Sunday, October 28, 2007

TULIS CERMAT, WARTAWAN SELAMAT

Kemenangan Pengarah Tenaganita, Irene Fernandez dalam saman fitnahnya terhadap akhbar Utusan Malaysia dan mendapat gantirugi RM200,000 baru-baru ini perlu dijadikan ingatan kepada pengarang dan wartawan media cetak dan elektronik di negara ini. Dalam ertikata lain, mereka perlu bertanggungjawab dalam bahan penulisan dan penyiaran dengan memberikan maklumat yang tepat dan benar.

Wartawan perlu memastikan setiap facts and figures yang dimuatkan dalam berita mereka betul dan diperolehi daripada sumber sah dan mempunyai autoriti. Umpamanya, wartawan jenayah perlu mendapat fakta sah daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tidak boleh menyiarkan maklumat daripada sumber yang tidak ada autoriti untuk memberikan maklumat. Sumber itu boleh berputar 360 darjah dengan mengatakan beliau tidak memberi maklumat berkenaan. Itu satu malapetaka.

Ada dua sebab utama sesuatu berita itu dianggap tidak bertanggungjawab. Pertama ialah maklumat dalam berita itu salah dan tidak tepat. Kebiasaannya jika individu yang terbabit tidak puas hati dengan maklumat yang salah itu, maka media akan diminta untuk membuat permohonan maaf secara terbuka. BH pernah memohon maaf di muka hadapannya kepada Allahyarham Datuk Harun Idris kerana kesalahan fakta membabitkan bekas Menteri Besar Selangor itu. Datuk Harun tidak hadir di suatu majlis tetapi dalam berita yang disiarkan disebut hadir dan ini memalukan beliau.

Kedua ialah tindakan memalsukan dan mengada-adakan fakta dalam sesuatu berita. Ini jarang berlaku melainkan wartawan itu mempunyai kepentingan dalam sesuatu berita yang ditulisnya. Ada kemungkinan pemalsuan itu dibuat kerana beliau mengikut emosi atau mendapat arahan pihak tertentu bukan daripada syarikat tempat beliau bekerja tetapi orang luar yang sedia memberi habuan. Tindakan ini mudah dilihat sebagai tidak bertanggungjawab kerana maklumat yang diberikan adakalanya tidak logik dan kabur. Berhentilah tabiat buruk itu. Wartawan seperti ini perlu "diharamkan" menulis seumur hidup kerana mereka boleh menghancurkan negara. Bayangkan kesannya jika mereka memalsukan maklumat mengenai sesuatu perkara yang membabitkan perkauman dan agama. Pasti menimbulkan malapetaka.

Sehubungan itu, pengarang perlu bijaksana dan bijaksini dalam menilai sesuatu berita dengan teliti terutama facts and figures yang diberikan. Sebagai panduan, mereka perlu memberi lebih perhatian kepada wartawan baru atau wartawan yang pernah melakukan kesalahan sebelum ini. Bagi wartawan veteran, sudah tentu mereka akan memastikan berita yang ditulis itu tepat dan benar. Bagaimanapun, pengarang perlu juga bertanya jika ada kesangsian atau ada tanda-tanda berita itu tidak logik atau tidak masuk akal. Pengarang juga perlu memastikan berita yang ditulis mendapat pandangan atau komen daripada dua pihak yang terbabit.


Dalam kes Irene, Malaysiakini melaporkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Tee Ah Sing memutuskan bahawa artikel yang disiarkan akhbar itu bukan hasil kewartawanan yang bertanggungjawab. Beliau mengambil masa hampir dua jam untuk membaca penghakiman setebal 104 muka surat.

Keputusan itu diumumkan selepas 11 tahun kes itu berlarutan terhadap dua defenden - Utusan Malaysia dan penulisnya Johardy Ibrahim - berhubung sebuah artikel yang disiarkan pada 20 September 1995. Artikel itu mendakwa Irene gagal memberi kerjasama kepada pihak polis yang menjalankan siasatan berhubung sebuah memorandum. Dalam satu sidang akhbar pada bulan Ogos 1995, Irene telah mendedahkan dakwaan berlaku penyeksaan dan kematian di kem tahanan pendatang tanpa izin di Malaysia.

Dalam samannya, Irene mendakwa artikel itu berniat jahat dan bermaksud beliau sengaja mengelak bekerjasama dengan pihak polis, tidak jujur dan tidah berintegriti. Artikel itu juga menggambarkan beliau sebagai seorang rakyat yang tidak taat setia dan menyebutnya sebagai menderhaka kerana mencemarkan imej negara dengan membangkitkan isu-isu tersebut.

Dalam pembelaannya, Utusan Malaysia menafi telah memfitnah Irene, dengan menyatakan bahawa artikel itu ditulis berdasarkan fakta. Bagaimanapun, Tee menolak alasan itu dan berkata artikel itu "bernada sensasi' dan mendapati tidak ada sebarang usaha untuk mendapatkan komen Irene. Mengenai gantirugi kepada Irene, Tee berkata Irene merupakan seorang aktivis hak asasi manusia terkemuka di dalam negeri dan di peringkat antarabangsa. Beliau kemudian mengarahkan Irene dibayar gantirugi sebanyak RM200,000 berserta dengan kos dan faedahnya.

(Renungan Rimau: Menulis dan menyiarkan berita palsu dan tidak bertanggungjawab tidak akan mendatangkan keuntungan. Lambat laun, ada pihak yang akan menyedari bahawa berita itu tidak benar dan berjaya membuktikannya. Apatah lagi, sejak dari dulu lagi ada peguam yang antara tugas mereka ialah membaca akhbar dan jika ada "peluang" untuk "mewujudkan" pelanggan, mereka pasti akan mengesyorkan agar membuat saman fitnah. Bidang guaman adalah satu perniagaan. Berhati-hati dengan peguam yang suka menipu dan menggelapkan wang anda. Jika ini berlaku segeralah dapatkan peguam yang baik untuk menyaman peguam yang "tidak senonoh" itu.)

No comments: