Wednesday, February 24, 2010

PERPADUAN TUNJANG KEAMANAN NEGARA

SEORANG penulis, Lim Ming Fah menerusi sebuah artikel yang tersiar di akhbar Sin Chew Jit Poh pada 16 Februari lalu berkongsi pengalaman mengenai perpaduan yang membuatkannya terharu. Dua kejadian yang berlaku sewaktu sambutan Tahun Baru Cina itu juga membuatkan beliau berpendapat seperti ada nyawa baru kepada perpaduan di kalangan rakyat.

Pengalaman pertama beliau berlaku di sebuah bengkel kereta. Sewaktu sedang menunggu keretanya dibaiki oleh seorang mekanik Melayu, tiba-tiba seorang penunggang motosikal berbangsa Cina tiba dan menyerahkan kunci motor serta wang sebanyak RM20 kepada mekanik Melayu itu.

Tetapi mekanik Melayu itu hanya mengambil kunci motosikal sahaja dan menolak wang tersebut. Hairan dengan keadaan itu, penulis ini bertanyakan apa sebenarnya yang berlaku.

Mekanik Melayu itu menjawab, pemuda Cina tersebut memulangkan motosikal yang dipinjamkannya selepas motosikal pemuda Cina itu yang digunakan untuk berulang-alik dari tempat kerja di Singapura rosak.

Tetapi mekanik Melayu itu tidak mahu menerima wang saguhati yang diberikan oleh pemuda Cina itu. Penulis ini bertanyakan lagi sama ada mekanik Melayu itu mengenali pemuda Cina tersebut. Tetapi alangkah terkejutnya penulis ini apabila pemuda Melayu itu menjawab dia sebenarnya tidak mengenali pemuda Cina tersebut.

Penulis ini kemudian berkata, ''Tidak kenal? Berani awak meminjamkan motor kepadanya?" Pemuda itu kemudian berkata, ''Tidak mengapa. Dia dalam kesusahan, jadi saya kena tolonglah."

Peristiwa kedua pula kata penulis ini, adalah kunjungan dua orang jiran Melayu ke rumah kakak iparnya sewaktu sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini. Menurut kakak iparnya, jiran Melayu yang baru berpindah itu menziarahi dengan hati yang terbuka, menyebabkan mereka sekeluarga sangat gembira menerima kehadiran jiran Melayu itu.

Daripada peristiwa itu kata penulis ini, perpaduan rakyat adalah satu talian yang seharusnya berpanjangan seperti air. Apa yang ditunjukkan oleh dua orang jiran Melayu yang dengan terbuka mengunjungi rumah jiran Cina mereka, adalah sikap yang lebih baik daripada ahli politik yang membuat kunjungan palsu.

''Kedua-dua perkara ini adalah contoh teladan yang baik. Ia berbeza dengan cara ahli-ahli politik yang sering mempermainkan isu-isu perkauman yang dahsyat, lantang dan bermuka-muka. Jiwa orang Melayu dalam peristiwa ini sangat mulia dan mesra, seperti tiupan angin nyaman yang meresap ke jiwa yang membuatkan kita terharu dan gembira," katanya.

Sementara itu, akhbar Nanyang Siang Pao bertarikh 19 Februari pula menyiarkan sebuah artikel situasi sebenar di Malaysia dari sudut pandang terhadap analisis Pertubuhan Badan Analisis Risiko Ekonomi Hong Kong (PERC). Badan itu pada awal tahun ini menyifatkan Malaysia berada dalam keadaan politik yang tidak stabil.

Pandangan itu disanggah oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menganggap ia tidak berasas, cukup mengarut dan satu penipuan. Muhyiddin juga menyifatkan badan itu tidak memahami keadaan dan perjalanan politik di negara ini.

Tambah beliau, PERC tidak seharusnya membuat penilaian berdasarkan laporan semata-mata sebaliknya turun sendiri ke Malaysia untuk melihat situasi sebenar. Penulis artikel ini yang menggunakan nama Chow Jia Hui melontarkan pertanyaan daripada pandangan Muhyiddin itu.

Katanya, adakah minda rakyat benar-benar gembira hidup di negara ini? Apakah sebenarnya yang menggembirakan kita ketika ini?

Daripada pertanyaan itu penulis ini merujuk kepada penghijrahan seramai 300,000 orang rakyat Malaysia ke luar negara antara Mac 2008 sehingga Ogos 2009 seperti yang dikeluarkan oleh Wisma Putra.

Mereka yang berhijrah ini mahu mendapatkan pelajaran yang lebih tinggi, pekerjaan lebih baik dan mencari peluang perniagaan yang bagus. Penulis ini juga merujuk kepada seminar bertajuk "Berkhidmat Di Luar Negara" yang dianjurkan oleh Persatuan Jurutera-Jurutera Malaysia yang diadakan di Seremban, baru-baru ini.

Seminar itu katanya menggambarkan pembangunan masa hadapan negara yang agak lembap. Jika kumpulan profesional ini beranggapan mereka sudah tidak lagi boleh bertahan tinggal di Malaysia dan terpaksa berhijrah, apa yang perlu diperkatakan lagi?

Adakah sebuah ekonomi yang terhenti dan bergerak sifar, memberi kegembiraan kepada rakyat? Laporan PERC turut menyebut pelbagai perkara buruk seperti kehilangan enjin pesawat dan keadilan dalam penghakiman.

"Cuba bertanya kepada orang-orang di sekeliling kita, keluarga mana yang tidak pernah dirompak atau berlaku kecurian? Apabila mereka selalu berdepan dengan penjenayah, apakah tahap keamanan yang disifatkan? Adakah rakyat berasa gembira?

''Diharap Timbalan Perdana Menteri dapat meluangkan masa turun padang melihat kehidupan rakyat jelata. Beri penjelasan kepada rakyat, apa yang mereka tidak tahu dan buktikan apa yang dikatakan supaya rakyat Malaysia hidup dalam kegembiraan?" katanya. - UTUSAN MALAYSIA.

4 comments:

Anonymous said...

Kalau yang nak berhijrah tu orang cina belaka, ok apa. Patut disokong pendapat PERC itu, tokok tambah lagi biar lebih kuat persepsi negatif lapuran itu. Bagi diskaun lagi tiket penerbangan keluar satu hala.

zainal mohd jais said...

Dato',
Dalam era siber ni, serangan, provokasi, manipulasi dan fitnah pembangkang datang dari segenap penjuru, dgn pelbagai rupa.
Kejayaan besar mereka ialah mengelirukan (cnfuse) orang UMNO/BN, hingga wujud golongan 'siput babi' yang cuma tengok saja bila UMNO kena lanyak.

Banyak sangat kerja pembetulan yg kena dibuat. Tapi sejauh mana jentera dari atas ke bawah, sudah digerakkan dengan berkesan...

MAZEMIE MAZ said...

Salam Dato'

Sebenarnya sikap/amalan tolong menolong pelbagai kaum itu telah lama wujud & masih kekal hingga sekarang.

Cuma dalam isu perkauman ini, mungkin kita kekadang dikelirukan oleh sesetengah pemimpin politik demi kepentingan politik sempit. (maaf, sekadar pandangan).

kulupbana said...

Salam Datuk,

Entah mengapa saya sebak setiap melihat Datuk Lee Chong Wei menerpa untuk memeluk erat Datuk Misbun setiap kali dia menang di gelanggang.