Saturday, January 12, 2008

BERHUJAH SECARA ANAK JANTAN

Seorang teman menelefon sebentar tadi bertanya mengapa saya menyiarkan komen yang diberikan oleh orang yang tidak meletakkan nama sebenar atau nama samaran. Dalam ertikata lain yang menggunakan anonymous atau tidak bernama.

Bagi saya, pandangan dan ulasan yang diberikan tanpa menyertakan nama adalah orang yang ingin meluahkan perasaan atau memberikan maklumat tetapi tidak mahu orang lain mengetahui siapa mereka. Mereka ini mahu tetapi takut. Takut orang lain tahu dan takut untuk memberitahu siapa diri mereka sebenar. Ini seperti juga kumpulan yang pernah memberi pelbagai gelaran termasuk monyet dan anjing lompatan kerajaan. Panggillah apa saja asalkan hati senang. Yang penting niat kita menulis.

Pada saya, pandangan yang dikemukakan oleh pengulas dan pembaca blog ini adalah luahan hati mereka dan terpulanglah kepada kita untuk mempercayainya. Apabila orang menggelar kita monyet tetapi pada hakikatnya kita bukan, maka sudah pasti kita tidak akan terasa apa-apa melainkan kita tergolong dalam kumpulan haiwan itu.

Saya berharap pembaca blog ini tidak menabur fitnah atau membuat tohmahan kerana ia dilarang oleh agama dan boleh merosakkan imej orang lain. Kita boleh meluahkan perasaan tetapi janganlah sampai menabur fitnah dan membuat pelbagai tuduhan. Ceritalah yang benar terutama yang memberikan pengajaran kepada orang lain.

Elakkan fitnah dan maklumat palsu. Tepuk dada, tanyalah selera sendiri.

3 comments:

Anonymous said...

Orang-orang yang beriman tidak akan berdukacita. Dan tidak mengambil hati atau kecewa. Orang yang membuat fitnah itu akan mendapat balasannya yang setimpal kelak. Jadi apa gunanya kita gelisah.

Terpulang kepada ilmu, pengalaman, dan kebijaksanaan kita untuk mempercayainya.

Pengguna nama samaran tak semestinya pemfitnah dan pendusta. Yang menggunakan nama sebenar pun belum tentu lagi sebenar-benarnya.

Hakikat adalah di alam nyata ataupun di alam maya, kita tak boleh lari ke mana-mana. Jadi usah gundah gulana.

Pembaca bijak. Penulis pun bijak. Bijak lagi Yang Maha Esa.

ibrahim yahaya said...

Sdr GJ,

Saya amat bersetuju dengan pandangan saudara terutama mengenai balasan setimpal itu.

Namun, saudara bukanlah tergolong dalam kumpulan yang tiada nama atau anonymous. Setidak-tidaknya saudara mempunyai nama "glamour" dan amat menarik sekali.

Pagi tadi, saya terbaca sebuah akhbar politik yang membuat berita yang bukan-bukan sehinggakan kita dapat merasakan bahawa penulis dan pemilik akhbar itu ingin menyebarkan maklumat yang tidak benar. Apakah motif sebenarnya, hanya tuhan saja yang tahu. Tetapi seperti Sdr GJ katakan bahawa pembaca bijak untuk mempercayai atau sebaliknya. Tulislah apa saja asalkan tidak disaman.

Anonymous said...

Fitnah dan menceritakan keaiban org lain ibarat barah yang akan merosakkan seluruh organ jika gagal disekat dan dicantas dari awal. Yang penting jangan pula ada yang melayan fitnah, tohmahan dan kisah aib orang lain dengan menyebarkan apa yang dibaca atau didengar dalam apa jua bentuk pun. Kalau tak percaya diamkan sahaja dan kalau percaya pun diamkan juga. Fitnah akan mati kering begitu sahaja dan yang suka memfitnah pula akan menghantuk-hantukkan kepala ke dinding akhirnya sambil mengunyah daging saudaranya sendiri.