Friday, October 19, 2007

TIADA PROGRAM, DUIT TETAP HANGUS

Sejak menulis artikel yang meminta rakyat negara ini "berbangga dengan pencapaian negara" berhubung penghantaran angkasawan ke angkasa lepas, saya dihujani dengan panggilan daripada rakan-rakan yang bertanyakan "tidakkah saya terfikir mengenai nasib rakyat miskin" yang begitu ramai di negara ini. Saya menjawabnya dengan mengatakan saya mengetahui semua itu.

Namun, apa yang saya ingin nyatakan ialah kita haruslah berbangga dengan pencapaian program angkasawan seperti juga kita berbangga dengan pencapaian dalam bidang sukan atau pendidikan. Seperti juga pembinaan Litar Sepang yang menelan belanja beratus juta ringgit. Banyak juga tetapi akhirnya kita tahu faedah yang diperolehi. Untuk memasarkan Malaysia ke seluruh dunia. Sudah tentu banyak yang dibelanjakan untuk mencapai kejayaan itu. Bezanya ialah jumlah perbelanjaan untuk menghantar angkasawan sudah tentulah lebih tinggi daripada bidang lain. Itu saja. Memanglah kalau digunakan untuk membantu rakyat miskin sudah tentulah berjuta orang akan dapat menikmatinya. Itu pun saya tahu. Tetapi apa yang saya sebut ialah berbangga dengan pencapaian berkenaan. Kemudian tengoklah faedah yang akan diperolehinya. Yakinlah.

Dalam pada itu, Malaysiakini melaporkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis berkata angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha bakal ditauliah sebagai "Cosmonaut" oleh Russia supaya tidak timbulkan lagi sindiran oleh pihak tertentu bahawa dia hanyalah pelancong angkasa.

Dr Sheikh Muszaphar akan ditauliahkan sebagai 'Cosmonaut" bersama-sama Kapten Dr Faiz Khaleed. Menurutnya, pentauliahan itu akan dilakukan oleh Russia kira-kira dua minggu selepas kepulangan Dr Sheikh Muszaphar ke Bumi kerana angkasawan pertama negara itu perlu dikuarantin selama seminggu di Moscow sebelum pulang ke Malaysia.

Laporan dipetik daripada Bernama juga menerangkan Dr Jamaludin berkata, Dr Sheikh Muszaphar dijadual pulang ke Bumi Ahad ini. "Dengan pengiktirafan itu, diharap tidak akan timbul lagi sindiran daripada pihak tertentu yang mempersoalkan kredibiliti angkasawan negara termasuk memanggilnya sebagai pelancong angkasa," katanya.

(Renungan Rimau : Kalau kita ada duit, bolehlah kita bahagi-bahagikan untuk pelbagai program bagi membantu rakyat negara ini. Ada program yang mungkin membabitkan perbelanjaan berjuta ringgit dan membabitkan seorang individu tetapi kesannya sudah pasti menguntungkan rakyat dan negara secara keseluruhannya. Jika tidak buat program itu, duit pun habis juga dikebas oleh pihak tertentu atau hangus begitu saja.)

1 comment:

Anonymous said...

Kalau dah balik ke bumi baru nak diberi gelaran 'cosmonaut', apakah jadahnya? Apakah jawatan angkasawan Melayu tu sekarang? Pelancong?Penumpang?Penghibur?Mandor?Pengkaji? Atau Pak lawak untuk menghibur rakan-rakan Rusia di angkasa lepas? Berapa kerajaan Malaysia bayar untuk dapat title 'cosmonaut' itu?. Dalam Renungan Rimau Datuk cakap kesan daripada program ini akan menguntungkan rakyat dan negara. Tolong bagi tau saya apa keuntungan yg rakyat dan negara dapat? Saya tak faham. Tapi yg pasti Dr Jamaludin Jarjis boleh keluar tv tiap-tiap hari sejak ada program ini. Kalau tidak, jarang keluar tv sebab dia bukan pandai sangat buat kerja yg menguntungkan rakyat yg boleh diuar-uarkan. Duit kerajaan banyak habis buat kerja yg tidak berfaedah. Kalau kita menonton tv, sejak hari raya lagi kita lihat rakyat mengeluh kerana dilanda banjir kilat, harga barang-barang semakin naik, tempat kediaman yg dibeli tidak berkualiti, kemasukan warga asing yg tidak dikawal semakin menjadi-jadi dan macam-macam lagi isu serius yg melanda negara. Wang berjuta-juta yg dibakar hanya untuk mendapat title 'cosmonaut' itu boleh dibelanjakan di jalan yg lebih afdal lagi. Setidak-tidaknya dapat meringankan sedikit masalah yg sedang dihadapi rakyat jelata. Itu lebih berfaedah...Lepas dapat title 'cosmonaut', Dr hansem ni bakal mendapat gelaran 'Datuk' pula. Hai, bertuahnya badan. Lepas tu minta projek daripada kerajaan pula untuk jadi kaya raya macam ramai lagi hero Melayu lain seperti yg berenang merentasi English Channel, yg belayar mengelilingi dunia, yg berjalan-jalan santai di khutub selatan dan ramai lagi pak pandir lain yg suka buat aktiviti syok sendiri......