Sunday, February 28, 2010

JANGAN MAIN BELAKANG

Satu laporan mengenai usaha besar-besaran menangani gejala homoseksual di Uganda dalam The Times (United Kingdom) keluaran 20 Februari lalu, menarik perhatian Awang.

Gelombang menentang aktiviti homoseksual terutama gay makin ketara dengan pelbagai langkah yang diambil. Terbaru, pihak berkuasa negara itu telah merangka rang undang-undang anti-homoseksual yang mencetuskan kontroversi.

Antara lain rang undang-undang itu mencadangkan perlakuan seks sejenis melibatkan pasangan bawah 18 tahun dan kurang upaya, yang jika dijangkiti HIV/Aids, akan dijatuhi hukuman mati.

Bagi pasangan gay dewasa yang melakukan hubungan sejenis biarpun atas kerelaan masing-masing, akan dipenjarakan seumur hidup. Malah hukuman penjara juga akan dikenakan ke atas mana-mana individu dan pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang mempromosi homoseksual selain gagal melaporkan gejala itu kepada pihak berkuasa.

Isu tersebut menjadi perdebatan hangat di Uganda, lebih-lebih lagi setelah mendapat bantahan luar antaranya daripada kerajaan Amerika Syarikat dan pertubuhan-pertubuhan pro gay dunia yang semakin berpengaruh. Dengan tekanan antarabangsa itu, status sama ada cadangan hukuman mati akan dilaksanakan atau digugurkan, masih samar. Pun begitu, majoriti penduduk Uganda menyokong agar langkah drastik diambil memandangkan gejala homoseksual membimbangkan.

Demonstrasi jalanan yang digerakkan oleh pihak gereja mendapat sambutan hebat masyarakat, yang dilihat sebagai suatu kebangkitan menentang golongan tersebut. Mereka memakai lencana tertulis "Ugandans against sodomy." Dalam komennya, Pengerusi Pasukan Petugas Anti Homoseksual, Martin Ssempa menyatakan bahawa peradaban Barat telah diancam oleh gejala homoseksual. Bukan sahaja di Uganda, gelombang sentimen anti-gay boleh dirasakan di banyak negara Afrika. Rakyat benua itu mulai bangkit. - AWANG SELAMAT, Utusan.

(Renungan Rimau : Saya tinggal di asrama selama tujuh tahun. Oleh itu, pihak yang masih tidak percaya ada individu yang suka main belakang, cuma renungkan perkara ini. Di asrama lelaki, saya sendiri pernah melihat dua pelajar lelaki tidur berbogel di bawah satu selimut. Apabila saya tegur, mereka berkata tidak salah berbuat demikian kerana hanya suka-suka saja dan berpegang-pegangan. Pegangan hidup. Lepas itu, sudah tentulah saudara sekelian boleh memikirkan apa yang berlaku. Minta dijauhkan pada masa ini dan penjaga asrama perlu memastikan ia tidak berlaku dan terus menular.)

Thursday, February 25, 2010

HARI KRAFTANGAN KEBANGSAAN

Jika anda ingin membeli barangan kraftangan, songket atau tembikar bermutu, silalah pergi ke Pusat Kraftangan di Jalan Raja Chulan sekarang.

Pagi tadi, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor merasmikan HKK 2010 yang menyediakan ruang orang ramai melawat pameran pelbagai barangan dan membelinya pada harga yang berpatutan.

Datanglah beramai-ramai untuk memajukan industri kraftangan tempatan.

Wednesday, February 24, 2010

PERPADUAN TUNJANG KEAMANAN NEGARA

SEORANG penulis, Lim Ming Fah menerusi sebuah artikel yang tersiar di akhbar Sin Chew Jit Poh pada 16 Februari lalu berkongsi pengalaman mengenai perpaduan yang membuatkannya terharu. Dua kejadian yang berlaku sewaktu sambutan Tahun Baru Cina itu juga membuatkan beliau berpendapat seperti ada nyawa baru kepada perpaduan di kalangan rakyat.

Pengalaman pertama beliau berlaku di sebuah bengkel kereta. Sewaktu sedang menunggu keretanya dibaiki oleh seorang mekanik Melayu, tiba-tiba seorang penunggang motosikal berbangsa Cina tiba dan menyerahkan kunci motor serta wang sebanyak RM20 kepada mekanik Melayu itu.

Tetapi mekanik Melayu itu hanya mengambil kunci motosikal sahaja dan menolak wang tersebut. Hairan dengan keadaan itu, penulis ini bertanyakan apa sebenarnya yang berlaku.

Mekanik Melayu itu menjawab, pemuda Cina tersebut memulangkan motosikal yang dipinjamkannya selepas motosikal pemuda Cina itu yang digunakan untuk berulang-alik dari tempat kerja di Singapura rosak.

Tetapi mekanik Melayu itu tidak mahu menerima wang saguhati yang diberikan oleh pemuda Cina itu. Penulis ini bertanyakan lagi sama ada mekanik Melayu itu mengenali pemuda Cina tersebut. Tetapi alangkah terkejutnya penulis ini apabila pemuda Melayu itu menjawab dia sebenarnya tidak mengenali pemuda Cina tersebut.

Penulis ini kemudian berkata, ''Tidak kenal? Berani awak meminjamkan motor kepadanya?" Pemuda itu kemudian berkata, ''Tidak mengapa. Dia dalam kesusahan, jadi saya kena tolonglah."

Peristiwa kedua pula kata penulis ini, adalah kunjungan dua orang jiran Melayu ke rumah kakak iparnya sewaktu sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini. Menurut kakak iparnya, jiran Melayu yang baru berpindah itu menziarahi dengan hati yang terbuka, menyebabkan mereka sekeluarga sangat gembira menerima kehadiran jiran Melayu itu.

Daripada peristiwa itu kata penulis ini, perpaduan rakyat adalah satu talian yang seharusnya berpanjangan seperti air. Apa yang ditunjukkan oleh dua orang jiran Melayu yang dengan terbuka mengunjungi rumah jiran Cina mereka, adalah sikap yang lebih baik daripada ahli politik yang membuat kunjungan palsu.

