. Namun, dorongan yang diberi oleh rakan setugasnya di Muzik FM, Muaz sedikit sebanyak membantunya.
“Mujur program itu tidak disiarkan secara langsung. Jika tersilap, ia boleh dilakukan semula.
“Tapi, bantuan daripada Muaz dan Nurata banyak membantu saya mengendalikan Dentum sebaik mungkin,” katanya yang memulakan kerjaya sebagai wartawan penyiaran radio di RTM.
Kata Odey, dia ingin berterima kasih kepada bekas Pengawal Muzik FM, Datin Rosni Yusof yang nampak bakatnya sebagai penyampai radio seterusnya membuka ruang untuk dirinya bergelar pengacara.
Pada konsert akhir RJ2010, Odey akan bersiaran secara langsung di belakang pentas bersama-sama dengan peserta.“Ia merupakan kali pertama saya bersiaran secara langsung. Teruja dan gementar. Itulah perasaan yang dapat saya gambarkan sekarang,” katanya. - UTUSAN.
(Renungan Rimau : Buatlah yang terbaik. Jangan banyak cakap sehingga banyak tersasul. Jangan terlebih-lebih (over) sehingga penonton meluat. Jangan lupa tonjolkan 1Malaysia secara bersahaja. Itu KPI kementerian dan RTM.)
Thursday, July 15, 2010
MELAWAT PULAU BANGGI
Satu majlis penyerahan komputer riba kepada penduduk Pulau Banggi yang akan disempurnakan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim. Penduduknya seramai 20,000 orang.
RTM dan Pos Malaysia juga bekerjasama untuk membuat satu dokumentari khas mengenai perjalanan petugas pos yang sentiasa bekerja kuat dari pagi hingga ke petang. Program yang diusahakan oleh pasukan penerbitan Lambai Limbai, RTM Sabah akan memaparkan kegigihan petugas pos ini dan program terbaru Pos Malaysia.
Apapun, doakan kami selamat pergi dan pulang ke KK petang ini.
Tuesday, July 13, 2010
UMNO DAN PAS PERLU BERSATU
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun usaha tersebut sering menemui kegagalan, tetapi ia tidak pernah mematahkan semangat UMNO untuk memulakan kerjasama yang diimpikan oleh semua orang Melayu. – Utusan.
(Renungan Rimau : Demi untuk kepentingan Melayu dan Islam, pemimpin kedua-dua parti perlu memikirkan usaha untuk mengadakan kerjasama dan permuafakatan. Ini penting bagi memastikan tiada anasir jahat atau si kitol yang terus menerus berusaha memecahbelahkan bangsa Melayu semata-mata kepentingan politik sempit. Sudah tentulah ada pemimpin parti yang bertindak memilih aliran 'menyongsang' tetapi bagi memastikan Melayu terus kukuh, pemimpin sebegini bolehlah diketepikan. Mereka hanya memikirkan politik 'perut mereka' semata-mata.Mereka ini ibarat duri dalam daging yang perlu dibuang segera. Jika tidak daging akan menanah dan boleh dijangkiti kuman.)
Monday, July 12, 2010
SEPANYOL JUARA PIALA DUNIA
Kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada separuh masa pertama.
Tindakan pengadil England, Howard Webb melayangkan kad merah kepada pertahanan Belanda, John Heitinga pada minit ke-109 menjadi detik kejatuhan ‘The Flying Dutchman’.- UTUSAN.
(Renungan Rimau : Perlawanan yang menyaksikan 'kad kuning' ditaburkan kepada ramai pemain kedua-dua pasukan. Perlawanan yang memaparkan pemain Sepanyol dan Belanda terlalu berhati-hati untuk membuat serangan sehingga hanya satu gol dijaringkan. Apapun satu sejarah tercipta dengan Sepanyol kini tergolong dalam kumpulan elit - negara yang memenangi Piala Dunia. Syabas. )
Sunday, July 11, 2010
SEPANYOL ATAU BELANDA?
Bagi DIY, kedua-dua negara mempunyai kelebihan tersendiri untuk memenangi perlawanan pagi ini. Mereka juga mempunyai penyudah David Villa dan Wesley Sneijder (gambar) yang amat digeruni. Kini mereka bertanding untuk menjadi pemilik kasut emas.
Belanda dan Sepanyol memaparkan pencapaian cemerlang dalam kejohanan terhebat ini termasuk menyingkir pasukan pilihan seperti Brazil, Argentina, Uruguay dan Jerman. Dari sejarah kedua-dua negara pernah bertemu lapan kali dan Belanda menang empat kali.
Jangan lupa menonton TV1 mulai jam 2 pagi ini. Bagi mereka yang tidur dulu, bangun dan sembahyang tahjud dulu sebelum menonton perlawanan akhir pada jam 2.30 pagi nanti.
Selamat menonton. Belanda mungkin menang dengan keputusan 3-2. Sotong Paul mesti marah punya? Sotong Malaysia bila pula nak buat ramalan? Sekarang orang lebih percaya sotong. Perrgggh.
GAMBAR IMBAU 1001 KENANGAN (2)
Semua orang sudah bersedia untuk makan kek. Majlis seperti ini memang biasa diadakan di Berita Harian terutama bagi meraikan individu yang menyambut hari lahir. Kebetulan hari itu disambut oleh Saodah Ismail yang ketika itu di Meja Hiburan. Majlis seperti ini diadakan bagi merapatkan hubungan dan silaturahim di antara petugas. Yang seronok jika dapat banyak hadiah termasuk wang. Boleh belanja beli baju atau perkara lain. Gaji pokok ketika itu ialah RM750. Pergggghhh.
Friday, July 9, 2010
MAHATHIR BELA BUMIPUTERA
Malam tadi lebih 1,000 orang hadir di PWTC untuk mendengar pandangan beliau mengenai RMK10 yang disiarkan secara langsung oleh RTM mulai 8.45 malam hingga jam 10 malam. Beliau ditemuramah oleh Syed Munawar dalam Forum RMK10 Kita bertajuk Kepentingan Bumiputera Dalam RMK10.
Amat jelas pandangan beliau masih bernas dan bijak menjawab semua soalan yang dikemukakan. Beliau yakin kerajaan akan terus membela Bumiputera yang masih ketinggalan dan mahu Khazanah Nasional terus memainkan peranan penting menjaga saham Bumiputera.
Thursday, July 8, 2010
MALAYSIA KALAHKAN JERMAN
JERMAN KURANG PENGALAMAN
Hakikatnya, kekalahan tipis Jerman pagi tadi memaparkan bahawa adakala sesebuah pasukan itu dilihat gagah perkasa tetapi akhirnya kecundang kerana pretasi yang tidak konsisten. Bagi mereka yang pernah melihat pasukan Jerman beraksi akan dapat melihat apa yang dipersembahkan oleh pasukan itu pagi tadi amat hambar dan mengecewakan. Diperkotak-katikkan. Mereka lari tidak tentu arah.
Ini menunjukkan pasukan itu memerlukan sedikit lagi pengalaman untuk menjadi juara. Mereka perlu melihat bagaimana Sepanyol yang berpengalaman dan menjadi Juara Eropah sentiasa tenang dan menguasai bola. Akhirnya mereka menang 1-0 hasil tandukan Puyol.
Secara logiknya, bagi mereka yang merasakan mereka kuat perlulah memikirkan bahawa satu hari anda akan tersungkur juga. Ingatlah sentiasa. Tiada yang kebal di negara ini dan jika anda suka menganiaya atau menindas orang dengan perangai yang tidak mencerminkan budi bahasa yang diucapkan, satu hari nanti ketika anda tersungkur ramai yang bertepuk tangan. Mereka akan merasakan lega dan gembira.
Wednesday, July 7, 2010
JANGAN ROSAK AKAL BUDI
Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak ada masalah jika syarikat media condong kepada mana-mana pihak tetapi berita yang disiarkan mesti mempunyai kredibiliti dan integriti, bukannya karut, berunsur fitnah atau rekaan semata-mata.
Menurutnya, beliau sendiri boleh menerima jika berita-berita yang disiarkan oleh media massa adalah perkara benar, walaupun laporan-laporan itu menyentuh kelemahan beliau sebagai Perdana Menteri.
''Cerita Felda bankrap adalah bidaah, kalau sebut kelemahan saya, saya terima tetapi kalau sebut sesuatu yang tidak benar sama sekali ia merosakkan akal budi dan pemikiran masyarakat.
''Rosak bangunan atau jalan boleh diperbaiki tetapi jika rosakkan akal budi dan nilai masyarakat, banyak kesannya dan mungkin menjejaskan hasrat kita untuk menjadi negara yang kuat dan hebat," katanya.
Beliau berucap pada majlis pelancaran Akhbar Sinar Harian Nasional dan Program Karangkraf Peduli di ibu pejabat syarikat penerbitan itu di Seksyen 16, di sini hari ini.
DS Najib berkata, syarikat-syarikat penerbitan juga perlu mengurangkan pengeluaran bahan bacaan berkaitan cerita tahyul dan hantu kerana walaupun ia popular tetapi tidak dapat membina minda masyarakat.
Jelasnya, walaupun sejak akhir-akhir ini kadar minat membaca semakin meningkat tetapi bahan bacaannya harus berbentuk ilmiah dan berguna agar rakyat negara ini menjadi masyarakat yang lebih dihormati dan disegani.
''Saya berharap syarikat-syarikat penerbitan lain seperti Kumpulan Karangkraf dapat membantu kerajaan bagi meningkatkan minat membaca ini," katanya. - UTUSAN.
(Renungan Rimau : Hendak belasah individu, organisasi atau kerajaan bukanlah satu kesalahan terutama yang selalu dibuat oleh pembangkang. Tetapi bahan belasahan itu perlu betul. Benar bermaksud semua maklumat yang dihidangkan sahih dan tepat. Tiada pembohongan dan fitnah. Tiada niat untuk menyebarkan khabar angin. Ini penting kerana jika tabiat menyebarkan fitnah dan pembohongan itu berterusan, maka negara ini tidak akan aman dan terus menuju ke arah kehancuran. Percayalah. Tiada gunanya kita berkuasa jika negara hancur.)
Tuesday, July 6, 2010
PERTEMUAN EX-BH MERIAH
PILIHAN RAYA UMUM SEPTEMBER INI?
Beliau berkata, MCA baru sahaja melalui krisis dalaman dan sedang melalui proses pemulihan, justeru parti itu tidak sempat untuk menyiapkan diri bagi menghadapi pilihan raya jika ia diadakan tahun ini.
Katanya, selain itu, MCA juga masih belum memikirkan mengenai calon-calon parti itu bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
"Saya memerlukan masa sekurang-kurangnya enam bulan hingga setahun untuk menyatupadukan ahli-ahli bagi memastikan parti berupaya meneruskan perjuangannya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau mengulas khabar angin mengenai pilihan raya mungkin akan diadakan September ini.
Soi Lek hari ini genap 100 hari menyandang jawatan tertinggi dalam MCA selepas menang dalam pemilihan semula parti yang diadakan Mac lalu.
Bagaimanapun, Soi Lek percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mungkin memilih untuk mengadakan pilihan raya pada masa tersebut.
Sementara itu, katanya, walaupun berhadapan cabaran besar untuk menyatupadukan ahli, namun keadaan MCA termasuk di cawangan-cawangan dilihat semakin stabil dan perpaduan antara ahli-ahli juga sudah semakin pulih.
Katanya, sehubungan itu, beliau akan terus meminta pemimpin-pemimpin parti itu agar memainkan peranan yang relevan untuk membantu memenuhi permintaan dan keperluan semua kaum di negara ini.
"MCA kini tidak boleh lagi hanya memberi tumpuan kepada masyarakat Cina tetapi perlu melakukannya untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum." katanya. - UTUSAN.
(Renungan Rimau : Siapa yang sudah bersedia angkat tangan? Baiklah, hanya MCA saja yang tidak bersedia maka kita adakan juga pada September ini. Oleh itu, MCA tidak mahu meletakkan calon ya? Mahu. Tetapi kata tidak bersedia, tapi kerusi mahu juga. Kesimpulannya, kita buat ke tidak? Atau kali ini, MCA tidak bertanding? Kerusi nak berikan kepada siapa? Gerakan? Takpe, takpe kita buat lain kalilah. Ok.)
Monday, July 5, 2010
GAMBAR IMBAU 1001 KENANGAN
Ini gambar klasik yang dimuatnaikkan oleh Wan(Ridzwan Mohamad) dalam FB ketika DIY bertugas di Berita Harian / New Straits Times Johor. Ada yang mungkin saudara kenal kerana rupa mereka tidak banyak berubah. Ada pula yang kini sudah bulat atau membesar sesuai dengan keadaan semasa. Siapa yang anda kenal?
DUA MENTERI LETAK JAWATAN
Menteri Pembangunan, Alain Joyandet dan menteri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan di wilayah Paris, Christian Blanc telah menghantar surat perletakan jawatan mereka, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Presiden, Nicolas Sarkozy.
Mac lalu, Joyandet dikritik kerana membelanjakan wang sebanyak AS$157,000 (RM506,325) untuk menyewa sebuah jet peribadi bagi membawanya ke satu mesyuarat tergempar tentang gempa bumi Haiti di Martinique.
Sementara itu, Blanc pula dikritik kerana membelanjakan wang rakyat sebanyak AS$14,700 (RM47,407) hanya untuk membeli cerut. - AFP.
(Renungan Rimau : Beli cigar pakai duit sendiri sejak dari Berita Harian lagi. Itu sebabnya duit banyak terbakar. Pernah ikut lawatan PM ke Cuba dan beli cigar RM25 sebatang di sana (dah sampai, beli la) tetapi orang lain beli AS$250 sebatang. Pergggh mahalnya. Itu betul-betul bakar duit. Ada juga kenkawan yang dapat hadiah cigar memanjangkan hadiah kepada DIY. Terus berkongsi bersama dengan kenkawan lain yang mahu menumpang. Sekarang ini, kurang hisap cigar. Sekali sekala saja. Kalau lepak kat Restoran Syed, boleh beli kat Mydin. Curut pun ok. Asap yang dihembus berkepol-kepol juga. )
Sunday, July 4, 2010
MENANGIS KERANA PIALA DUNIA
Ada juga orang menangis kerana perjudian bolanya bungkus. Segala simpanannya hilang begitu saja kerana dilaburkan dalam judi bola. Apa nak buat? Sudah ketagih. Sendiri buat, sendirilah tanggung.
Ada juga menangis kerana tidak dapat menonton bola. Tidak dapat menonton bola kerana bos hendak buat meeting ketika perlawanan diadakan. Sudah nasib badan. Bos pun janganlah buat meeting ketika perlawanan penting. Empat tahun sekali. Faham fahamlah.
Friday, July 2, 2010
SIAPA TOKOH LIDAH BERCABANG?
Menteri Pertahanan berkata, Anwar memang terkenal bersifat demikian kerana apabila berjumpa orang India, beliaulah pejuang kaum itu; bagi orang Cina, beliaulah hero dan di kalangan orang Islam, beliaulah 'pejuang Islam' sejati.
"Saya masih ingat nasihat Anwar semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO dahulu bahawa antara kepentingan negara dan parti, harus utamakan negara. Walau berbeza pendapat daripada segi politik, apabila berkaitan soal negara, kita perlu pertahankan negara, bukan burukkan negara.
"Ini yang beliau ajar saya dahulu yang saya pegang sehingga kini. Tetapi apabila berada di luar kerajaan, beliau lupa dan telan nasihatnya sendiri.
"Bagi saya, sesiapa sahaja termasuk pembangkang apabila berada di luar negara kena pertahankan negara bukan sebaliknya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melepaskan konvoi pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) KL - London 'Demi Anak Yatim' di Kompleks Percetakan Sri Utusan di sini hari ini.
Anwar dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan beberapa tokoh Yahudi selepas disahkan mengunjungi AS pada 23 hingga 26 Jun lalu bagi 'menjernihkan' hubungan dengan kelompok tersebut selepas dikatakan membuat kenyataan dilihat beliau anti-Yahudi dalam isu Apco Worldwide, baru-baru ini.
Kunjungan itu didedahkan oleh kolumnis terkenal berbangsa Yahudi, Jackson Diehl dalam tulisannya di akhbar The Washington Post, kelmarin.
Diehl dalam tulisannya Flirting with zealotry in Malaysia (Bermain dengan kefanatikan di Malaysia) menyatakan Anwar meluangkan banyak masa untuk memberi penjelasan kepada rakan-rakan lama beliau termasuk Pengerusi Jawatankuasa Luar Negeri, Howard Berman dan beberapa pemimpin Yahudi.
Anwar dalam tulisan itu dikatakan menyesal menggunakan istilah "pencerobohan Zionis," yang biasanya digunakan oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin 'talam dua muka' apabila mengunjungi Amerika Syarikat (AS) untuk 'menjernihkan' hubungannya dengan rakan-rakan Yahudi selepas membuat kenyataan yang dilihat anti-Zionis.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau tidak faham kenapa Anwar secara tiba-tiba menyesal dengan tindakannya itu dan minta maaf.
''Ini salah dan dia hipokrit. Mula-mula dia sertai perhimpunan anti-Zionis di depan Kedutaan AS di sini dan sekarang dia kata kepada AS dia menyesal dengan apa yang dibuat," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Khairy berkata, Anwar perlu memperjelaskan tindakannya itu kepada rakyat Malaysia yang sebelum ini pernah menyertai perhimpunan mengutuk Israel bersamanya di depan Kedutaan AS di sini.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, beliau tidak terkejut dengan tindakan Anwar itu.
"Ia sesuatu yang bukan mengejutkan sebab kita sudah tahu dia ini bagaimana. Dia bercakap lain di sini dan bila di sana dia cakap lain pula," katanya. - UTUSAN.
(Renungan Rimau : Jaga-jaga ada harimau di belakang.)
Thursday, July 1, 2010
CERITA CERITA RAKYAT (1)
Dipetik daripada Buku Konspirasi Politik Melayu oleh Musli Oli.