Oleh Hishamuddin Aun
TARIKHNYA 10 Mei 2007, lebih sedikit daripada dua tahun lalu. Tempatnya adalah Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur. Di sanalah, ia menjadi titik tolak kepada tersematnya suatu kesedaran bahawa di sebalik manusia itu dikatakan berupaya merancang, Tuhan juga adalah penentu segala-galanya.
Selama enam jam dari jam 9 pagi, sekumpulan doktor pakar melakukan pembedahan pintasan koronari ke atas saya sesudah 10 hari sebelumnya disahkan lima tempat yang tersumbat hingga boleh mengancam nyawa.
Tiada simptom sebelumnya. Tiada rasa tercungap-cungap, jauh sekali kesakitan di dada. Sebaliknya, cuma pemeriksaan rutin yang membawa kepada penemuan itu untuk sesuatu yang lebih buruk terhindar kesudahannya.
Semuanya boleh dipersalahkan kepada gaya hidup, pemakanan, tekanan kerja, merokok, kurang bersenam, keturunan dan kurangnya rehat yang sempurna. Lantaran sebab itu juga, hospital tidak akan pernah ketandusan pesakit yang menjadi modal perniagaannya.
Pembedahan itu sukses, kata doktor. Sejurus tersedar, apa yang dimaklumkan hanyalah langkah pemulihan, termasuk terapi, senaman berterusan, perubahan gaya hidup, penjagaan pemakanan dan pastinya pergantungan kepada ubat-ubatan.
"You just listen and let me do the talking. I've been through it, so I know. Rest well and don't even think of work. Believe me, you will feel so much better after this. Take good care of yourself," kata satu suara menerusi telefon bimbit.
Dalam keadaan masih khayal daripada saki-baki ubat bius pada waktu itu, harus saya tidak tersilap untuk menyedari ia adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Datang daripada pemimpin tertinggi negara, ia umpama penawar yang boleh menyembuhkan dengan serta-merta.
Ramai lagi yang membuat panggilan daripada golongan atasan hinggalah kepada rakan dan kenalan cuma ia dihindarkan daripada pendengaran saya. Semuanya berpesan-pesan sambil mendoakan kesejahteraan.
Harus ia sudah hampir kepada tengah malam hari yang sama apabila saya dikejutkan dari tidur. Wad ICU yang menempatkan saya sesak dengan lima doktor pakar dan sekumpulan jururawat. Semua mereka nampak cemas.
"Apa yang kamu rasa?," soal seorang doktor pakar. "Sebelah daripada paru-paru kamu tidak berfungsi. Kamu perlu bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Kami sedang mengusahakan yang terbaik dan kamu akan menerima rawatan dalam keadaan koma."
Pandangan terakhir saya adalah kepada isteri yang berlinangan air mata dan hanya sejurus kemudian, corong gas diserkup ke hidung untuk saya beralih ke alam yang sama-sekali berbeza, dengan cahaya terang-benderang atau gilang-gemilang di sekeliling.
Harus ia satu mimpi yang panjang atau kata sesetengah orang, bermulanya pengembaraan ke alam roh. Bagaimana mungkin ia tidak kerana mereka yang menemani saya ketika itu adalah ayah, datuk dan nenek yang semuanya sudah lebih dulu meninggalkan dunia ini.
Lapan hari lamanya detik-detik itu dilalui. Segala-galanya terasa sangat tenang dan selesa, tiada siang mahupun malam. Tiada pun kebimbangan terhadap dada yang berparut panjang atau jantung yang mungkin kembali meragam.
Banyak juga yang dapat diperhatikan di antara kebaikan dan kejahatan. Di sana, penghuninya hanya berbeza di antara mereka yang berjubah putih atau berselubung hitam. Ramai sekali yang berzikir-zikir, ramai juga yang mengerang dan meronta kesakitan.
Setiap waktu daripada tempoh lapan hari itu terisi dengan pengembaraan panjang bertemankan arwah ayah hinggalah sampai kepada pesanan terakhirnya untuk saya pulang sambil dia beransur-ansur hilang di sebalik cahaya yang gilang-gemilang.
Khabarnya, selepas lama terbaring kaku di katil ICU doktor sepanjang waktu itu memaklumkan keadaan saya masih tidak berubah daripada tahap 50-50 saya meronta-ronta dengan kuat sekali untuk sejurus kemudian kembali sedar.
Selama 22 hari seterusnya saya menghuni Pusat Perubatan Pantai dan dua bulan selepas pembedahan, kembali bekerja semula. Segala ingatan dan pesanan untuk mengambil mudah tugas di pejabat, tidak pun dapat bertahan lama.
Tugas dan tanggungjawab akan segera mengambil alih apa juga ketahanan diri untuk sekadar melakukan yang minimum. Di sebalik semua itu pun, tidak akan pernah ada kekurangan bahan untuk diperhalusi, tidak akan pernah cukup perkara untuk dibimbangi.
Dalam pada itu, bukanlah juga menghairankan jika ramai yang berkeinginan menjadi ketua pengarang akhbar satu jawatan yang sering dikaitkan dengan kuasa dan glamor.
Lantaran itu jugalah, mereka yang belum mengecapinya akan berasakan banyak lagi yang boleh mereka lakukan jika diberi peluang di kerusi panas itu sambil sebilangan yang pernah mendudukinya, seakan-akan tidak berupaya untuk melepaskannya terus.
Sepanjang mengisi jawatan itu, akan ada ramai kawan dan kenalan baru. Sambil itu, akan sentiasa ada kawan lama yang memilih untuk memusuhi. Harus itu sudah lumrah kerana tidak mungkin semua mereka dapat dipuaskan hati.
Sudah resmi jawatan itu untuk membuatkan ramai yang terdorong untuk penjawatnya kurang dihargai dan terhindar untuk disukai atas alasan yang pelbagai daripada berbeza pendirian, tidak sama aliran atau sekadar iri hati.
Tambahan pula dengan landskap politik negara yang sudah banyak berubah serta asakan media baru yang seakan-akan tidak terikat dengan batas moral dan lunas-lunas perundangan, kesalahan dan kekurangan terlalu mudah untuk dicari.
Itu sentiasa menjadi risiko bagi mana-mana ketua pengarang akhbar arus perdana, yang kuasa dikatakan dimilikinya, tidak seperti dibayangkan sesetengah orang. Di sebalik kuasa yang ada padanya, di atasnya ada kuasa lebih besar. Di atas kuasa lebih besar itu pula, ada kuasa maha besar.
Paling sukar ialah untuk mendapatkan keseimbangan di antara kehendak pemilik akhbar dan golongan sasar pembaca. Ia umpama selimut pendek yang jika dada ditutupi, kaki akan terdedah. Begitu jugalah sebaliknya.
Tidak akan pernah ada cukup halaman untuk memuatkan kehendak kedua-duanya dan andainya dapat dilakukan demikian sekalipun, tidak akan ada jaminan ia mampu memuaskan hati semua.
Pada hari-hari terakhir bergelar ketua pengarang, masih ramai yang mendatangi saya untuk memberi kata-kata perangsang, terutama Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya, dengan cerita penglipur laranya.
Sekonyong-konyong di sebuah negeri antah-berantah, rajanya sentiasa mendapat pelajaran daripada nujumnya mengenai hikmah di sebalik sesuatu musibah kebakaran besar akan membolehkan rumah dan kemudahan baru dibina, manakala banjir besar yang melanda negeri pula akan menyuburkan tanah untuk rakyat menikmati hasil bercucuk-tanam.
Diceritakannya raja itu yang pada suatu hari mahu keluar memburu bersama sekumpulan hulubalang, terpotong ibu jari tangan kirinya ketika asyik memotong sebiji buah mangga.
Murka apabila dimaklumkan kejadian malang itu juga mempunyai hikmah, raja memerintahkan nujum berkenaan dipenjarakan sambil rombongan diraja itu meneruskan pemburuan.
Hendak dijadikan cerita apabila sampai di tengah belantara, raja itu ditangkap sekumpulan manusia purba yang memakan orang tetapi dirinya terselamat dan dilepaskan setelah didapati kecacatan pada ibu jarinya yang kudung.
"Benarlah ada hikmah seperti dikatakan nujum," kata raja, yang bagaimanapun tidak berpuas hati apakah hikmah buat nujum itu dipenjarakan. "Hikmahnya ialah patik terhindar daripada dimakan manusia purba jika ikut berburu," kata nujum itu.
Kepada semua pembaca, maaf jua dimohon.
(Renungan Rimau : Semua yang berlaku ada hikmahnya waima satu kehidupan. Saya pernah bertanya kepada seorang pakcik di kampung mengapa semut yang begitu kecil peranannya sehinggakan ada yang berbisa dan menyakitkan, wujud di muka bumi ini. (soalan bodoh gamaknya) Secara selambanya, pakcik itu memberitahu saya, jika semut tiada, tabiat manusia yang suka mengeluarkan cebisan makanan yang terselit di gigi, akan membentuk menjadi gunung. Semutlah yang mengalihkannya atau membawa masuk ke sarang mereka. Betul juga.)
Sunday, May 31, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
6 comments:
Saya tersentuh dengan catatan ex boss saya ni. Ia harus menjadi renungan buat kita.
Kisah seekor lagi al juburi di http://jamilismail.blogspot.com dan di http://jamilkucingpondan.blogspot.com
DIY,
Peringatan yang baik kepada orang yg sihat & waras berfikir.
Begitulah kekuasaan ALLAH...
fikir-fikirlah
Memetik satu potongan frasa ini dari catatan Datuk Sham (Hishamudin)."Di sebalik kuasa yang ada padanya, di atasnya ada kuasa lebih besar. Di atas kuasa lebih besar itu pula, ada kuasa maha besar." Ia membuatkan saya terfikirkan, siapa diri ini. Kalaulah kita berkuasa sekalipun pada hari ini, kuasa itu belum tentu kekal pada esok, lusa atau hari-hari berikutnya. Bila-bila masa kuasa itu boleh dilucutkan oleh kuasa yang maha besar.
Dear Datuk Hishamudin, Alhamdulilah. Syukur ke hadrat ALLAH swt, Datuk sudah diberi hidayah untuk mengenali kebesaran ALLAH dan mengerti betapa kecilnya dunia pinjaman ALLAH. Memang betul pusingan hidup, sekejap kita di atas dan sekejap kita di bawah dan setiap musibah yang menimpa kalau di perhalusi memang banyak hikmah yang dapat di kecapi. Semuga kita sentiasa di pelihara ALLAH dan mendapat keredhaanNYA untuk hidup bahagia di dunia dan akhirat. Wasalam.
Datuk;
saya antara kawan lama yang tidak memusuhi datuk, cuma saya terasa rindu untuk sekai sekal dapat minum bersama....
Post a Comment