''Kedua-dua perkara ini adalah contoh teladan yang baik. Ia berbeza dengan cara ahli-ahli politik yang sering mempermainkan isu-isu perkauman yang dahsyat, lantang dan bermuka-muka. Jiwa orang Melayu dalam peristiwa ini sangat mulia dan mesra, seperti tiupan angin nyaman yang meresap ke jiwa yang membuatkan kita terharu dan gembira," katanya.

Sementara itu, akhbar Nanyang Siang Pao bertarikh 19 Februari pula menyiarkan sebuah artikel situasi sebenar di Malaysia dari sudut pandang terhadap analisis Pertubuhan Badan Analisis Risiko Ekonomi Hong Kong (PERC). Badan itu pada awal tahun ini menyifatkan Malaysia berada dalam keadaan politik yang tidak stabil.

Pandangan itu disanggah oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menganggap ia tidak berasas, cukup mengarut dan satu penipuan. Muhyiddin juga menyifatkan badan itu tidak memahami keadaan dan perjalanan politik di negara ini.

Tambah beliau, PERC tidak seharusnya membuat penilaian berdasarkan laporan semata-mata sebaliknya turun sendiri ke Malaysia untuk melihat situasi sebenar. Penulis artikel ini yang menggunakan nama Chow Jia Hui melontarkan pertanyaan daripada pandangan Muhyiddin itu.

Katanya, adakah minda rakyat benar-benar gembira hidup di negara ini? Apakah sebenarnya yang menggembirakan kita ketika ini?

Daripada pertanyaan itu penulis ini merujuk kepada penghijrahan seramai 300,000 orang rakyat Malaysia ke luar negara antara Mac 2008 sehingga Ogos 2009 seperti yang dikeluarkan oleh Wisma Putra.

Mereka yang berhijrah ini mahu mendapatkan pelajaran yang lebih tinggi, pekerjaan lebih baik dan mencari peluang perniagaan yang bagus. Penulis ini juga merujuk kepada seminar bertajuk "Berkhidmat Di Luar Negara" yang dianjurkan oleh Persatuan Jurutera-Jurutera Malaysia yang diadakan di Seremban, baru-baru ini.

Seminar itu katanya menggambarkan pembangunan masa hadapan negara yang agak lembap. Jika kumpulan profesional ini beranggapan mereka sudah tidak lagi boleh bertahan tinggal di Malaysia dan terpaksa berhijrah, apa yang perlu diperkatakan lagi?

Adakah sebuah ekonomi yang terhenti dan bergerak sifar, memberi kegembiraan kepada rakyat? Laporan PERC turut menyebut pelbagai perkara buruk seperti kehilangan enjin pesawat dan keadilan dalam penghakiman.

"Cuba bertanya kepada orang-orang di sekeliling kita, keluarga mana yang tidak pernah dirompak atau berlaku kecurian? Apabila mereka selalu berdepan dengan penjenayah, apakah tahap keamanan yang disifatkan? Adakah rakyat berasa gembira?

''Diharap Timbalan Perdana Menteri dapat meluangkan masa turun padang melihat kehidupan rakyat jelata. Beri penjelasan kepada rakyat, apa yang mereka tidak tahu dan buktikan apa yang dikatakan supaya rakyat Malaysia hidup dalam kegembiraan?" katanya. - UTUSAN MALAYSIA.

JAMU SEKS DAN MAKANAN

Sebuah medan selera yang dipercayai menjadi sarang pelacur diserbu Polis di Kuala Lumpur tengah malam tadi.

Bukan sahaja sebagai tempat menjamu selera tetapi turut menyediakan khidmat seks pelacur warga asing.

Seramai 13 wanita warga China yang dipercayai pekerja seks ditahan.

Serbuan dibuat sepasukan pegawai dan anggota Bahagian anti-maksiat, perjudian dan kongsi gelap (D7) diketuai DSP Razali Abu Samah.

Menyedari kehadiran polis, wanita warga China yang berada di sekeliling medan selera berkenaan bertempiaran melarikan diri.

Bagaimanapun, kecekapan anggota D7 berjaya menghalang mereka daripada melarikan diri.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiga wanita yang ditahan tiada dokumen perjalanan.

Semua yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun dan disiasat mengikut
Akta Imigresen kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Ikuti Berita Nasional jam 1 petang.

(Renungan Rimau : Tahniah pasukan polis. Banyaklah buat serbuan seperti ini kerana kegiatan 'jual barang' sudah pasti tidak sihat dan menyebabkan rakyat Malaysia ketagih kepada seks. Sudahlah ramai yang kuat makan, kini selera berpusing kepada perkara lain.)

Monday, February 22, 2010

SIAR LAGU ALBUM TEMPATAN

Setelah sekian lama dibelenggu lambakan lagu asing, kini nasib penyanyi tempatan bakal terbela.

Mulai 1 Mac ini, semua stesen radio wajib menyiarkan lagu baru dari album penyanyi tempatan untuk mempromosikan muzik Malaysia, sekaligus mengembalikan kegemilangan industri muzik negara ini.

Perkara itu akan menjadi syarat wajib kepada semua stesen radio untuk memperbaharui lesen mengikut Seksyen 33 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pengumuman itu dibuat Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim pada sidang media selepas menyampaikan Sijil Program Akreditasi Tempatan dalam Bidang Seni Persembahan (PAAT) di Kuala Lumpur.

Akibat pengabaian kepada muzik tempatan, pulangan industri itu jatuh merudum.

Pendapatan pada tahun 2008 tidak mencapai 70 juta ringgit, jika dibandingkan perolehan 201 juta ringgit pada tahun 2000.

Perlaksanaan mekanisme itu akan dipantau jabatan Muzik yang akan diwujudkan oleh kementerian tidak lama lagi, Persatuan Karyawan dan Majlis Muzik Malaysia.

Apabila muzik tempatan diberi keutamaan budaya masyarakat malaysia akan dapat diterapkan disamping merealisasikan konsep Satu Malaysia.

Friday, February 19, 2010

HADI AWANG SELAR MP AUSTRALIA

KUALA TERENGGANU 19 Feb. – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyelar tindakan beberapa anggota Parlimen Australia untuk campur tangan dalam kes liwat melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau mahu perkara itu diselesaikan mengikut sistem kehakiman negara ini tanpa dipengaruhi oleh mana-mana anasir luar.

"Dari segi campur tangan asing, saya sebagai rakyat Malaysia, saya mahu negara kita menjadi sebuah negara yang berdaulat dan tidak perlulah kepada campur tangan asing apatah lagi dari negara-negara Barat, negara bukan Islam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan himpunan pemuda Islam Kuala Terengganu di Kuala Ibai dekat sini.

Baru-baru ini, 50 penggubal undang-undang Australia itu telah meminta Malaysia menggugurkan pertuduhan yang melibatkan Anwar itu.

Tindakan mereka ini dikecam hebat oleh pelbagai pihak di negara ini kerana dilihat cuba mencampuri urusan dalaman Malaysia.

Abdul Hadi bagaimanapun berkata, Pas tidak bercadang untuk mengemukakan sebarang bantahan berhubung campur tangan anggota Parlimen Australia itu. – Bernama.

(Renungan Rimau : Manusia beriman akan mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara. Mereka pun faham bahawa ini bukan masalah kerajaan tetapi masalah individu dengan individu. Bukan juga masalah individu dengan parti. Jika tidak parti akan didakwa di mahkamah. Ni tidak, individu yang didakwa. Itu je. Jadi kita kena faham dan tidak terikut-ikut dengan gelagat orang lain. Satu soalan lagi, jika MP Australia membenarkan lelaki 'buat kerja' dengan lelaki, itu dia punya pasallah tetapi tanya MP negara itu jika seorang lelaki tidak membenarkan seorang lelaki lain 'buat kerja' terhadapnya, itu sebenarnya salah juga. Begitu juga kita hendak membuat kerja terhadap wanita yang tidak membenarkannya. Tentu juga tidak betul. Fikir-fikirkanlah. )

ANGKAT KAKI LANGKAH TERBAIK ZAHRAIN

"Perjuangan saya dikhianati pimpinan politik propaganda murahan."

Itulah pandangan Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim. Beliau yang 'masak benar' perjuangan pakatan pembangkang mengambil pendirian, angkat kaki lebih baik daripada menjadi sebahagian api dalam sekam".

Beliau juga hilang kepercayaan kepada kepimpinan PKR kerana pengecut menyatakan kebenaran. Oleh itu, parti itu harus ditinggalkan selain kucar kacir dalam prinsip dan perjuangan.

Dalam pada itu, walaupun konflik negeri itu berpunca daripada sikap Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang mengamalkan politik cauvinis, PKR juga dirundung pelbagai masalah.

Baginya, usaha mempertahankan pembohongan DAP oleh pemimpin tertinggi PR dan angan-angan menubuhkan kerajaan baru 16 September tahun lalu sudah cukup membuka mata tentang politik sempit PKR.

Bagi DS Zahrain, desakan meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru oleh pakatan pembangkang juga bukti cakap tak serupa bikin.

Datuk Seri Anwar individu bertanggung jawab mempromosikan lompat parti dan tindakan hampir serupa dihadapi mursyidul am PAS Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat pada era 70-an.

Tidak mahu menjadi segerombolan yang dihukum sejarah dan generasi akan datang kerana hipokrit mencegah kemungkaran ; Datuk Seri Zahrain mahu tindakan beliau membuka mata yang lain.

Bagi mengetahui lebih lanjut, pastikan anda bersama ISU bertajuk APA DAH JADI di TV1 jam 10 malam ini.

Thursday, February 18, 2010

TAHUN HARIMAU DI PANDAMARAN

Sambutan Tahun Baharu Cina tidak mengenal parti politik. Ia disambut oleh masyarakat Tionghua dan rakyat negara ini dengan perasaan muhibbah dan saling hormat menghormati.

Oleh itu, jika ada usaha dari mana-mana pihak yang ingin menggagalkannya, ia perlu dilihat sebagai golongan yang tidak suka muhibbah dan perpaduan. Ini juga menggambarkan 'wajah' sebenar mereka yang suka bermain politik.

Bagi saya, sambutan perayaan rakyat negara ini perlu disambut dengan perasaan ikhlas dan rasa syukur dengan nikmat yang diperolehi di negara ini. Tidak payah lihat ke seluruh dunia, kita boleh merasai bahawa negara ini sentiasa aman dan sentosa. Melainkan ada pihak yang mendoakan sebaliknya.

Oleh itu, bagi menunjukkan bahawa kita sentiasa mendokong perpaduan dan keamanan, keluarlah beramai-ramai untuk merayakan Tahun Baharu Cina peringkat nasional di Pandamaran, Klang pada 20 Februari ini.

Ia bermula jam 6.30 petang yang menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sendiri melakukan tinjauan mesra atau turun padang bertemu rakyat jelata. Ini adalah peluang terbaik kita menemui pemimpin yang dihormati.

Bagi mereka yang ingin merosakkan perayaan ini, marilah kita bersama-sama memastikan golongan ini tidak diberi tempat dalam pilihanraya yang akan datang. Mereka hanya tahu bermain politik dan mengetepikan kepentingan kaum di negara ini.

Selamat menyambut Tahun Baharu Cina peringkat nasional pada Sabtu ini.

Berani dan bertenaga bersama harimau.

Wednesday, February 17, 2010

MENGAPA DS ZAHRAIN KELUAR PKR?

Saya hendak menduga pembaca DuniaTiger yang budiman hari ini. Mengapa Datuk Seri Zahrain Hashim meletakkan semua jawatan dalam PKR?
1) Tidak suka anak Lim Kit Siang.
2) Tidak suka DSAI.
3) Tidak suka DAP.
4) Tidak percaya lagi dengan PKR.
5) Bosan dengan sikap pemimpin DAP.
6) Bosan dengan sikap pemimpin PKR.
7) Tidak sebulu dengan anak LKS.
8) Tidak suka orang main belakang terhadapnya.
9) Tidak mahu dipersoalkan oleh generasi akan datang terhadap kemungkaran parti.
10) Tidak mahu menggadaikan maruah bangsa dan negara.
11) Perkara lain, yang tidak pernah terfikir oleh kita.

Terima kasih.

Tuesday, February 16, 2010

ZULKIFLI NORDIN SEBUT FIRAUN KECIL

Zulkifli Nordin sebut ada firaun kecil dalam PKR. Mereka sedang merancang sesuatu untuk menjatuhkan pemimpin tertentu dalam parti itu. Malah beliau dalam sidang akhbar petang ini menyatakan komplot ini semakin berani untuk berbuat sesuatu.

Apakah firaun kecil yang disebut oleh ZN itu adalah orang yang rapat dengan DSAI yang selama ini merancang untuk menjatuhkan pemimpin tertentu? Oleh itu, siapa dia firaun kecil yang dimaksudkan oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu ini?

Dalam pada itu, jika ada firaun kecil, siapa pula firaun besar dalam PKR. Apakah firaun kecil ini bertuankan firaun besar? Adakah firaun kecil ini mengikut telunjuk pemimpin dari luar yang mahu merobek PKR? Cerita la lagi.

Apapun PKR kini sedang menghadapi satu kemelut yang mungkin akan menjadi parti itu hilang begitu saja. Walaupun, pemimpin tertingginya menyifatkan pemergian beberapa pemimpin termasuk Datuk Seri Zahrain Hashim tidak memberi kesan kepada PKR tetapi hakikatnya orang ramai sudah mula membuka mata dan minda.

Bagi mereka, jika penyokong kuat sudah mula keluar bermula dengan Ezam Mohd Nor dan kini orang kuat di Pulau Pinang, DS Zahrain pula yang tidak mempercayai kepemimpinan PKR, maka tidak hairan parti itu akan berkubur dan yang tinggal hanyalah DSAI anak beranak. Atau pun anak, bini dan kenkawan.

Namun, kenyataan DS Zahrain yang terakhir iaitu beliau tidak mahu generasi akan datang menghukumnya kerana tidak mempertahankan agama, bangsa dan tanahair perlulah dijadikan iktibar oleh pemimpin politik di negara ini.

Berpolitik, berpolitik juga tetapi isu alif ba ta jangan dilupakan. Yang paling menyedihkan ialah ada pihak yang sanggup bersekongkol dengan pihak tertentu untuk mendapatkan jawatan tertinggi.

Mereka mencari dana dari seluruh dunia untuk memastikan mereka menang terutama pada Pilihanraya Umum akan datang. Cari duit merata tempat sehingga duit orang dah mati pun kini diusahakan. Jangan pilih parti yang mahu menghancurkan negara ini.

Mulai sekarang, pegawai Bank Negara perlu bergerak cergas termasuk memantau money changer yang mungkin dijadikan medium penghantaran wang dari luar. Jangan biarkan wang luar meleburkan negara ini. Minta dijauhkan.

Saturday, February 13, 2010

SELAMAT TAHUN BAHARU CINA

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua rakan-rakan dan masyarakat Cina di seluruh negara.

Semoga tahun ini akan meningkatkan lagi kemakmuran kepada negara kita. Bersama-samalah kita berdoa kepada tuhan agar tiada huru-hara di negara ini terutama yang ingin dilakukan oleh golongan yang mahu melihat negara kita hancur lebur.

Inilah negara kita. Inilah tanah tumpah kita. Hormatilah Perlembagaan.

Friday, February 12, 2010

ZAHRAIN KELUAR PKR SERTA-MERTA

PETALING JAYA 12 Feb. – Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim hari ini meletakkan semua jawatannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mengumumkan untuk keluar parti itu serta-merta.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana beliau kecewa dengan pemerintahan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta tidak lagi percaya dengan perjuangan pakatan pembangkang. - Utusan.

(Renungan Rimau : ????????????? Yang lain. Bila?)

GEDEBE ITM TAHUN 1980AN

Malam tadi saya, Rocky, Azam dan Tengku dijemput makan malam oleh rakan-rakan daripada Sime Darby - Leela, Othman dan Ayaz. Makanan masakan Cina amat sedap sekali di SDCC. Restoran itu dikatakan menyediakan makanan masakan Cina halal yang terbaik di ibukota. Jangan lupa mencubanya.

Ketika bersembang, pelbagai cerita lama yang keluar. Antara yang menarik ialah apabila peristiwa DIY marah sangat dengan pengadil bola di padang UITM (ketika itu ITM). DIY masuk padang mengejar pengadil yang dikatakan 'berat sebelah' yang menyebabkan pasukan MassComm hampir kalah. DIY sudah lupa tetapi apabila Rocky menceritakan semula, semua kenangan timbul semula. Amat menarik.

Ketika itu perlawanan bolasepak antara pasukan MassComm dan Engine. Bilangan siswa MassComm ditenggelami oleh siswa Engine yang datang begitu ramai. Mereka ingin menunjukkan mereka adalah yang kumpulan yang terhebat ketika itu. Ada yang datang dengan motor besar dan berarak seperti 'gangster Kampung Pinang'. Itulah karenah 'budak Engine' yang selalu meracau mencari makwe atau 'siswa cun' daripada fakulti lain termasuk MassComm.

Bagaimanapun cara Rocky bercerita seolah-olah DIY adalah 'gedebe' yang digeruni oleh siswa-siswa ITM ketika itu. Betul ke siswa Engine takut dengan DIY? Mungkin pada nama kot? Tak tahulah kerana DIY juga ramai kawan-kawan dengan 'budak engine' ketika itu seperti Zabid, Pokya, Ihsan dan ramai lagi yang menganggotai ROTU. Apabila ada orang yang kacau ketika itu, mereka akan memanggil DIY. Nasib selalu baik kerana apabila DIY datang, semuanya sudah selesai atau pasukan 'musuh' sudah lari.

Selain itu, kami juga berbual mengenai insiden seorang junior yang 'buat lawak' seolah-olah mahu terjun daripada tingkat 13. Kami yang sudah pucat pada masa itu tidak menganggap tindakan itu sebagai lawak dan beliau diberikan 'amaran' keras. Tetapi junior itu kini sudah menjadi seorang usahawan. Satu kenangan lalu.

Apapun itulah kenangan manis ketika belajar di institusi yang banyak berjasa kepada bangsa Melayu dan Bumiputera.

Thursday, February 11, 2010

TITIK SENTUHAN PERDANA MENTERI

KEMUNCULAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (berbaju batik) yang mengadakan lawatan mengejut di Jalan Petaling, Kuala Lumpur sempena sambutan Tahun Baru Cina disambut ribuan warga kota yang berada di sekitar jalan tersebut, 11 Februari. - Utusan

(Renungan Rimau : Dengan turun ke bawah, PM akan dapat menyaksikan sendiri 'apa yang berlaku' di kawasan yang dilawati. Bukan hanya mendengar daripada pegawai yang mungkin ada yang berkata, 'semuanya ok tok'. Rakyat juga dapat berinteraksi dengan PM terutama ketika beliau singgah di gerai atau tempat makan kawasan yang dilawati).

1MALAYSIA SATU PERPADUAN

Satu Malaysia Satu Perpaduan.

Itulah hasrat lebih 1,200 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyyah di Alor Setar, Kedah yang menyertai pertandingan menulis surat kepada Perdana Menteri.

Selain memberi peluang untuk pelajar mengutarakan pelbagai cadangan serta memupuk semangat perpaduan; pertandingan itu juga diharap menjadi landasan untuk Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar suara rakyat.

Di samping menyampaikan hasrat kepada Perdana Menteri, Pengetua sekolah itu, Rahinun Mohd Noor berpendapat, pertandingan itu menjadi ruang untuk pelajar mengasah bakat dalam bidang penulisan.

Sebanyak 1,200 keping surat diserah kepada Pengurus Negeri Pos Malaysia Kedah/Perlis, Jaafar Abdul Rahman bagi menyertai pertandingan Menulis Surat kepada Perdana Menteri.

Pertandingan ini anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bersama Pos Malaysia Berhad, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, SKMM dan RTM serta Kementerian Pelajaran.

Pertandingan bermula 29 Disember lalu akan berakhir 19 Februari ini.

Wednesday, February 10, 2010

PKR TUNDUK KEPADA DAP

KUALA LUMPUR 9 Feb. – Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menegaskan, DAP tidak diperlukan dalam pakatan kerana parti itu menjadi punca utama kepada semua masalah dalaman yang melanda pembangkang sekarang.

Katanya, kes pusat penyembelihan babi di Kedah dan peletakan jawatan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Fairus Khairuddin sebahagian contoh tindak-tanduk DAP sebagai “duri dalam daging” bagi pakatan.

“DAP tidak diperlukan, malah ‘duri dalam daging’ kepada pakatan selain menjadi punca kepada masalah-masalah yang berlaku dalam pembangkang.

“Di Kedah, DAP mengugut kerajaan apabila pusat membela babi dirobohkan pihak berkuasa, manakala Fairus Khairuddin pula ditekan sehingga berhenti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pada program Soal Jawab disiarkan secara langsung menerusi TV3 malam tadi.

Jelas Zulkifli, pakatan pembangkang perlu berani mengambil risiko termasuk kemungkinan hilang kuasa di negeri yang mereka tadbir sekarang bagi menyingkirkan DAP demi kepentingan rakyat dan negara.

Mengulas lanjut mengenai peranan sulit DAP, beliau memberitahu, banyak aduan telah dibuat sejak pakatan pembangkang ditubuhkan termasuk tindak-tanduk parti tersebut, tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

“Bukan tak guna saluran dalaman, sudah disuarakan dalam mesyuarat dan sebagainya, tetapi tiada tindakan diambil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meramalkan akan ada anggota parti itu yang bertindak keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) beramai-ramai dalam masa dua hingga tiga minggu ini kerana kecewa dengan pendirian pucuk pimpinan parti yang tunduk kepada DAP.

Mengulas kerjasama dengan UMNO, Zulkifli berkata, Pas dan PKR seharusnya mengambil peluang mengadakan perbincangan Islamiah dengan UMNO dan membuang perasaan buruk sangka atau prejudis.

“Siapa yang memartabatkan perjuangan Islam adalah sahabat kita, tidak kiralah PKR, Pas atau UMNO,” tegasnya. - UTUSAN.

(Renungan Rimau : Tidak sukar untuk memahami kenyataan itu. Noktah.)

Tuesday, February 9, 2010

DR ZAMBRY KADIR - MB YANG SAH

SEBAHAGIAN daripada ADUN dan Exco Perak mengaminkan doa selepas Mahkamah Persekutuan mengesahkan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah di Istana Kehakiman, Putrajaya, 9 Februari. - Utusan

APA YANG BERLAKU, ADA HIKMAHNYA.

Saya selalu menyebutnya, sama ada dalam perbualan biasa atau ceramah. Apa yang berlaku pada diri kita mempunyai hikmahnya tersendiri. Oleh itu, kita jangan cepat marah, melatah atau melenting apabila menghadapi sesuatu situasi atau dugaan.

Umpamanya, jika kita tertinggal untuk menaiki bas, janganlah kita marah-marah atau maki-hamun kepada pemandu bas. Begitu juga jika tertinggal kapalterbang. Jangan gusar atau resah. Kelambatan kita menyebabkan kita tertinggal walaupun seminit. Carilah penerbangan seterusnya atau kaedah pengangkutan lain.

Oleh kerana tertinggal, berkemungkinan kita terselamat daripada kejadian tertentu. Tanyalah kepada mereka yang pernah mengalami peristiwa seperti ini yang dibibir mereka sentiasa menyebut perkataan syukur dan alhamdulillah.. "Syukur aku tidak naik kapalterbang itu." Mungkin boleh tanya kepada Datuk Khalid Yunus.

Hari ini, DIY tidak dapat pergi ke suatu tempat. Ada halangan tertentu daripada pihak tertentu - yang tidak tahu apakah motif tindakan mereka. Tidak mengapa kerana Allah SWT lebih mengetahuinya. Bagi DIY, segala yang berlaku mempunyai hikmahnya dan akan sentiasa bersyukur dan tenang. Cuma, kesian kepada anak-anak terkilan dan kecewa. Hampa.

Apapun, DIY berharap perjalanan DRH sentiasa selamat dan berjaya menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya. Mungkin lain kali kita akan bersama-sama dengan AJ, NCC dan NI, satu keluarga penuh keserasian. Selamat pergi dan selamat pulang.

Doa DIY sentiasa mengiringimu.

Monday, February 8, 2010

IMPIAN 1MALAYSIA RAKYAT

Mulai sekarang anda boleh menghantar impian 1Malaysia menggunakan poskad khas yang boleh dibeli semua pejabat pos di seluruh negara. Harga poskad ialah 50 sen.

Sebanyak 13 impian yang terpilih akan direalisasikan menerusi program televisyen RTM yang dijangka bermula pada April nanti.

Dalam program kerjasama antara RTM dan Pos Malaysia Bhd, rakyat Malaysia boleh menyatakan apakah cadangan yang boleh diterjemahkan bagi menjayakan Gagasan 1Malaysia. Yang penting, cadangan itu boleh dijadikan program televisyen.

Dalam ertikata lain, ia boleh dilaksanakan.

Ayuh...anda mempunyai sebulan sehingga 4 Mac 2010 untuk menghantar idea bernas bagi memboleh RTM menjadikan impian anda itu sebagai satu program televisyen.

Selamat menghantar impian. Menerusi poskad.

Sunday, February 7, 2010

ALWI AHMAD MENINGGALKAN KITA

Tokoh sukan berbasikal Alwi Ahmad kembali ke rahmatullah jam 7.21 malam tadi.

Antara jasa terbesarnya ialah melatih anak beliau, Rosman menjadi juara pecut Asia selain melatih pelumba basikal negara.

Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

Al-fatihah.

KUIZ DUNIATIGER (1)

Jika anda diminta mengemukakan teka-teki atau apa saja soalan kepada rakan-rakan.

Di bawah ini, soalan yang boleh diutarakan.

Soalan : Mengapa siput babi bergerak perlahan?

Jawapan : Ia lambat kerana asyik berfikir sama ada ia siput atau babi. Identity crisis.

Selamat mencuba.

PENDIDIKAN TERAS KEMAJUAN

Usaha kerajaan untuk melaksanakan Sekolah Berprestasi Tinggi amat dialu-alukan. Sekolah itu dikendalikan secara profesional dan mengikut acuan mereka sendiri. Mereka juga boleh 'hire and fire' tenaga pengajar. Bagusla tu.

Dalam pada itu, sekolah juga perlu memastikan tenaga pengajarnya sentiasa mencukupi terutama matapelajaran penting. Sebagai contoh baru-baru ini ada sebuah sekolah yang tidak mempunyai guru bahasa Malaysia selama sebulan. Sebulan? Apa dah jadi?

Ibu bapa yang prihatin kemudiannya membuat teguran mengenai perkara itu. Namun, kesian ibu bapa itu ditegur oleh pengurusan tertinggi kerana 'berani buat teguran'. Mestilah berani demi pelajaran anak-anak. Bagi pengurusan sekolah pula, guru tidak hadir selama sebulan itu bukan di kawalan mereka terutama jika guru itu sakit. Tugas Jabatan Pendidikan?

Yelah, sakit satu hal, yang paling penting carilah pengganti untuk memastikan murid-murid tidak ketinggalan pelajaran. Kalau tidak, murid-murid cuti sebulan. Rugi mereka. Kementerian, pengurusan sekolah dan PIBG perlu duduk berbincang.

Dalam pada itu gurubesar takyah marah-marah demi kebaikan 'anak kita'. Banyak sabar dan mendengar.

Saturday, February 6, 2010

PERKHIDMATAN TAMBAH ISTERI

Baru-baru ini saya mengenali seorang pemuda yang memberikan perkhidmatan istimewa kepada lelaki yang 'takut bini' atau 'bini kurang takut'. Nampak macho tetapi takut dengan bini seperti yang dilalui oleh sesetengah orang.

Takut bini kali ini bukan bermaksud sentiasa tunduk atau mengikut semua arahan isteri tetapi takut untuk memberitahu isteri hasrat berkahwin satu lagi. Inilah masalah paling besar kepada lelaki yang mempunyai hajat besar tetapi tidak mahu berterus-terang. Takut pinggan mangkuk melayang-layang.

Akibatnya, sama ada lelaki itu mengambil pendekatan 'menyorok-nyorok' dalam hubungannya atau 'kahwin senyap' yang akan menimbulkan masalah pada masa akan datang. Paling teruk jika 'buat kerja' haram yang pasti ditimpa balasan kelak.

Lelaki ini mempunyai hubungan rapat dengan beberapa pihak yang membolehkan beliau menyediakan perkhidmatan istimewa itu. Malah, beliau mempunyai blognya tersendiri yang adakalanya mengundang pegawai agama menyoalsiasat perkhidmatan yang diberikan.

Namun, beliau sentiasa 'lepas' kerana apa yang ditawarkan itu 'halal'. Malah mereka yang menggunakan perkhidmatan beliau tidak akan dihadapkan ke mahkamah atau didenda. Pergggghh...Peluang baik kepada yang berhajat. Di sini, satu cukup, tiada hajat.

Namun, satu nasihat kepada lelaki yang berhajat besar ialah kalau ada hati untuk menambah cawangan, mereka perlu berani untuk menyatakannya. Hadapi sebagai jantan. Apa yang hendak dibimbangkan kerana agama memberi kebenaran untuk berbuat demikian.

Melainkan, mereka yang berhajat itu papa kedana atau bermasalah menyara seorang isteri. Kalau seorang pun sukar disarai, jika ada cawangan maka mungkin melarat dan memeritkan. Kesian anak-anak nanti.

Berani kerana benar. Takut bini kerana salah.

Friday, February 5, 2010

MELAYU MENCARI RUANG

Melayu
mencari ruang
di tanahair sendiri
pedih hati

Melayu
mencari ruang
membina rumah setinggan
menjual nasi lemak
menjual goreng pisang
menjual burger orang lain punya
membuka kebun haram
tempat basuh kereta

Melayu
tiada ruang
seolah terbuang
negeri pembangkang
gerai diroboh
dianggap penceroboh
dulu tidak kecoh
sekarang heboh
nasib tubuh

Melayu
tidak payahlah cari ruang
papar tapak tangan
tulis dengan maruah
dakwat merah
di sini sejarah
di sini dahulu
tanah namanya
Tanah Melayu

Subang Jaya
11.26 malam
5 Februari 2010

JUALAN AKHBAR AKAN MENINGKAT?

Saya masih ingat ketika bertugas di akhbar Berita Harian, wartawan makhamah kami membuat laporan mengenai kes Ismail Kerbau. Ketika itu, jualan akhbar BH meningkat dan daripada laporan bahagian jualan ia banyak berkaitan dengan laporan kes IK.

Yang menarik, wartawan itu menulis secara terperinci mengenai tindakan IK yang sudah pasti menarik minat untuk orang membacanya. Apa yang disiarkan bukan cerita dongeng atau cerita yang dibuat-buat tetapi cerita yang "terkeluar" di makhkamah.

Akhirnya semua tahu apa yang terjadi dengan IK.

Kini, satu lagi kisah yang mungkin menarik perhatian ramai pihak terutama yang suka mengikuti cerita dalam bilik atau cerita dalam kelabu. Setakat ini, laporan terperinci yang dilaporkan dalam media "amat menarik" kerana membabitkan isu permintaan dan tolakan. Ada siapa yang terkejut?

Saya yakin jualan suratkhabar akan meningkat dengan cerita-cerita begini terutama kisah "permohonan" yang mengejutkan ramai orang. Permintaan dan ada pula penolakan kerana tidak mahu terbabit dalam kegiatan yang dilaporkan itu. Itu laporan peringkat awal dan tidak tahulah apa yang berlaku pada masa akan datang.

Apapun, marilah kita mengikuti cerita di mahkamah ini untuk membuat penilaian sendiri sama ada apa yang disebut di mahkamah itu boleh dijadikan teladan dan sempadan. Alahai.

Selamat membaca.

MELAKA CATAT SEJARAH 1MALAYSIA


(DIY di hadapan gerai No 12 BPAM)

Posting Kedua - 11.50 pagi

Saya kini berada di gerai Bahagian Pengurusan dan Analisis Maklumat (BPAM), KPKK yang giat menggalakkan masyarakat Malaysia menyertai Facebook Group 1Malaysia. Segeralah datang ke gerai BPAM di Graha Makmur, Melaka untuk mendaftar FB Group 1Malaysia ini.

Posting Asal - 9.19 pagi

Malam tadi, Melaka mencatat sejarah kerana kejayaan kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengumpulkan 51,000 orang untuk menikmati hidangan rakyat di pantai Klebang. Duduk dan berdiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang menjadi tetamu kehormat amat terharu dengan sambutan yang diberikan dan menganggap bilangan ramai itu satu terjemahan sokongan mereka kepada kepemimpinan sekarang.

Bagi PM, rakyat kini mulai faham dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan dan beliau yakin mereka akan terus memberi sokongan kerana apa yang ingin dilakukan oleh Gagasan 1Malaysia untuk kepentingan mereka. Tiada motif politik.

Bagi kerajaan sekarang, tiada yang lebih bermakna daripada dapat membantu rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan memerlukan. Malah di negeri yang diperintah oleh pembangkang pusat seperti di Kelantan sekalipun, usaha memberikan wang ehsan kepada penduduk dilaksanakan.

Malangnya, parti PAS yang memerintah mempolitikkan pemberian itu kerana wang itu tidak turun kepada mereka sebalik Kerajaan Pusat mengambil keputusan untuk memberi terus kepada rakyat di bawah. Tiada ketirisan dan tepat ke sasaran.

Jika diberikan kepada PAS hanya segelintir saja yang akan mendapat faedahnya dan ada juga yang masuk poket sendiri terutama mereka yang suka mengamalkannya.

Apapun rapat malam tadi di padang Pantai Klebang yang kemudiaan diisytiharkan sebagai Dataran 1Malaysia berjaya membuktikan bahawa rakyat semakin memahami apa yang ingin diperjuangkan di bawah gagasan PM ini dan mereka mula menghayatinya.

Tahniah Datuk Seri Mohd Ali dan rakyat Melaka.

Sempena Rapat 1Malaysia, satu pameran selama tiga hari oleh agensi di bawah KPKK dan kementerian lain akan diadakan di Graha Makmur, Melaka mulai hari ini.

Selamat melawat.

Wednesday, February 3, 2010

SORAKAN 1MALAYSIA 1DUNIA


SIMBOLIK... Rais (tengah) memegang bola rasmi Piala Dunia 2010 selepas majlis menandatangani perjanjian RTM sebagai penyiar berlesen Piala Dunia FIFA 2010 di Sepang semalam. Turut kelihatan ialah Kamaruddin Siaraf (kiri), Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya (dua dari kiri) dan Ahmad Zaharul (dua dari kanan).

RADIO Televisyen Malaysia (RTM) diberi hak sebagai penyiar berlesen Piala Dunia FIFA 2010 yang akan berlangsung di Afrika Selatan pada 11 Jun hingga 12 Julai ini.

Berita gembira itu disahkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim semalam.

Menurutnya, RTM akan menyiarkan 35 perlawanan dengan 24 siaran secara langsung dan 11 siaran tertunda.

"RTM berjaya mendapatkan pakej tawaran rancangan percuma sebanyak 26 jam sepuluh minit untuk siaran di TV1 dan TV2.

"Hampir semua penjadualan siaran langsung perlawanan akan bermula pada pukul 11 malam," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara RTM dengan pemegang hak siaran eksklusif Piala Dunia FIFA 2010, Esprit Media Sdn. Bhd. semalam.

Pada majlis itu, RTM diwakili Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf sementara Esprit Media Sdn. Bhd. diwakili Pengarah Urusan, Datuk Ahmad Zaharul Annuar.

Rais berkata, dianggarkan lebih 18 juta penonton akan menyaksikan siaran itu.

"RTM kali ini juga menerima undian yang baik apabila rata-rata perlawanan membabitkan pasukan negara-negara terbaik di dunia seperti England, Portugal dan Brazil memihak kepada RTM," katanya.

Sementara menanti perlawanan bermula penonton akan disajikan dengan siaran menarik lain. RTM telah menjadi penyiar utama Piala Dunia sejak 1974, 1978, 1986, 1990,1994, 1998, 2002 dan 2006. Tema penyiaran untuk tahun ini ialah 'Sorakan 1Malaysia 1Dunia'. Sumber: KOSMO.

Bersedialah penonton RTM untuk menikmati permainan yang paling diminati oleh rakyat negara ini.

Mulai sekarang RTM akan berusaha memaparkan pelbagai program termasuk dokumentari dan telemovie sempena merayakan temasya bolasepak dunia yang akan diadakan di Afrika Selatan. Temasya sebulan itu bermula 11 Jun ini.

Sejajar dengan tagline Sukan Terbaik Hanya di RTM, kami akan memastikan penonton mendapat siaran langsung terbaik di samping ground event yang membabitkan penyertaan semua golongan.

Selamat menonton.

Tuesday, February 2, 2010

NASI DI MULUT TURUT JATUH KE LONGKANG

Pagi ini ketika bersembang di Tanglin, kami menyentuh mengenai seorang individu yang selama ini sudah menerima petunjuk daripada Allah SWT. Diharapkan individu itu sedar dan mulalah berfikir mengenai kepentingan negara.

Bahawasanya beliau sudah diturunkan daripada 'takhtanya' kerana perbuatan yang memang sukar untuk dibuktikan melainkan Allah SWT sendiri. Itupun kebijaksanaan pengamal undang-undang sudah menyatakan apa yang tersirat di hati mereka.

Bahawasanya beliau tidak berada di tempat yang diidamkannya sedangkan satu tangga lagi untuk mencapai kemuncak. Ini yang selalu dikatakan makanan yang sudah menghampiri mulut sekalipun mampu jatuh ke tanah atau ke longkang.

Sesungguhnya itulah kebesaran Allah SWT yang menaikkan dan menurunkan hambanya. Itulah kebesaran Allah SWT yang sentiasa memberi petunjuk dan apabila kita lalai maka dihinakan kita sehingga sukar untuk dibersihkan. Melainkan kita tiada maruah.

Seorang teman menyebut bahawa beliau tidak gemar untuk membenci orang apatah lagi orang yang beliau tidak kenal. Tetapi individu ini, beliau memang meluat betul kerana apa yang dilakukan sejak kejatuhannya tidak menguntungkan negara.

Marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah SWT agar negara ini sentiasa aman dan dielakkan berada di tangan manusia yang sentiasa menghalalkan cara untuk mencapai matlamat. Kita akan hancur dan bertaburan. Percayalah.

Monday, February 1, 2010

PEMBANGUNAN UNTUK KEBAIKAN SEMUA

Apa beza dan persamaan tindakan kerajaan membina tembok di sepanjang lebuhraya yang merentasi perumahan dan memperbaiki rumah rakyat yang memerlukan? Jawapan untuk persamaan ialah usaha itu untuk memastikan keselesaan rakyat.

Bagaimanapun jawapan untuk perbezaan ialah sudah tentulah dari segi kos. Sudah pasti untuk membina tembok di sepanjang lebuhraya merentasi taman perumahan lebih mahal daripada pendekatan memperbaiki rumah yang sudah uzur.

Bagaimanapun, kedua-dua ini perlu berjalan serentak sejajar dengan Gagasan 1Malaysia bagi memastikan rakyat tidak kira di bandar atau luar bandar mendapat bantuan yang diperlukan. Dalam ertikata lain, bantuan itu diagihkan sama rata ke setiap pelusuk.

Secara tidak langsung pula, kita akan melihat satu lagi perbezaan ialah kegiatan membina tembok adalah kebanyakannya di kawasan bandar atau berdekatan manakala usaha memperbaiki rumah kebanyakannya di luar bandar. Ramai yang memerlukan.

Dalam hal ini, secara logiknya jika kerajaan menggunakan duit untuk membina tembok di kawasan perumahan di bandar bagi tujuan memperbaiki rumah, sudah tentu bilangan rumah yang boleh diperbaiki lebih banyak. Secara langsung lebih ramai rakyat akan tersenyum lebar dan berpuas hati dengan kerajaan. Mereka ini penduduk luar bandar.

Ironinya, dalam Pilihan Raya Umum yang lalu, walaupun banyak tembok dibina di kawasan bandar dan berdekatan bandar, penduduknya seolah-olah 'tidak menghargai' usaha kerajaan itu dengan memberi undi kepada pembangkang. Di Wilayah Persekutuan, hanya dua kerusi Parlimen yang selamat kerana yang lain semua 'diserahkan' kepada parti pembangkang. Alahai.

Oleh itu, ramai pihak yang mengatakan maka lebih baiklah kerajaan menggunakan duit yang mahu diperuntukkan kepada penduduk bandar kepada masyarakat luar bandar yang sudah tentu memihak kepada kerajaan sejak dari dulu lagi. Boleh ke?

Ini secara tidak langsung mengingatkan penduduk dalam bandar bahawa mereka perlu menganggap pembangunan yang dilakukan kerajaan adalah untuk kesenangan mereka. Mereka perlu memaparkan kesyukuran itu dengan berterima kasih kepada kerajaan.

Dalam pada itu, ada juga yang berpendapat bahawa segala kemudahan bagi penduduk luar bandar perlu diberikan untuk memastikan mereka akan bertukar fikiran untuk memilih kerajaan semula pada PRU yang akan datang. Adakah mereka akan berbuat demikian?

Jika penduduk bandar terutama mereka yang berasal dari kampung dan terpaksa menyewa rumah tidak mendapat perkhidmatan terbaik daripada kerajaan maka 'rasa sakit hati' itu akan dibawa ke kampung. Sudah tentu mereka akan berusaha mempengaruhi sanak-saudara dan sahabat handai agar memilih parti bukan kerajaan.

Oleh itu, timbang-timbanglah dengan baik.