Wednesday, October 31, 2007

BERFIKIRAN TERBUKA DAN KEJUJURAN

Saya menulis dalam alam siber sejak tahun 2000 di news portal, AgendaDaily. Penulisan dalam pelbagai topik termasuk politik yang mengundang kritikan membina dan luahan pendapat yang berbeza. Perkembangan ini amat menarik dan menyegarkan. Tahun ini, saya memulakan blog sendiri dan pengalamannya juga tidak kurang hebatnya terutama dalam mengutarakan pandangan peribadi terhadap pelbagai isu termasuklah politik dan hubungan kaum di negara ini.

Kini alam siber telah menarik perhatian ramai pihak termasuk yang terbabit secara langsung seperti pengendali news portal, Malaysiakini, AgendaDaily, KLPos, MalaysiaAktif, MalaysiaToday dan blog persendirian. Tidak kurang yang teruja dengan perkembangan media baru ini ialah pengkritik terhadap blog yang ada antaranya menyifatkannya sebagai tidak penting dan relevan. Dalam ertikata lain, sudah ada media arus perdana, jadi tidak payahlah membaca blog yang ada kecenderungan menabur fitnah atau mengembar-gemburkan sesuatu isu. Malah ada juga yang memperkecil-kecilkan kepentingan blog ini. Terpulanglah, masing-masing ada otak, maka berfikirlah secara waras dan bijaksana.

Oleh itu, kenyataan pemimpin muda dari Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, yang juga kenalan amat menyegarkan minda saya dan amat berharap lebih ramai pihak terutama generasi pelapis yang berfikiran terbuka dan dinamik.

Malaysiakini melaporkan Dr Zambry menyatakan kepimpinan Umno harus menggunakan kebijaksanaan dan bertindak proaktif dalam berdepan dengan kelahiran masyarakat berfikir yang akan bertanya tentang banyak perkara yang berkaitan dengan amalan terbaik, urus-tadbir beretika yang terbaik, indikator amalan terbaik (KPI), kerajaan yang cekap, dan ahli-ahli politik yang terbaik dan bermoral.

"Mereka semakin terbuka bertanya dan berani berpolemik tentang kedudukan bangsa, ke mana haluan sesebuah parti siasah, dan apakah yang dilakukan oleh pemimpin." Mereka ini, katanya, termasuk dari Generasi Net iaitu kelompok komuniti bloggers, Youtube dan My Space yang menjadikan ruang siber sebagai tempat yang paling terbuka dan bebas untuk memperolehi dan menyampaikan sebarang bentuk maklumat dan ilmu.

"Dasar teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara yang mempertahankan kebebasan bermaklumat menjadikan, generasi ini amat interaktif sehinggakan soal nilai dan tanggungjawab bukan lagi menjadi ukuran mutlak," kata beliau dalam rencananya dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini sempena perhimpunan agung Umno minggu depan. Oleh itu, katanya, kebijaksanaan dan tindakan proaktif untuk melakukan penyesuaian politik yang terbaik memungkinkan tidak berlaku penghijrahan keluar atau penolakan besar-besaran golongan ilmuwan, intelektual, dan generasi net terhadap Umno.

Katanya, pendekatan 'engagement' yang menolak pendekatan konfrontasi dalam suasana kebangkitan baru adalah pilihan terbaik kerana peperangan politik yang baru adalah peperangan minda dan idea, bukannya peperangan ideologi pilihan atau pertembungan 'zero-sum game' iaitu siapa menang ia berkuasa dan boleh melakukan apa sahaja tanpa dicabar dalam konteks demokrasi.

"Mereka ini adalah generasi yang dilahirkan melalui dasar-dasar kerajaan. Dari satu segi, Umno boleh berbangga kerana kini jutaan mereka yang berijazah dan bergelar profesional dan teknokrat lahir dari perjuangan pendidikan Umno.

"Namun tanggungjawab memenuhi impian generasi ini yang memiliki daya fikir yang berbeza, cita-rasa politik yang berbeza, pandangan terhadap nilai-nilai kemelayuan yang berbeza, tentunya menjadi keprihatinan Umno," katanya yang juga Exco Pendidikan, Institusi Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Perak.

Menurut Dr Zambri, golongan tersebut bebas menghina, mengecam dan memburukkan sesiapa dan apa sahaja menurut ukuran dan penilaian mereka. "Mereka juga bebas memberikan sebarang pandangan tanpa disaring oleh dasar, akta, dan ideologi negara. "Mereka inilah juga yang akan berada di peti-peti undi untuk membuat penentuan siapa dan parti apa yang akan memerintah negara. Mereka tidak akan lagi mendengar dan membaca apa yang disajikan kepada mereka semata-mata, tetapi dalam masa yang sama akan mencari sumber alternatif bagi mengimbangi dan membuat keputusan," katanya.

(Renungan Rimau : Pemimpin politik terutama UMNO perlu kerap berdampingan dengan blogger seperti saya. Walaupun peranan nampak kecil tetapi mampu memberi kesan besar terutama dalam menyediakan maklumat alternatif. Yang penting, maklumat yang ditulis oleh blogger harus benar dan tepat bagi menidakkan tuduhan yang mengatakan blog mengutarakan berita palsu).

No comments: