Wednesday, January 2, 2008

DR CHUA MAHU JADI WARTAWAN

Sidang akhbar bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, hari ini mengenai pengumuman perletakan jawatannya sebagai menteri, semua jawatan dalam parti dan Ahli Parlimen Labis, membuka perspektif baru dalam perkembangan politik negara. Pengakuan dan perletakan jawatan itu mungkin akan menjadi budaya baru dalam politik negara di mana jika seseorang pemimpin bersalah, beliau perlu bertindak sebagai "anak jantan" untuk mengaku kesalahannya dan bertanggungjawab untuk meminta maaf dan mengundurkan diri. Beliau sendiri berkata, tindakannya itu bolehlah dianggap berani kerana tidak menafikan atau mengatakan "video itu bukan dirinya tetapi sesuatu yang palsu" seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak sebelum ini. Selain itu, Dr Chua ketika menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh wartawan menyusun kata-katanya yang sehinggakan ada perkara yang tersirat di sebalik jawapannya.

Menonton paparan sidang akhbar dalam Buletin Utama TV3, saya mendapati ada jawapan yang diberikan mampu memberi pengajaran kepada semua ahli politik di negara ini agar berhati-hati dalam gerak-geri kerana mereka mungkin juga boleh menjadi "mangsa" seperti beliau pada masa akan datang. Beliau juga menyatakan mengetahui apa yang berlaku dalam politik negara tetapi tidak mahu menjelaskannya dengan lebih lanjut.

Ketika ditanya apakah yang akan dilakukan selepas ini, Dr Chua terus menjawab untuk menjadi wartawan. Dengan raut mukanya yang serius, beliau meneruskan kata-kata bahawa beliau tidak tahu berniaga dan yakin sesiapa yang melakukan perkara ini bukanlah musuh perniagaannya kerana beliau bukan tahu berniaga. Beliau berhenti di situ seolah-olah membiarkan sesiapa saja dalam sidang media itu atau penonton berita televisyen membaca apa yang tersirat yang ingin disampaikan.

No comments: