Tuesday, January 29, 2008

REKOD BURUK, PERLU BERHENTI

Ahli Parlimen Baling, Datuk Dr Mashitah Ibrahim adalah antara "bidan terjun" politik yang diketengahkan oleh Pak Lah pada PRU 11 yang lalu. Daripada seorang penceramah agama diangkat menjadi calon BN di Parlimen Baling dan setelah menang pilihan raya terus dilantik menjadi Setiausaha Parlimen JPM. Porfolio bidang keagamaan.

Hari ini, dalam Utusan Malaysia, Dr Mashitah menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya prestasi beliau sebagai wakil rakyat tidak memuaskan. Bagi membuktikan tuduhan itu tidak benar, Mashitah mahu mempertahankan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Baling bagi penggal kedua untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada penduduk kawasan itu. Mahu diberikan peluang sekali lagi. Mahu jadi ahli Parlimen lagi.

Tidak ramai calon "bidan terjun" yang menjadi. Yang menjadi hanya yang terbaik. Yang banyak menjadi ahli politik sebenar ialah individu yang berjuang daripada bawah iaitu di peringkat cawangan dengan memegang jawatan kecil seterus menjadi ketua cawangan dan berpindah ke bahagian. Daripada bahagian mereka melebarkan sayap ke peringkat negeri dan nasional. Naik secara perlahan-lahan. Tidak perlu memijak orang. Tidak perlu "membunuh" karier politik orang lain.

Pemimpin seperti ini biasanya seorang yang jujur dan ikhlas, matang, memiliki roh politik yang kuat, memahami kepentingan membela rakyat, membantu penyokong setia dan mempertahankan parti sehingga titisan darah terakhir. Pemimpin sebegini rela berundur daripada menghancurkan parti. Pilihlah mereka sebagai calon.

No comments: