Wednesday, January 16, 2008

SIAPA SUKA BUKA BAJU DEPAN ORANG RAMAI?

Mengapa manusia membuka baju? Untuk menukar baju yang lama kepada yang baru. Baju lama yang dipakai semalaman atau seharian. Baju "busuk" yang ingin dibasuh atau dihantar dobi. Membuka baju untuk membersihkan diri atau mandi. Membuka baju dalam bilik (orang lain tidak nampak) kerana kepanasan disebabkan kipas atau penghawa dingin tidak berfungsi. Membuka baju untuk mengurut atau berubat.

Pakcik di kampung pun ada yang membuka baju dan hanya memakai pakai kain pelikat untuk lepak di tepi bendang atau bawah pokok mangga. Tetapi sudah membuka baju sebelum keluar rumah. Hanya sekadar "tidak berbaju" di kawasan dekat-dekat rumah saja. Tidaklah membuka baju di hadapan orang ramai. Tidak menunjukkan aksi bagaimana membuka baju hingga nampak semua bahagian atas. Banyak lagilah punca manusia membuka baju yang mempunyai tujuan tertentu tetapi mengikut adab sopan dan tidak memalukan diri sendiri.

Ahad lalu, ada artis yang buka baju kerana keseronokan. Apa halnya ni? sudah mabuk ke? Faizal Tahir, bekas anggota kumpulan nasyid Mirwana yang kemudian bertukar menjadi penyanyi rock membuka baju ketika mengadakan konsert ulang tahun keempat 8TV di Central Park Avenue, Bandar Utama. Nasib baik sudah menjadi bekas anggota kumpulan nasyid. Jika tidak sudah tentu orang kata dunia ini hendak terbalik apabila anggota kumpulan nasyid membuka baju. Tetapi sekali fikir pun sebelum ini ramai penyanyi rock yang "gila-gila" dalam persembahannya tetapi tidak pula sampai membuka baju, apatah lagi ketika membuat persembahan siaran langsung.

Ini kes luar biasa. Dulu ada artis bercium depan orang ramai. Kini ada orang buka baju pula. Bukankah orang gila saja yang membuka baju depan orang ramai?

No comments: