Saturday, October 6, 2007

JANGAN BELASAH KAMI DULU: PANEL

Penubuhan Ahli Panel Bebas dianggotai tiga orang untuk meneliti video yang didakwa perbualan seorang peguam kanan dengan seseorang yang dikatakan bertujuan untuk menentukan perlantikan hakim di negara ini mendapat liputan meluas. Bermula dengan sidang akhbar PKR mengenai video itu dan dilaporkan secara intensif oleh Malaysiakini dan blog, isu video itu kini semakin hangat termasuk mendapat respon daripada kerajaan.

Bagi membuktikan bahawa mereka ikhlas untuk mendengar sebarang pandangan rakyat termasuk parti pembangkang, kerajaan menubuhkan panel bebas berkenaan. Namun, pengumuman itu tidak dialu-alukan sebaliknya PKR mahu penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasata kes video itu. Alasan yang diberikan ialah SD mempunyai kuasa untuk menjalankan penyiasatan termasuk boleh memanggil saksi atau mereka yang terbabit dalam isu berkenaan. Suara membangkang itu terus bergema dalam media baru. PKR juga menyatakan "keengganan mereka" kepada BPR yang mahukan parti itu menamakan sumber video berkenaan.

Dalam pada itu, media perdana terus mengutarakan pandangan kerajaan dan pihak yang menyokong mereka berhubung rasional penubuhan panel bebas berkenaan. News portal juga tidak terkecuali untuk berbuat demikian termasuk Agenda Daily, diterajui oleh bekas wartawan Utusan Malaysia, Rosli Ismail, yang beroperasi sejak sepuluh tahun lalu. Lebih awal daripada kemunculan banyak blog persendirian sekarang.

Ikutilah artikel Agenda Daily ini untuk mendapatkan perspektif seorang ahli panel berkenaan, bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar, baru-baru ini.

Usaha untuk memperlekehkan kredibiliti penal bebas untuk menentukan kesahihan klip video peguam VK Lingam yang didakwa mengatur lantikan hakim berterusan ketika ia mengadakan mesyuaratnya yang pertama di pejabat Suhakam di Kuala Lumpur Rabu.

Sebilangan ahli parti pembangkang telah mengadakan demonstrasi aman mendesak supaya kerajaan tubuh Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat klip video dan badan kehakiman.

Ramai para wartawan dan jurugambar telah hadir untuk membuat liputan mesyuarat yang dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor.

Klip video berkenaan yang didedahkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menunjukkan Lingam berbual melalui telefon dengan seseorang yang dikatakan hakim kanan mengenai pelantikan hakim di negara ini pada 2002.

Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Ismail telah menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong meminta supaya ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja.

Mesyuarat pertama itu juga menyaksikan kehadiran Peguam Negara Tan Sri Gani Patail, Ketua Polis Negara tan Sri Musa Hassan dan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Ahmad Said Hamdan.

Tindak tanduk ahli-ahli pembangkang yang hadir dengan sepanduk dan pelekat kepala telah menarik perhatian salah seorang anggota penal ,bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar semasa sidang akhbar lepas mesyuarat berkenaan untuk berkata : “Cuba elak demonstrasi diluar bilik ini.Tolonglah kami tidak ada apa-apa kepentingan .Apa yang kami nak buat ialah selesaikan kerja secepat mungkin dan balik rumah.” Menyentuh tentang tulisan di internet dan blog yang mempertikaikan kredibiliti Haidar dan seorang lagi angggota penal,Tan Sri Lee Lam Thye beliau berkata, “ Saya minta kamu semua di luar sana jangan baling batu sehingga kami selesai membuat siasatan.Saya hormati kebebasan bersuara ..anda boleh kata apa saya tetapi jika anda mahu kami buat kerja sebagai penal bebas biarlah kami selesaikan tugas ini dengan sempurna.”

Mahadev Shankar juga menolak berbagai andaian untuk mencetuskan keraguan terhadap penal itu dengan menegaskan adalah satu tindakan berani pihak kerajaan menubuhkan penal berkenaan bagi mencari kebenaran pada isu klip video itu.

Beliau kemudiannya membacakan dan mengulas perkara-perkara yang ditulis mengenai bidang tugas mereka dalam surat perlantikan mereka sebagai anggota penal berkenaan.

Katanya mereka akan mengendalikan siasatan dalam kontek bebas sebebasnya seperti yang ditetapkan.

Menurutnya sesiapapun tidak harus meragui ketelusan mereka dalam melaksanakan tugas itu.

Haidar pula merayu kepada semua pihak yang mempunyai bukti untuk tampil membantu panel berkenaan.

Katanya , tugas panel itu hanyalah untuk membuat pengesahan tentang kesahihan klip video berkenaan berdasarkan bidang kuasa yang diberi kepadanya dan tidak lebih daripada itu.

"Kami tak boleh paksa anda... tapi anda boleh datang secara sukarela ke sekretariat kami untuk memberi kenyataan dan sebagainya," kata beliau.

Kerajaan menubuhkan panel tersebut ekoran penyiaran rakaman video yang didakwa menunjukkan seorang peguam terkenal berbual melalui telefon dengan seseorang yang dikatakan hakim kanan mengenai pelantikan hakim di negara ini pada 2002.

Menurut Haidar, dalam mesyuarat kali ini panel telah mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Katanya, Peguam Negara, polis dan BPR memberi jaminan akan bekerjasama dengan panel bebas tiga anggota yang ditubuhkan bagi menentukan kesahihan klip video.

"Kami berjumpa untuk melihat bagaimana mereka boleh beri kerjasama terhadap tugas kami di sini iaitu untuk menentukan kesahihan klip video berkenaan," katanya.

Panel itu berharap dapat mengadakan perjumpaan serupa dua minggu lagi, bagi meneruskan tugas mereka.

Haidar berkata walaupun panel itu diberi masa 30 hari bekerja, mulai tarikh pengeluaran surat pelantikan anggotanya (27 Sept), untuk menyiapkan tugasnya, tetapi ia akan memohon tempoh lanjutan jika perlu.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang diminta mengulas mengenai bidang kuasa penal itu berkata, tidak ada kekaburan dalam terma rujukan yang diberikan kepada panel bebas yang diwujudkan.

Katanya, panel itu tidak sepatutnya memanggil saksi dan mengetahui terma rujukan mereka.

Ditanya sama ada panel itu akan dapat membuat kesimpulan, Najib berkata boleh meskipun panel itu tidak mempunyai kuasa untuk memanggil saksi.

1 comment:

Anonymous said...

It is in BN/UMNO's interest that the mind of the majority of the rakyat is 'retarded', i.e. just swallow whatever they say. In some way BN has succeeded to do just that with sub-standard education, controlled media and low Internet penetration. Next election, we'll see again the morons who will keep them in power.