Tuesday, January 8, 2008

TIDAK CUKUP ATAU TIADA KAWALAN?

Semalam, seorang teman menelefon mengatakan bahawa kekurangan minyak masak di negara ini adalah satu misteri apatah lagi memikirkan bahawa Malaysia sebuah negara pengeluar. Jika dikatakan kejadian sorok atau penyeludupan oleh peniaga atau individu dari negara jiran, keadaan ini tidaklah seburuk yang dihadapi sekarang. Masalah sekarang terlalu besar untuk dilakukan oleh "orang kerdil". Baginya, sudah pasti ia membabitkan kumpulan yang lebih besar dan terancang.

Pagi ini, saya juga membaca perkara yang sama dalam akhbar Utusan Malaysia di mana seorang pembaca Mohd Arif Atan dari Universiti Malaya menyatakan pendapatnya.

Dalam ruangan pendapat beliau menulis: "Adalah musykil, bagaimana sebuah negara pengeluar dan pembekal minyak sawit utama di dunia boleh mengalami krisis ini? Tidakkah wujud "tangan-tangan" yang sengaja mencipta sentimen cemas di kalangan pengguna lantaran mahu menaikkkan harga barang kawalan tersebut dalam jangka masa terdekat? Ke mana perginya hampir 50,000 tan metrik minyak masak di pasaran kini, jika tidak wujudnya kemungkinan pakatan bersama antara 23 buah pengilang minyak masak serta para pembekal yang terbabit? Tidak keterlaluan dikatakan ini adalah petanda untuk harga minyak masak dinaikkan. Lihatlah nanti sekiranya harga minyak masak dinaikkan, secara tiba-tiba pula bekalan minyak masak mencukupi malah melambak-lambak di pasaran."

Pagi ini juga saya mendengar berita radio yang menyatakan bahawa bayaran tambang bas sekolah juga akan dinaikkan jika kerajaan menetapkan peraturan bahawa bas melebihi 20tahun tidak boleh digunakan sebagai bas sekolah. Satu lagi ialah tidak membenarkan bas sekolah yang "tua" digunakan untuk bas persiaran. Persatuan pengusaha bas sekolah meminta syarat itu dilonggarkan kerana banyak pengusaha akan rugi. Selepas itu, ada pula berita harga tambang bas ekspres akan dinaikkan kerana kerajaan mengarahkan bas ekspres dipasang alat pengesan GPS.

Apa halnya ni? Semua orang hendak membuat ugutan, tarik tali, memohon kelonggaran terhadap keselamatan, sorok barang, seludup, berpakat mencari untung, sabotaj ekonomi dan banyak lagi yang menyebabkan rakyat biasa menderita. Apakah ini caranya terbaik untuk mendapat perhatian yang menyebabkan orang lain susah? Ini tidak betul dan perlu diperbetulkan segera. Jika tidak, rakyat akan terus menjadi "mangsa" kumpulan yang tamak dan rakus untuk mengaut keuntungan berlipat ganda. Memang berniaga untuk untung. Tetapi fikirkanlah juga kesusahan orang lain dan jangan pula kerana hendak untung melakukan perkara yang negatif.

No comments: