Wednesday, July 7, 2010

JANGAN ROSAK AKAL BUDI

SHAH ALAM 6 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak menasihati pengamal media supaya tidak merosakkan akal budi dan pemikiran masyarakat dengan menyiarkan cerita yang direka-reka dan tidak benar.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak ada masalah jika syarikat media condong kepada mana-mana pihak tetapi berita yang disiarkan mesti mempunyai kredibiliti dan integriti, bukannya karut, berunsur fitnah atau rekaan semata-mata.

Menurutnya, beliau sendiri boleh menerima jika berita-berita yang disiarkan oleh media massa adalah perkara benar, walaupun laporan-laporan itu menyentuh kelemahan beliau sebagai Perdana Menteri.

''Cerita Felda bankrap adalah bidaah, kalau sebut kelemahan saya, saya terima tetapi kalau sebut sesuatu yang tidak benar sama sekali ia merosakkan akal budi dan pemikiran masyarakat.

''Rosak bangunan atau jalan boleh diperbaiki tetapi jika rosakkan akal budi dan nilai masyarakat, banyak kesannya dan mungkin menjejaskan hasrat kita untuk menjadi negara yang kuat dan hebat," katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran Akhbar Sinar Harian Nasional dan Program Karangkraf Peduli di ibu pejabat syarikat penerbitan itu di Seksyen 16, di sini hari ini.

DS Najib berkata, syarikat-syarikat penerbitan juga perlu mengurangkan pengeluaran bahan bacaan berkaitan cerita tahyul dan hantu kerana walaupun ia popular tetapi tidak dapat membina minda masyarakat.

Jelasnya, walaupun sejak akhir-akhir ini kadar minat membaca semakin meningkat tetapi bahan bacaannya harus berbentuk ilmiah dan berguna agar rakyat negara ini menjadi masyarakat yang lebih dihormati dan disegani.

''Saya berharap syarikat-syarikat penerbitan lain seperti Kumpulan Karangkraf dapat membantu kerajaan bagi meningkatkan minat membaca ini," katanya. - UTUSAN.

(Renungan Rimau : Hendak belasah individu, organisasi atau kerajaan bukanlah satu kesalahan terutama yang selalu dibuat oleh pembangkang. Tetapi bahan belasahan itu perlu betul. Benar bermaksud semua maklumat yang dihidangkan sahih dan tepat. Tiada pembohongan dan fitnah. Tiada niat untuk menyebarkan khabar angin. Ini penting kerana jika tabiat menyebarkan fitnah dan pembohongan itu berterusan, maka negara ini tidak akan aman dan terus menuju ke arah kehancuran. Percayalah. Tiada gunanya kita berkuasa jika negara hancur.)

1 comment:

therealunspinner said...

Dato'

Your Dato' KSU kena fitnah kiri kanan, takkan you dok diam je. I'm sure you know who the Unspinner is, Mummy Rokiah, Maharaja Blogger, why let these bloggers run down your KSU. Many of the commentaries coming from internal (KPKK staf), some I can recognise as RTM and Penerangan staff. You should comment on this issue, otherwise, it will be seen as you agree with the fitnah.