Friday, July 16, 2010

RENTAK JUARA MALAM AHAD

MENJELANG konsert akhir program realiti Rentak Juara 2010 (RJ2010) esok (17 Julai), pelbagai persiapan dilakukan bagi memastikan rancangan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu berjalan lancar.

Debaran bukan sahaja dirasai oleh lapan peserta yang layak melangkah ke pentas akhir, bahkan ia turut menyeliputi seluruh tenaga kerja produksi yang terlibat secara langsung pada malam itu. Tidak ketinggalan adalah individu yang akan mengacarakan rancangan tersebut yang disiarkan secara langsung menerusi TV2 dari Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban, Negeri Sembilan pada pukul 8.30 malam. Mereka yang dimaksudkan ialah Pool, Nurata, Muaz dan Odey.

Keempat-empat pengacara ini akan disatukan di satu pentas sebagai nadi pelancaran program yang diadakan dua tahun sekali itu. Konsert akhir Rentak Juara 2010 kali ini bakal menyaksikan pemenang membawa pulang wang tunai berjumlah RM200,000 sementara naib juara RM50,000.

Kumpulan Paling Popular pula membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 manakala Lagu Terbaik menerima wang tunai sebanyak RM20,000.

Selain itu, terdapat lima lagi kategori hadiah bagi pemenang individu iaitu Vokal Terbaik, Pemain Gitar Terbaik, Pemain Dram Terbaik, Pemain Bass Terbaik dan Pemain Keyboard Terbaik. Hadiah ditaja oleh JS Music Sdn Bhd.

Di kalangan empat pengacara RJ2010, Pool atau nama sebenarnya, Syaiful Bahrin merupakan hos paling senior yang mengacarakan rancangan itu tatkala ia pertama kali dianjurkan pada 2004. Penyampai radio KL FM itu kali pertama bergandingan dengan Azwan Ali namun direhatkan ketika penganjuran musim kedua dan ketiga. Menurut Pool, di awal pemilihan peserta RJ2010, terdapat banyak kumpulan yang memberikan saingan sengit untuk mara ke peringkat seterusnya.

“Kesungguhan yang ditunjukkan peserta begitu tinggi hinggakan saya sebagai hos agak sukar menjangkakan kumpulan mana yang layak melepasi peringkat seterusnya. “Bekalan muzik yang dibawa mereka cukup warna warni dan ia memberi banyak pilihan kepada penonton untuk mengundi kumpulan kegemaran mereka,” jelas Pool membandingkan RJ2010 dengan musim-musim lalu.

Bapa kepada dua cahaya mata itu memberitahu, variasi yang ada itu menambahkan lagi perisa dalam penerbitan RJ2010 kali ini. Seperti rancangan realiti lain, RJ2010 turut tidak ketinggalan memaparkan aktiviti harian peserta menerusi episod diarinya yang berjudul Dentum. Tugas untuk melaporkan aktiviti di sebalik tabir RJ2010 itu digalaskan di bahu pendatang baru dalam dunia pengacaraan, Odey Petra.

Pemuda kelahiran Sabah itu mengakui, di awal pembabitannya selaku pengacara Dentum, dia agak bingung dan hilang arah untuk mengacarakan program itu. Namun, dorongan yang diberi oleh rakan setugasnya di Muzik FM, Muaz sedikit sebanyak membantunya.

“Mujur program itu tidak disiarkan secara langsung. Jika tersilap, ia boleh dilakukan semula.
“Tapi, bantuan daripada Muaz dan Nurata banyak membantu saya mengendalikan Dentum sebaik mungkin,” katanya yang memulakan kerjaya sebagai wartawan penyiaran radio di RTM.
Kata Odey, dia ingin berterima kasih kepada bekas Pengawal Muzik FM, Datin Rosni Yusof yang nampak bakatnya sebagai penyampai radio seterusnya membuka ruang untuk dirinya bergelar pengacara.

Pada konsert akhir RJ2010, Odey akan bersiaran secara langsung di belakang pentas bersama-sama dengan peserta.“Ia merupakan kali pertama saya bersiaran secara langsung. Teruja dan gementar. Itulah perasaan yang dapat saya gambarkan sekarang,” katanya. - UTUSAN.

(Renungan Rimau : Buatlah yang terbaik. Jangan banyak cakap sehingga banyak tersasul. Jangan terlebih-lebih (over) sehingga penonton meluat. Jangan lupa tonjolkan 1Malaysia secara bersahaja. Itu KPI kementerian dan RTM.)

1 comment:

Quantum Metal Consultant said...

Puas hati ke Dato' Pertandingan Rentak Juara yang telah selesai:

1) Mutu juara betul2 ke layak untuk hadiah bernilai RM200,000.

2) Dalam pertandingan band Asia, Malaysia tidak diwakili?

3) American Idol peringkat superhebat dikendalikan oleh seorang juruacara sahaja tetapi di peringkat tempatan Rentak Juara, juruacara ada 4, idea hebat siapa ni? Penerbit?

4) Penonjolan 1Malaysia tidak kena pada tempatnya lebih lebih lagi mencacatkan seni dan pertandingan itu sendiri. Bukan tak mahu semangat patriotik tetapi biarlah kena tempatnya.

5) Dalam ketika negara sedang 'adjust' subsidi, Rais Yatim sedang membazir pada sesuatu yang kurang kualiti melalui Dato'.