Tuesday, January 1, 2008

BERUNDUR, KEMUDIAN KEMBALI SEMULA

Semua berita prime time televisyen - TV3, RTM dan Bernama TV - memulakan pengakuan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa beliaulah lelaki dalam video yang diedarkan di beberapa tempat di Muar dan Batu Pahat. Beliau seterusnya meminta maaf kepada rakyat Malaysia di atas perbuatannya dengan seorang rakan baik yang dirakamkan di satu bilik yang kelihatan seperti bilik hotel.

Daripada visual video yang ditunjukkan oleh Buletin Utama jam 8 malam, ia adalah rakaman yang terancang dan membabitkan lebih satu kamera. Pengakuan dan minta maaf itu adalah baik. Namun, Dr Chua tetap mahu meneruskan khidmatnya sebagai Menteri dan beliau sudah memberitahu mengenai kes video itu kepada Perdana Menteri dan Timbalannya serta Presiden MCA.

Berita mengenai video itu disiarkan dalam akhbar-akhbar Cina dan news portal, Malaysiakini, sebelum ini. Hari ini, Dr Chua membuat sidang akhbar di MCA Labis yang turut dihadiri oleh pemimpin BN lain.

Bagi saya, Menteri Kesihatan itu elok menerima nasihat penganalisis politik, Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim dalam laporan BU TV3 yang menyatakan bahawa langkah terbaik yang perlu dilakukan oleh Dr Chua ialah meletakkan jawatan. Ini kerana seorang pemimpin yang telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan norma masyarakat pasti akan sukar untuk meneruskan kehidupan sebagai pemimpin. Beliau juga akan menjadi "masalah" kepada Barisan Nasional dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

Ramai pemimpin UMNO yang "bermasalah" pada masa lalu meletakkan jawatan dan setelah nama mereka dibersihkan atau orang ramai sudah lupa dengan "peristiwa" berkenaan, mereka kembali dan memegang jawatan dalam parti seperti biasa.

4 comments:

Anonymous said...

Betul beliau patut letak jawatan. Namun itu bukanlah the Malaysian way.

The Malaysian Way ialah beliau akan meletakkan jawatan apabila di “suruh” letakkan jawatan oleh Perdana Menteri.

Bukan budaya kita cerita meletakkan jawatan ni. Tak kiralah leburaya runtuh ke, sex ke, bangunan runtuh/bocor ke, rasuah ke, tembak penunjuk perasaan sampai mati ke, dan sebagainya.

Letakkan jawatan itu budaya kita...

Kulupbana said...

Sewajarnya Datuk Chua meletakkan jawatan lantaran ianya mencemari integriti MCA mahupun Barisan Nasional. Chua terjerat atas perbuatannya; ianya satu pengajaran pada 'musang-musang' lain yang menjadikan amalan itu sebagai makan minum harian.

Jika dia dimaafkan makanya kita pun sama; dua kali lima.

ibrahim yahaya said...

Sdr Gurindam Jiwa,

Mengaku membuat kesalahan adalah satu budaya yang baik dan perlu diamalkan oleh semua pemimpin negara.

Apabila sudah mengaku, langkah seterusnya ialah meletakkan jawatan demi maruah diri dan keluarga. Sebagai pemimpin parti, mereka juga perlu menjaga maruah parti dan kerajaan yang diwakili.

Jangan memeningkan kepala Perdana Menteri yang terpaksa membuat keputusan bagi pihak golongan yang sudah mengaku membuat salah.

Pemimpin di Jepun akan meletakkan jawatan jika sesuatu kejadian yang memalukan terjadi dalam agensi di bawah kawalan mereka.

ibrahim yahaya said...

Sdr KB,

Sejak dari dulu lagi, saya yakin perbuatan yang melanggar norma kehidupan masyarakat adalah satu kesalahan yang tidak boleh diterima oleh rakyat negara ini.

Justeru, sebagai individu apatah lagi sebagai pemimpin, elakkan melakukan perkara-perkara yang melanggar norma kehidupan masyarakat negara ini. Jika sudah terlanjur, cepat-cepatlah berhenti agar ia tidak memakan diri.

Sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan sama ada kecil atau besar. Tetapi jika kita terus melakukan kesalahan yang sama, apatah lagi yang besar tanpa berasa bersalah, satu hari jangan terperanjat ia akan terbongkar dan ketika itu sudah terlambat untuk memperbaiki segala-galanya.

Saya sentiasa mengingatkan diri kerana saya juga seorang manusia biasa yang tidak terlepas melakukan kesalahan dulu, kini dan akan datang.